Bernama
KUALA TERENGGANU, 22 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said berkata isu supaya kerajaan Pusat menyerahkan kembali pengurusan wang royalti minyak kepada kerajaan negeri, kini menunjukkan perkembangan yang positif.
Beliau berkata gambaran tersebut diperolehinya selepas mengadakan pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di bangunan Parlimen, semalam.
"Hasil perbincangan dengan Perdana Menteri menampakkan perkembangan positif dan rundingan lanjut akan diadakan selepas ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di sini Khamis.
Ahmad sebelum ini meminta kerajaan Pusat menyerahkan kembali pengurusan wang royalti itu kepada kerajaan negeri setelah ia dihentikan ketika PAS mengambil alih pemerintahan negeri pada 1999.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata rundingan lanjut berhubung isu itu dijangka diadakan sama ada ketika Perdana Menteri melakukan lawatan kerja ke negeri itu bagi merasmikan majlis penutup Sukan Malaysia (Sukma) pada 9 Jun ini atau semasa melawat projek jelapang padi Terengganu di Setiu pada 14 Jun.
"Kita berharap perbincangan itu akan membuahkan hasil yang baik dan memberi kepuasan kepada semua pihak. Sama-samalah kita berdoa," katanya bahawa rakyat juga mahukan supaya wang royalti itu diuruskan oleh kerajaan negeri. Beliau berkata kerajaan negeri meminta kerajaan Pusat menyerahkan kembali pengurusan wang royalti itu kerana Sabah dan Sarawak masih menerima wang tersebut di bawah perjanjian yang sama dengan Terengganu.
"Sabah sebelum ini juga pernah diperintah oleh pembangkang (tetapi masih menerima wang royalti minyak)," katanya.
Thursday, May 22, 2008
Isu Royalti Minyak Terengganu Ada Perkembangan Positif, Kata Ahmad
0 comments Labels: bernama, MB tganu, royalti
Saya bukan tamak - Anifah Aman
Mstar Online
22-05-2008 10:13:07 PM
Oleh G. MANIMARAN
KUALA LUMPUR: "Saya bukan tamak jawatan." Demikian tegas Datuk Anifah Aman yang sekali lagi 'mencuri' perhatian banyak pemimpin politik tanah air ekoran keputusannya menolak tawaran jawatan sebagai Pengerusi Kumpulan Ahli Parlimen UMNO (UMPG) di Dewan Rakyat, hari ini.
Malah beliau juga menolak andaian bahawa tindakan menolak itu, yang diumumkan dua hari selepas ditawarkan, berkait dengan perkembangan politik negara sekarang khususnya desas-desus melompat parti dan sebagai satu lagi tindakan pihaknya menyatakan rasa tidak puas hati dengan perwakilan rakyat Sabah dalam Kabinet Persekutuan.
Pengumuman terbaru ini merupakan tindakan menolak tawaran jawatan kali kedua dalam tempoh lebih dua bulan sejak pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac lalu.
Sebelum ini, Anifah, adik kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, menolak jawatan Timbalan Menteri Pengangkutan dalam Kabinet Persekutuan.
Ketika dihubungi petang ini, Anifah memberitahu mStar Online: "Saya memutuskan untuk tidak menerima jawatan (Pengerusi UMPG) kerana telah diberi kepercayaan untuk menyandang jawatan Pengerusi Penyokong Kerajaan BN Sabah di Dewan Rakyat."
"Saya tidak mahu mengecewakan kawan-kawan saya di Sabah," katanya.
"Jawatan ini (Pengerusi Penyokong Kerajaan BN Sabah di Dewan Rakyat) telah diputuskan minggu lalu. Saya tidak mahu menerima jawatan baru ini kerana mahu memberi tumpuan ke atas kedudukan sebagai Pengerusi Penyokong Kerajaan BN Sabah di Dewan Rakyat.
"Jadi, kalau saya terima jawatan ini (Pengerusi UMPG) bermakna ia juga membabitkan konflik kepentingan diri antara dua kedudukan ini. Saya bukan tamak (mahu menerima dua jawatan)," kata beliau ketika ditanya mengapa berubah fikiran selepas dua hari diumumkan pelantikan ke jawatan itu.
Dua minggu lalu, Anifah mencetuskan suasana hangat ketika berucap di Dewan Rakyat dengan mendakwa rakyat Sabah dianaktirikan dan dihina dengan dakwaan mahu melompat parti.
Katanya, wakil rakyat Sabah dipandang serong semata-mata kerana menyampaikan keluhan rakyat negeri itu yang beliau dakwa sekian lama dipinggirkan daripada arus pembangunan.
"Bukan bererti apabila kita menyuarakan aspirasi rakyat, kita menentang kerajaan. Bukan bererti apabila kita keluarkan kata-kata keras, kita nak melompat parti. Apa yang kita nak beritahu di Dewan ini, rakyat Sabah tidak melompat seperti lima buah negeri di Semenanjung," katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, tidak salah jika berlaku lompat parti atau "keluar dari rumah banglo dan masuk rumah teres, jika mereka tidak diberi ruang yang cukup di rumah banglo itu."
"Rumah teres pun rumah tereslah, asal kita sama-sama menikmati kemudahan yang ada. Tinggal di rumah banglo pun tidur di tepi tandas sahaja," katanya.
Sejak itu desas-desus melompat parti juga semakin 'hebat' diperkatakan dengan merujuk kepada ahli-ahli Parlimen dari Sabah khususnya.
Sebelum ini, Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata bahawa beberapa wakil rakyat BN di Sabah akan menyertai pembangkang bagi membolehkan pembangkang menubuhkan kerajaan.
Terdahulu dalam kenyataannya kepada Bernama, Anifah yang merupakan Ahli Parlimen Kimanis berkata, beliau ingin memberi tumpuan sebagai Pengerusi Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN) Sabah.
"Saya tidak nafikan adalah satu penghormatan menjadi pengerusi UMPG. Pengerusi UMPG adalah jawatan lebih baik yang saya mesti berterima kasih kepada pucuk pimpinan kerana mencalonkan saya.
"Bagaimanapun, buat masa ini, saya ingin menyuarakan sesuatu yang lebih relevan buat Sabah. Sebab itu saya ingin terus menjadi pengerusi penyokong kerajaan BN Sabah di Dewan Rakyat.
Kata Anifah, beliau akan menyampaikan keputusannya itu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal Parlimen, Isnin ini.
0 comments Labels: mstar online, Sabah
Dr M: Jangan libatkan Agong
| Malaysiakini |
| May 22, 08 7:19pm |
| Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin tidak perlu dilibatkan dalam usaha membantu menyelesaikan kemelut antara beliau dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. "Ini soal politik Umno, kita tak akan bawa kepada Agong," katanya apabila diminta mengulas mengenai cadangan itu oleh veteran Umno Tan Sri Aziz Tapa. Abdul Aziz memberitahu Bernama bahawa kemelut antara dua pemimpin itu telah mencapai tahap yang memerlukan penglibatan Yang di-Pertuan Agong sebagai "orang tengah" untuk menyelesaikannya. Veteran Umno itu berkata hanya menerusi campur tangan Tuanku Mizan sebagai wakil Raja-raja Melayu, kedua-dua pemimpin itu boleh duduk berbincang bagi mengatasi perselisihan pendapat antara mereka. Menurut Bernama, Dr Mahathir, yang berada di Tokyo bagi menghadiri persidangan antarabangsa Nikkei, juga berkata beliau tidak ada halangan jika Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ingin menemui beliau. Kemelut antara Dr Mahathir dan Abdullah memuncak selepas bekas perdana menteri itu mendesak Abdullah meletak jawatan setelah Umno dan Barisan Nasional mengalami prestasi buruk dalam pilihanraya umum lepas. Isnin lepas Dr Mahathir mengumumkan tindakannya untuk keluar Umno dan berkata akan hanya kembali jika Abdullah berundur. |
0 comments Labels: Agong, dr det, malaysiakini
Hanya Agong Boleh Bantu Selesai Kemelut Dr M-PM, Kata Tan Sri Aziz Tapa
| Bernama 22 Mei, 2008 11:58 AM | |
Oleh Nor Hayati Muda
KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Kemelut antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah mencapai tahap memerlukan penglibatan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin sebagai "orang tengah" untuk menyelesaikannya, kata veteran Umno Tan Sri Abdul Aziz Tapa.
Beliau berkata hanya menerusi campur tangan Tuanku Mizan sebagai wakil raja-raja Melayu, kedua-dua pemimpin itu boleh duduk berbincang bagi mengatasi perselisihan pendapat antara mereka.
"Susah nak selesai dah. Tak ada lompang lagi (antara mereka), macam mana nak berbincang. Sebab tu saya ada cadangan, kalau boleh Yang di-Pertuan Agong panggil kedua-dua mereka ini dan berbincang.
"Pada saya tidak ada siapa lagi dah yang boleh menjadi orang tengah, sebab dua-duanya api. Api sama api susah nak dilerai. Veteran (Umno) pun tak laku (untuk jadi orang tengah)," katanya ketika dihubungi Bernama.
Abdul Aziz, 85, berkata seperti pepatah Melayu "alam beraja, luak berpenghulu, bersuku-suku anak buah sembah kepala datuk", orang Melayu terikat dengan tradisi yang berakar umbi kepada raja.
Beliau berkata tidak ada salahnya untuk raja-raja Melayu campur tangan dalam kemelut antara bekas perdana menteri dan penggantinya itu memandangkan Umnolah yang mengembalikan semula kuasa raja.
"Semasa Malayan Union, raja tak ada kuasa langsung kecuali sebagai ketua agama (Islam), tetapi Umno menaikkan balik (kuasa raja), (pengasas parti) Datuk Onn (Jaafar) perjuangkan hak raja Melayu," katanya.
Tambahan pula, yang menjadi pertaruhan dalam isu kedua-dua pemimpin Melayu itu bukan setakat Umno tetapi orang Melayu secara amnya, kata Aziz.
"Saya melihat ini sebagai tanda-tanda kehancuran Umno, dan orang Melayu juga akan terus berpecah. Pak Lah (Abdullah) dah ada Kabinet, menang pilihan raya, macam mana nak turun. Takkan kerana sebab itu (Dr Mahathir meninggalkan Umno), beliau (Abdullah) nak letak jawatan.
"Sekarang ramai yang dah nyatakan sokongan mereka kepada Pak Lah, dan yang tak sokong pula tak berani bersuara, senyap-senyap saja. Berpecahlah," katanya.
Abdul Aziz menggambarkan perasaannya terhadap apa yang berlaku kepada orang Melayu sekarang melalui pantun yang berbunyi:
Anak raja menjunjung kayu,
Kayu dibawa dibuat titian,
Malang sungguh anak Melayu,
Sebab pemimpin berdengki-dengkian.
Bekas Ketua Wanita Umno Tan Sri Aishah Ghani bagaimanapun berpendapat kemelut antara Dr Mahathir dan Abdullah tidak memerlukan penglibatan raja kerana ia adalah perkara dalaman parti.
"Tak usahlah kita nak libatkan Yang di-Pertuan Agong kerana ini soal parti. Lagipun, ini bukan kali pertama Umno menghadapi krisis, malah ada yang lebih teruk. Tapi semuanya kita dapat atasi.
"Lagipun nak panggil mereka berdua ni duduk berbincang bukan senang. Mereka bukan budak-budak," kata veteran Umno itu.
Sebaliknya, Aishah, berkata beliau yakin kemelut Dr Mahathir dan Abdullah dapat diselesaikan "jika Pak Lah beransur sikit".
"Cadangan saya dalam hal ini Pak Lah beritahu bila nak berundur. Dulu dia pernah cakap tapi tak beritahu bila. Jadi sekarang masanya dia beritahu.
"Bukan apa, orang muda sekarang bukan senang nak percaya. Bila ada jangka waktu orang yang harap Pak Lah berundur tak adalah nak gesa dia, sebab dah tahu bila dia nak buat," katanya.
Aishah berkata beliau banyak mendengar "cakap-cakap" daripada kalangan anggota parti sendiri yang sinis dengan kenyataan Abdullah untuk melepaskan jawatan.
"Itulah masalahnya, cuma cakap saja tapi orang tak nampak. Macam kenyataan (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Tun Razak) kata dia akan bincang pasal peralihan kuasa dengan Pak Lah, buatlah cepat. Jangan cakap saja," katanya.
Aishah, 85, berkata sebagai "orang lama" yang membesar di dalam parti beliau sedih dengan apa yang berlaku dalam Umno sekarang.
"Kami ni dah tak boleh buat apa-apa, dah tak ada kuasa, cuma anggota biasa sahaja. Yang kami ada cuma pengalaman dan kasih sayang kami terhadap Umno, dan kerana kasih sayang kamilah kami masih beri pandangan dan nasihat. Sama ada mereka (pemimpin sekarang) nak ikut atau tidak terpulang kepada mereka," katanya.
Penganalisis politik Prof Dr Ahmad Atory Hussein pernah menyuarakan pandangan serupa bahawa tidak ada salahnya jika Abdullah mengalah dan membuat langkah pertama menemui Dr Mahathir.
"Ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Apatah lagi ia untuk kepentingan Umno dan orang Melayu," kata Ahmad Atory, Pensyarah Fakulti Pengurusan Awam dan Undang-undang Universiti Utara Malaysia.
Bagaimanapun, pada mata kasar, saranan Aishah dan Ahmad Atory, sukar untuk direalisasikan kerana sejak kemelut Dr Mahathir dan Abdullah berlaku, kedua-dua tokoh pemimpin itu pernah mengadakan pertemuan.
Bagaimanapun jelas ia gagal menyelesaikan perselisihan pendapat antara mereka, sebaliknya, Dr Mahathir terus lantang mengkritik Abdullah yang disifatkannya sebagai lemah dan berada di bawah kawalan orang terdekat termasuk keluarga.
Abdullah yang menerima baton sebagai Perdana Menteri, Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional daripada Dr Mahathir pada 31 Okt 2003, lebih banyak berdiam diri daripada menjawab kritikan bekas ketuanya itu.
Kemelut itu menyaksikan satu kejutan apabila Isnin lepas, Dr Mahathir yang pernah memimpin Umno selama 22 tahun, mengumumkan keluar daripada parti atas alasan tidak yakin dengan kepimpinan Abdullah.
Tindakan itu dilihat sebagai cubaan terakhir beliau untuk memaksa Abdullah berundur.
-- BERNAMA
0 comments Labels: Agong, bernama, dr det, Pak Lah undur
Keputusan Ezam 'aneh', kata Wan Azizah
| Malaysiakini |
| S Pathmawathy | May 22, 08 4:47pm |
| Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini menyifatkan sebagai aneh bagi bekas ketua Angkatan Muda PKR (AMK), Ezam Mohd Nor menyertai semula Umno. "(Tetapi) ini pilihannya. Selepas apa yang dilakukannya untuk parti, selepas dipenjara, dia memilih untuk kembali semula kepada mereka (Umno)," katanya ketika diminta mengulas laporan media yang Ezam akan menyertai semula Umno. Wan Azizah bagaimanapun menolak andaian bahawa tindakan Ezam itu akan membawa kerugian besar kepada PKR. Sebaliknya, kata ahli Parlimen Permatang Pauh itu, parti itu mempunyai ramai lagi ahli untuk memimpin dan memperkukuhkan parti. Manakala Ketua Penerangan PKR, Tian Chua pula berkata, tindakan Ezam itu tidak memberi sebarang kesan kepada PKR kerana beliau tidak memegang sebarang jawatan dalam parti itu. Bagaimanapun Tian yang juga ahli Parlimen Batu, berkata beliau hanya kesal kerana Ezam membuat pilihan seumpama itu. 'Bukan pilihan bijak' Sejak itu, beliau mengetuai Gerakan Demokrasi dan Anti-Korupsi (Gerak). Bagaimanapun, sejak kebelakangan itu, timbul desas-desus, bahawa beliau akan kembali semula menyertai Umno. Hari ini, Ezam memberitahu Malaysiakini yang beliau akan mengeluarkan kenyataan mengenainya minggu depan. Menurut Tian Chua lagi, parti itu akan sentiasa menghargai perjuangan dan sumbangan Ezam. "Saya rasa beliau telah berkorban untuk perjuangan kita dan beliau telah membuat pendirian yang kritikal untuk membawa perubahan. "Tetapi apabila perubahan itu telah diterima oleh rakyat, maka adalah aneh untuk menentang arus tersebut - untuk bersama dengan pihak yang kita tentang selama ini," katanya. "Ini adalah sesuatu yang saya tidak faham dan saya fikir ianya bukan satu keputusan yang bijak," tambahnya. Reaksi pemimpin Umno Beliau berkata, Ezam adalah salah seorang yang paling dipercayainya ketika beliau (Ezam) masih dalam Umno. "Saya memberi kepercayaan kepadanya untuk menyediakan ucapan saya dan banyak benda lain lagi dan saya amat sedih bila beliau meninggalkan Umno," kata Nazri "Saya begitu gembira bila mendengar beliau akan menyertai semula Umno. Keahlian Umno adalah terbuka kepada semua orang, mereka yang layak dan mahu menjadi ahli, mesti diterima," katanya. Menurutnya, dengan kedudukan Umno yang tercorot sekarang, maka parti itu tiada pilihan, kecuali untuk naik semula ke atas. "Umno akan mempunyai prospek yang lebih baik pada masa akan datang," kata Nazri. Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Shafie Apdal juga menyambut baik Ezam menyertai semula Umno, dan menegaskan keputusan akhir adalah di tangan perdana menteri. "Mengapa tidak, sekiranya ia merupakan langkah untuk memperkukuhkan parti," tanya. Ezam, 40, mengikut Anwar meninggalkan Umno pada 1998. Ketika itu, beliau merupakan setiausaha politik Anwar dan pernah ditahan di bawah ISA dan menjalani hukuman penjara bagi kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA). |
0 comments Labels: DSWA, malaysiakini, UMNO haprak
Bersih buat laporan polis ke atas PM, Musa, Ghani dan Rashid
| Malaysia Today | | | |
0 comments Labels: BERSIH, malaysia today, polis
Adnan Gadai Tanah Melayu
Suara Keadilan
Khamis, 22 Mei 2008 •
Oleh Azmin Arabi
22 Mei (SK) -KeADILan membongkar sindiket menggadai tanah melayu di negeri Pahang membabitkan Menteri Besar negeri itu, Adnan Yaakob, dan pemimpin-pemimpin Umno negeri.
Ketua Angkatan Muda KeADILan Shamsul Iskandar Mohd Akin pada 17 Mei lalu mendedahkan pembabitan Adnan Yaakob menjual tanah-tanah orang kampung seluas 30,000 di mukim Ulit, daerah Maran kepada seorang towkey.
Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dalam ucapannya di Dewan Rakyat mengkritik keras skandal penjualan tersebut. Dianggarkan Adnan Yaakob menjual tanah orang Melayu kepada towkey itu pada RM600 juta ringgit.
“Adnan Yaakob telah memperdaya rakyat Melayu Pahang. Di kala rakyat Pahang sedang menghadapi pelbagai kesusahan, gelagat rakus dan gelojoh MB Pahang ini menjadikan rakyat, khususnya orang Melayu, tidak selamat di bawah Umno-BN,” tegas Fuziah.
Bukti salahlaku Adnan ini disebut dalam laporan Umno Bahagian Paya Besar kepada Presiden Umno, Abdullah Ahmad Badawi pada 5 Mei lalu. Sehingga ke tarikh berita ini dibuat, Abdullah tidak mengumumkan sebarang siasatan dibuat keatas penjualan tanah orang Melayu ini.
Sementara itu juga, KeADILan berjaya memperoleh rekod Jabatan Tanah dan dokumen dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) membuktikan salahguna kuasa Menteri Besar Pahang ini.
0 comments Labels: MB Pahang, pemimpin haprak, suara keadilan
Projek penswastaan Selangor rugi lebih RM35 bilion - MB
| Harakahdaily Saidah Hairan Thu | May 22, 08 | 5:48:31 pm MYT | |
| SHAH ALAM, 22 Mei (Hrkh) - Menteri Besar, Tan Sri Dato' Abdul Khalid Ibrahim mendedahkan projek-projek usahasama yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Selangor tidak menguntungkan, sebaliknya kerajaan negeri terpaksa menanggung risiko yang tinggi hasil keuntungan yang tidak menentu. Menurut beliau, ia ekoran daripada pembelian tanah yang dilakukan oleh kerajaan BN-Umno melalui perjanjian usahasama Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dengan syarikat swasta. Beliau kesal kerana pemaju mempunyai kuasa terhadap tanah apabila kerajaan negeri membeli tanah melalui PNSB dengan pegangan 30 peratus manakala pemaju tanah Sepang Bay Sdn.Bhd sebanyak 70 peratus. "Saya telah meneliti semua perbelanjaan negeri malangnya segala kekayaan itu tidak dapat disalurkan kepada rakyat ekoran kerugian melebihi 35 bilion," katanya ketika menjawab soalan lisan daripada Adun Batu Caves, Amiruddin Shari. Dalam sesi soal jawab lisan, Adun Batu Caves (KeADILan) minta penjelasan tentang syarikat-syarikat kerajaan negeri seperti PKNS dan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) yang ada membuat projek pembangunan yang dijalankan secara usahasama dengan syarikat swasta. Menjawab soalan tersebut, Khalid menjelaskan, antara syarikat projek usahasama yang terlibat Sepang Gold Coast Sdn.Bhd. (Usahasama antara Sepang Bay sdn.bhd. dan PNSB). Katanya, syarikat tersebut bercadang membina pembangunan berkonsepkan pelancongan di atas tanah seluas 3,686 ekar di daerah Sepang dan 935 ekar di Kuala Langat. Beliau menjelaskan, sebahagian daripada pembangunan Sepang Gold Coast melibatkan penggunaan teknologi on-stilt (bangunan atas tiang) iaitu menanam cerucuk di atas tanah laut yang melibatkan kos tinggi. Manakala syarikat Lebar Daun Development Sdn. Bhd. pula bercadang membina dan menyiapkan pusat membeli belah, pejabat dan kediaman di atas Precint 2.9 seksyen 14, Shah Alam dengan keluasan tanah 3.475 ekar. Malangnya menurut beliau pembinaan itu belum dapat dibina sejak perjanjian usahasama ditandatangani 21 November 2002. Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar (PAS) mengajukan soalan tambahan, apakah kerajaan Pakatan Rakyat akan meneruskan sistem yang diamalkan oleh kerajaan dahulu, BN. Khalid menjawab; "Saya telah minta semua syarikat PKNS, PKPS tidak lagi membuat perjanjian usahasama sehingga semua usahasama yang ada diselesaikan." Menurut beliau, kerajaan BN telah menyerahkan kuasa tanah pada syarikat-syarikat tersebut dan kerajaan negeri hanya memperolehi 6 peratus keuntungan daripada usahasama itu jika berjaya. "Semua pengusaha syarikat itu telah lari dan perkara ini amat serius," tegas beliau. Beliau turut simpati dengan ketakutan pegawai terlibat yang mengigil ketika menyerahkan minit berhubung pembelian tanah. "Saya mempertikaikan tentang perjanjian pembelian tanah itu yang agak cepat, malangnya pegawai tersebut hanya menjawab; "Saya ikut arahan." - mns |
0 comments Labels: Harakahdaily, MB Selangor, untung rugi
