Kuala Lumpur, 20 April - Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) melihat keputusan Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Syed Hamid Albar untuk meluluskan permohonan permit akhbar Suara Keadilan, adalah satu kejayaan kepada perjuangan KeADILan selama tiga tahun menuntut permit diluluskan.
Menurut Ketua Penerangan Tian Chua, KeADILan mengalu-alukan pengumuman Menteri Dalam Negeri meluluskan akhbar milikan KeADILan ini serta mengkaji semula Akta Mesin Cetak dan Penerbitan hari ini kerana ia sejajar dengan tuntutan KeADILan dan pertubuhan masyarakat sivil dalam menuntut hak untuk bersuara dan hak setiap parti memiliki dan menerbitkan surat khabar sendiri.
“Maka, keputusan KDN ini akan dapat membuka lebih banyak ruang untuk kritikan serta menyebarkan idea-idea reformasi KeADILan dengan lebih meluas dan berkesan” kata Tian
Walau bagaimanapun, tindakan KDN meluluskan permit Suara Keadilan dalam tempoh 50 hari selepas pilihanraya adalah sekelumit dari permasalahan yang jauh lebih besar, iaitu dasar kerajaan Barisan Nasional yang masih mengongkong kebebasan media dengan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri.
“Sekiranya kerajaan Barisan Nasional bersungguh-sungguh ingin memulihkan demokrasi dalam negara, akta-akta di atas harus dimansuhkan dan langkah yang lebih menyeluruh wajar diambil agar ruang kebebasan media benar-benar terjamin, misalnya apa yang terjadi ke atas surat khabar Tamil Makkal Osai baru-baru ini tidak harus berlaku.
“Sesungguhnya, asas kemajuan sesebuah negara adalah ruang media yang bebas bagi memastikan pentadbiran kerajaan telus dan rakyat dapat menyuarakan pandangan berkenaan polisi negara dan keputusan kerajaan dalam pelbagai isu” tegas Tian.
Lidah rasmi KeADILan mula diterbitkan sejak Jun 2005 dengan dua minggu sekali. Permohonan permit telahpun dikemukakan kepada KDN ketika itu namun tidak mendapat sebarang jawapan selama tiga tahun. Berpuluh-puluh surat pertanyaan telah dihantar ke KDN dan satu memorandum telah diserahkan kepada Suhakam, namun masih terdapat ramai pengedar diintimidasi dan beribu-ribu nashkah Suara Keadilan dirampas oleh KDN kerana status permit yang tidak jelas selama ini.
admin @ April 21, 2008
0 comments:
Post a Comment