+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, June 26, 2008

'Melencong' ke seberang - Guna kereta kerajaan untuk beli-belah di negara jiran


sebuah kereta kerajaan (kiri) yang diletakkan di hadapan sebuah pusat hiburan di Pekan Padang Besar, Thailand semalam.


PADANG BESAR (Selatan Thailand) - Bukan untuk kegunaan rasmi dalam negeri tetapi sebaliknya digunakan untuk melancong ke negara jiran menggunakan kenderaan kerajaan.

Itulah yang dilakukan oleh segelintir kakitangan kerajaan termasuk pegawai kanan bagi menjimatkan perbelanjaan daripada memandu kenderaan sendiri ekoran kenaikan harga petrol dan diesel 5 Jun lalu.

Mereka yang menyalahgunakan kenderaan kerajaan itu dipercayai bertugas di Perlis dan Kedah memasuki negara jiran pada waktu petang dan pulang semula sebelum pintu pagar sempadan seperti di Padang Besar, Perlis dan Bukit Kayu Hitam, Kedah ditutup.

Mereka dipercayai melancong ke wilayah selatan negara jiran itu untuk membeli-belah selain berhibur di pusat hiburan yang banyak terdapat di pekan tersebut.

Malah Kosmo! difahamkan terdapat kalangan kakitangan kerajaan yang bertugas di negeri-negeri sempadan Malaysia-Thailand yang lain seperti Perak dan Kelantan juga menyalahgunakan kenderaan kerajaan bagi memasuki negara jiran itu.

Jurucakap Persatuan Pengguna Negeri Perlis berkata, pihaknya sering melihat kenderaan kerajaan memasuki negara jiran menerusi pintu sempadan di Padang Besar, Perlis.

Katanya, perbuatan tidak bertanggungjawab kakitangan kerajaan itu amat dikesali terutamanya selepas kenaikan harga petrol dan diesel.

"Tindakan mereka amat memalukan sedangkan kerajaan menyarankan rakyat berjimat-cermat selepas kenaikkan bahan api itu.

"Ada juga yang memasuki negara jiran ini pada waktu bekerja," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam Jabatan Perdana Menteri, Dr. Chua Hong Teck pula mendakwa pihaknya belum menerima aduan mengenai penyalahgunaan kenderaan kerajaan oleh kakitangan kerajaan yang bertugas di negeri-negeri bersempadan 'melancong' ke Thailand.

Bagaimanapun menurutnya, beliau mengalu-alukan orang awam mengemukakan aduan sekiranya terlihat kakitangan kerajaan menggunakan kenderaan kerajaan memasuki negara tersebut tanpa tugas rasmi.

Seorang peniaga, Alias Kadir, 35, memberitahu, penggunaan kenderaan kerajaan untuk memasuki negara jiran itu telah lama berlaku di pintu sempadan di Padang Besar, Perlis.

"Kami sudah biasa nampak sebelum ini tetapi jumlah kenderaan kerajaan semakin bertambah melepasi kawasan sempadan sekarang ini.

"Ada yang memasuki pekan seberang ini secara berkumpulan antara dua hingga lima orang menggunakan satu kenderaan kerajaan," katanya.

Read More...

itu kena tanya pegawai kewangan negeri:Tajol Rusli

Tranungkite

Dilulus terbit pada Wednesday, June 25 @ 19:33:46 MYT oleh reformis
Respon @ Ulasan Oleh notan

" Assalamu alaikum

Selawat dan salam ke atas Junjungan....

Pagi tadi ana sempat mengikuti secara langsung persidangan DUN Perak.Ketika itu Tajol Rusli sebagai ketua pembangkang sedang berucap dalam sessi perbahasan usul menjunjung kasih ke bawah Duli Tuanku Sultan.Panjang lebar ucapannya yang merangkumi beberapa persoalan sambil beberapa kali ucapannya diganggu oleh DUN lain.Ada beberapa perkara menarik dari ucapan dan gangguan yang terjadi sepanjang ucapan Tajol Rusli.Paling menarik ialah bilamana isu mesyuarat EXCO kerajaan negeri disentuh.

Dalam respon spotannya salah seorang EXCO kerajaan negeri sekarang bangun bertanya Tajol mengenai peruntukan bagi buah buahan dan kuih mueh berjumlah RM45-00 sekepala ketika kerajaan Tajol dulu.Tetapi jawapan kelakar dari Tajol ialah "itu kena tanya pegawai kewangan negeri".Tak pasal pasal pegawai kewangan negeri jadi kambing hitam sedangkan umum tahu keputusan perbelanjaan bagi sebuah kerajaan negeri ialah keputusan MB.

Bagaimana Tajol sebagai mantan MB tidak tahu akan perbelanjaan ini?sungguh melucukan dan sungguh memalukan bagi seorang mantan MB mengeluarkan jawapan sebegitu.Tidak cukup dengan itu,sebagai ketua pembangkang Tajol juga berlagak prihatin kepada permasalahan rakyat.

Kepada soalan siapa yang menaikan harga minyak,Tajol memberi respon spotan bahawa kalau minyak tidak dinaikan nelayan akan pergi ke tengah laut untuk menjual minyak ,rakyat Thai dan Singapora akan masuk ke sempadan untuk mengisi minyak .Jawapan budak tadika.seterusnya Tajol juga mengusulkan agar MB.EXCO serta wakil wakil rakyat mengurangkan makan nasi bagi memberi peluang rakyat miskin mendapatkan peluang makan nasi.Cantik cadangannya tetapi kebudak budakan kerana sikap ini menunjukkan tidak ada salah dengan pengurusan negara dan tidak perlu dipertimbangkan pertukaran kerajaan sekalipun jelas kerajaan yang ada (di peringkat pusat) sudah gagal membela nasib rakyat tetapi Tajol masih mahu mempertahankannya sambil cuba mencadangkan kepada kita agar melakukan sesuatu yang tidak munasabah.Tambahan pula kesediaan di pihak DUN pembangkang(BN) untuk mengurangkan makan nasi tidak diminta dan disahkan.Mampukah DUN BN ini mengurangkan makan nasi?satu soalan yang perlu dijawab oleh Tajol.

Begitu juga,Tajol cuba mengajar kerajaan Perak agar mencari jalan mengurangkan harga ikan kembong kerana ikan kembong menjadi makanan rakyat miskin serta mengurang harga daging yang diimport dari India kerana daging inilah menjadi yang tumpuan rakyat miskin.Tetapi apa yang Tajol lupa,dia mengusulkan cadangannya di tempat yang salah.Bukan tugas Kerajaan Perak menentukan semuanya itu sebaliknya Kerajaan Pusat yang patut bertanggungjawab.

Terdapat beberapa lagi kejanggalan ucapan panjang lebar serta lantang Tajol.Ditambah pula ada gangguan dari wakil BN yang cuba memperlekehkan kerajaan Perak serta cuba membangkitkan sentimen perkauman.Pada Tajol Pakatan Rakyat disebut Pakatan Rapuh.Tajol juga tidak yakin dengan kemampuan kerajaan Perak menjana hasil untuk pembangunan Perak berikutan pemansuhan saman yang berjumlah RM7 juta.Bagi Tajol adalah lebih baik saman ini dikutip dan diagihkan kepada rakyat miskin tanpa menyedari istilah rakyat miskin itu sendiri berpunca daripada pentadbirannya dulu.

Tajol cuba menjadi pembela rakyat miskin pada ketika beliau menjadi ketua pembangkang tetapi mengabaikannya semasa menjadi MB."

Read More...

Olimpik: RM1 juta 'satu-satunya' cara

Malaysiakini

Siti Nurul Zahra Hamdan | Jun 25, 08 2:21pm

Insentif RM1 juta kepada seorang atlet negara yang memenangi pingat emas satu-satunya cara untuk memberikan galakan kepada mereka di Sukan Olimpik, kata Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.

khoo kay kim anti auku gma 141006 showing teeth"Kita tidak akan tahu sama ada insentif ini akan membawa kejayaan untuk meraih pingat emas.

"Saya tidak nampak cara lain lagi untuk membuatkan mereka bersemangat, ini kerana mereka bersifat materialistik," katanya kepada Malaysiakini, mengulas insentif yang diumumkan kerajaan semalam.

Timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, atlet yang memenangi pingat emas di Beijing akan menerima insentif sejumlah itu berbanding hanya RM160,000 sebelum ini.

Selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Sukan di bangunan Parlimen, Najib juga bersetuju memberi RM300,000 kepada pemenang pingat perak dan RM100,000 untuk gangsa.

Menurut Dr Khoo lagi, pemberian insentif itu tidak membazir jika usaha itu membuahkan kejayaan.

"Bagi pendapat saya pemberian insentif itu tidak membazir ini kerana kita perlu mengikut seperti apa yang dibuat oleh negara-negara lain.

"Oleh itu kita perlu memberikan peluang kepada mereka. Tunggu dan lihat sahaja," kata pengulas sukan itu.

Beliau bagaimanapun berkata keadaan seperti itu "menyedihkan" kerana zaman dahulu atlet-atlet bermain kerana kesungguhan dan bukan semata-mata kerana wang.

"Situasi seperti ini menyedihkan kerana secara idealnya wang tersebut digunakan untuk menyediakan kelengkapan sukan.

"Pemain-pemain ketika dulu mempunyai nilai-nilai murni dan mereka tidak pernah terfikir akan insentif yang akan mereka perolehi selepas menang," tambahnya.

pkpim and university studentsPersatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) bagaimanapun "membantah keras" cadangan kerajaan itu.

"Dalam situasi rakyat menempuh keperitan hidup akibat harga minyak naik, (harga) barang keperluan naik dan segala macam lagi, insentif kemewahan itu tidak melambangkan situasi sebenar kehidupan rakyat," kata presidennya Mohd Hilmi Ramli.

"Apakah kewajaran kerajaan membuat keputusan yang semakin membangkitkan kemarahan rakyat? Apakah kerajaan tidak merasai nadi denyutan rakyat yang terus dihimpit kesusahan?

"Apakah benar dengan ganjaran mewah itu mampu mengangkat motivasi atlet negara untuk cemerlang nanti?"

Dalam kenyataannya hari ini, beliau berkata ganjaran mewah itu bukan jaminan atlet akan cemerlang.

"Kerajaan seharusnya tidak membudayakan nilai materialistik kepada atlet negara," tambahnya.

"Seharusnya atlet negara dididik supaya mempunyai semangat juang yang tinggi, demi mengangkat martabat negara.

"Memberi 'umpan' mewah bukan cara terbaik untuk mendidik atlet negara.

"Berapa ramai yang kecundang dan hanyut akibat 'dibelai' dengan kemewahan melimpah setelah menang dalam acara sukan?"

Read More...

Shaariibuu harap dakwaan Raja Petra benar!

Mstar Online

25-06-2008 09:04:49 PM
Oleh ZIEMAN

(Mutakhir) PETALING JAYA: Dr. Shaariibuu Setev, bapa kepada Altantuya Shaariibuu, berharap sangat apa yang didakwa oleh editor Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin ada kebenarannya.


Shaariibuu percaya PDRM dan harap sistem kehakiman Malaysia beri keadilan.
(Foto The Star oleh Shaari Che Mat)

"Kalau betul apa yang dia dakwa, ini boleh memberikan bukti baru kepada polis. Saya berharap sangat ada kebenaran dakwaannya," kata Shaariibuu dalam satu wawancara petang tadi.

Raja Petra melalui satu akuan bersumpah mendakwa pembunuhan Altantuya ada kaitan dengan tiga individu, salah seorangnya perempuan, berada di tempat kejadian semasa penterjemah dan model sambilan Mongolia itu dibunuh pada Oktober 2006.

"Saya harap pihak polis akan menjalankan siasatan terperinci kerana ini dakwaan yang serius. Saya percaya Polis Diraja Malaysia dan sistem kehakiman Malaysia akan memberi keadilan pada yang benar," katanya melalui seorang penterjemah.

Turut bersama dalam pertemuan itu ialah Konsul Kehormat Mongolia di Malaysia, Datuk Syed Abdul Rahman.

Dalam masa yang sama, Shaariibuu melahirkan rasa terkilan dan kecewanya dengan cara penyiasatan ke atas pembunuhan anaknya dijalankan.

"Semakin lama saya mengikuti perbicaraan, saya menjadi semakin keliru. Perkara yang penting tidak diberi keutamaan sedangkan perkara yang remeh temeh pula yang diperpanjangkan sampai membuang masa mahkamah," katanya.

"Yang lebih memusykilkan saya ialah apa hubungan anak saya dengan Sirul dan Azilah sedangkan seumur hidupnya dia tidak pernah mengenali kedua mereka. Saya hanya tahu anak saya ada hubungan dengan Razak Baginda saja," jelas Shaariibuu yang baru sahaja berjumpa dengan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail bagi membincangkan sama ada akuan berkanun Raja Petra itu boleh dikemukakan sebagai barang bukti di mahkamah.

Antara perkara lain yang membuat Shaariibuu tidak puas hati ialah terma 'C4' telah digantikan dengan terma 'plastic explosives' seolah memberi pengertian ia ringan dan mudah.

"Saya juga hairan bagaimana bukti-bukti kukuh tidak diserahkan sebagai bahan bukti yang boleh membantu penyiasatan bagi menunjukkan pertalian antara anak saya dengan Razak Baginda. Begitu juga kejadian yang berlaku di belukar atas bukit di mana Altantuya ditembak dan diletupkan, ianya tidak langsung diberi perhatian yang sewajarnya.

"Ini adalah satu pembunuhan terancang tapi tidak begitu jelas sepanjang perbicaraan. Apa yang saya faham, perkara penting sudah tidak menjadi penting lagi. Sedangkan yang tidak penting pula mendapat keutamaan. Itu yang buat saya kecewa," kata Shaariibuu.

Menurut Shaariibuu, kerajaan Mongolia, 22 NGO, dua peguam dan seluruh rakyatnya senantiasa memantau perbicaraan pembunuhan Altantuya sejak hari pertama.

Katanya, semenjak kematian Altantuya rakyat negaranya senantiasa memperingatinya dengan menyambut hari kelahirannya pada 6 hb Mei dan hari ulangtahun kematian pada 19 Oktober.

"Kami semua mengharapkan penghakiman yang adil dan saya percaya sistem kehakiman Malaysia akan berbuat begitu," katanya.

Pendakwaan perbicaraan kes pembunuhan Altantuya sudahpun ditutup dan penghujahan ditetapkan pada 23 Julai. Dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) C/Insp Azilah Hadri dan Kpl Sirul Azhar Umar dituduh membunuh Altantuya, 28, antara 10 malam, 19 Okt dan 1 pagi 20 Okt dua tahun lepas di Mukim Bukit Raja, Shah Alam. Penganalisis politik Abdul Razak Baginda 48, pula didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul membunuh Altantuya.

Ditanya mengenai harapannya, Shaariibuu berkata, "Saya sudah boleh menerima hakikat anak saya sudah tiada tapi saya berharap sangat kematiannya mendapat pembelaan dan yang bersalah akan menerima hukuman."

Read More...

Tajul Rosli 'tunjuk belang' dalam dewan

Harakahdaily

Johari Jaafar

Thu | Jun 26, 08 | 11:00:51 am MYT

IPOH, 26 Jun (Hrkh) - Bekas Menteri Besar Perak, Dato' Seri Tajul Rosli Ghazali, hari ini menuunjukkan 'belang' sebagai pembangkang di Dewan Undangan Negeri Perak dengan menjadikan PAS dan DAP sebagai sasarannya untuk 'melepaskan geram' setelah `rakyat menghukum dan menyingkirkan BN daripada pemerintah negeri Perak.

Sepanjang ucapannya hampir satu jam beliau menghalakan 'tikaman' kepada PAS khususnya kepada Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dan mensasarkan pula kepada DAP khususnya kepada Adun Sitiawan, Dato' Nge Ko Ham dan Adun Pantai Remis, Nga Kor Ming.

Ucapan tersebut yang sewajarnya untuk menyokong titah ucapan Paduka Seri Sultan Perak telah dijadikan alat untuk melepaskan geramnya untuk membangkitkan isu remeh temeh yang telahpun basi.

Beliau membangkitkan isu Menteri Besar Perak ada membuat kenyataan Tajol Rosli tidak bersalam dengannya, sedangkan isu sebenarnya Menteri Besar Perak menjelaskan Tajol Rosli tidak pun melakukan serahan tugas secara rasmi seperti yang dilakukan oleh bekas Menteri Besar Selangor, Kedah dan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang.

Satu lagi isu yang dibangkitkannya ialah isu Pengarah Jabatan Agama Islam yang kini telahpun dilupai oleh orang ramai, tetapi bekas Menteri Besar itu 'menghidupkannya kembali' dan menggunakan dewan untuk 'menyerang' DAP dan Menteri Besar Perak.

Selain itu isu kafir telah dihidupkan semula oleh Tajol Rosli, kononnya pemimpin PAS telah mengkafirkan pemimpin Umno kerana berkawan dengan MCA dan MIC, tetapi sekarang PAS dan DAP sudah berkawan baik.

Isu yang ditengahkan bekas Menteri Beasar itu sudak tidak relevan lagi dan dianggap sudah lapok.

Dalam sidang dewan tersebut beliau cuba menjadi 'jaguh' untuk mempertahan dan membela akhbnar Utusan Melayu, dalam masa sama menuduh Kerajaan Pakatan Rakyat tidak mengamalkan kebebasan media apabila bertindak memboikut akhbar tersebut.

Beliau menyerang DAP kononnya peranan DAP yang telah membawa kepada Kerajaan Pakatan memboikat Utusan dan tindakan memboikat akhbar Utusan katanya bertujuan untuk menutup akhbar milik Melayu.

"KIta akan mempertahankan Utusan, di mana-mana program kita, kita akan beli akhbar Utusan dan sebarkan kepada orang ramai," ujarnya.

Beberapa orang yang ditemui selepas sidang itu mendakwa tindakan bekas Menteri Besar Perak itu seolah-olahnya berupa konspirasi antara Utusan dengan Umno untuk memburuk-burukan Kerajaan Pakatan Rakyat. - mns _

Read More...

Wednesday, June 25, 2008

Video Lingam: Dr M sedia ke mahkamah

Malaysiakini

Jun 25, 08 3:53pm

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau tidak akan mengemukakan permohonan semakan penghakiman terhadap hasil siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung klip video Lingam.

mahathir mohamad 180108Sebaliknya bekas perdana menteri itu bersedia untuk pergi ke mahkamah.

Secara sinis, Dr Mahathir berkata: "Saya sudah pun bersalah. Kerana asas yang digunakan Suruhanjaya Diraja adalah jika sesuatu itu boleh berlaku, maka ia sudah berlaku jika ia boleh berlaku.

"Kerana ada kemungkinan saya telah dipengaruhi oleh Lingam dan dengan itu saya telah dipengaruhi oleh Lingam. Ini merupakan kriteria baru bagi bukti di mahkamah. Jadi saya sudah pun bersalah. Jadi apa gunanya saya mengemukakan rayuan."

Dr Mahathir berkata beliau terpaksa akur dengan standard baru itu yang sudah menjadi kelaziman di negara ini, demikian menurut laporan Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada beliau akan memohon semakan kehakiman sepertimana yang dilakukan oleh bekas Menteri Pelancongan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, hartawan Tan Sri Vincent Tan dan peguam Datuk V.K Lingam baru-baru ini.

Dr Mahathir bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran buku "Smart Growth", nukilan Prof Salleh Buang, oleh isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

Ditanya sama ada beliau bersalah seperti didakwa, Dr Mahathir secara sinis menjawab: "Bersalah seperti dihakimi. Suruhanjaya itu dianggotai mereka yang bijak pandai. Ada hakim-hakim, hakim-hakim yang berpengalaman yang berkata boleh jadi saya telah dipengaruhi dan dengan itu saya perlu disiasat.

"Saya tidak akan mengemukakan rayuan. Saya akan pergi ke mahkamah," katanya.

Lingam didakwa terbabit dalam klip video kontroversi selama 14 minit yang menurut suruhanjaya itu memaparkan beliau berbual di telefon berhubung urusan pelantikan hakim dengan bekas Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Berdasarkan hasil inkuiri suruhanjaya itu, Tengku Adnan dan Tan dikatakan mempunyai pengaruh secara langsung dalam pelantikan dan kenaikan pangkat para hakim.

Panel juga mencadangkan agar Lingam, Dr Mahathir, Tengku Adnan, Tan, Ahmad Fairuz dan Ketua Hakim Negara yang telah bersara Tun Mohd Eusoff Chin disiasat mengikut Akta Pencegahan Rasuah 1961, Akta Hasutan 1961, Akta Profesion Undang-undang 1976, Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Kanun Keseksaan.

Read More...

Kos Selenggara Lanskap Bulanan Putrajaya RM1.5 Juta

Bernama



KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Penyelenggaraan bulanan landskap di Putrajaya menelan belanja RM1.5 juta atau RM18 juta setahun, persidangan Dewan Rakyat diberitahu.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Zulhasnan Rafique berkata sejumlah 29 kontraktor landskap yang berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) bagi Projek Seni Taman telah dilantik bagi menjalankan penyelenggaraan landskap mengikut pembahagian zon penyelenggaraan.

Zon penyelenggaraan lanskap di Putrajaya dibahagikan kepada taman-taman, Jalan-jalan Protokol, Persiaran Perdana, Sisiran Putrajaya dan Presint-presint Kejiranan, katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Liew Chin Tong (DAP-Bukit Bendera) di sini, hari ini.

Dalam isu lain Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata bilangan anggota polis yang mati semasa menjalankan tugas bagi tempoh 2003 hingga 2007 adalah seramai 52 orang iaitu lima orang pegawai polis dan 47 orang anggota panggat rendah.

"Bilangan anggota polis yang cedera semasa menjalani tugas bagi tempoh yang sama adalah seramai 153 orang iaitu 16 orang pegawai polis dan 137 orang anggota berpangkat rendah," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Dr Lee Boon Chye (PKR-Gopeng).

Menjawab soalan Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) pula Syed Hamid berkata, berdasarkan statistik PDRM, semenjak 2000 hingga 2007, sejumlah 123 kes kematian telah berlaku ketika suspek atau Orang Kena Tahan (OKT) berada dalam tahanan polis.

Dari jumlah itu, seramai 59 orang terdiri daripada kaum Melayu, Cina (23), India (22) dan lain-lain bumiputera dan warga asing (19), katanya.

-- BERNAMA

Read More...

Anwar hadapi isu panas PKR S'gor

Malaysiakini

Abdul Rahim Sabri | Jun 25, 08 4:48pm

Datuk Seri Anwar Ibrahim akan hadir di mesyuarat perhubungan PKR Selangor bagi membincangkan pelbagai isu panas yang melanda negeri dan parti itu, antaranya pergolakan dalaman selepas penggantungan tugas pegawai kanan menteri besar kelmarin.

"Insya Allah, saya akan turut hadir dalam mesyuarat PKR Selangor malam nanti," kata penasihat PKR dalam blognya hari ini.

Mesyuarat jam 9 malam ini akan diadakan di ibu pejabat parti di Tropicana, Petaling Jaya.

anwar ibrahim pc 120508 01Dua lagi isu yang sedang menantinya: penyaluran wang derma syarikat- syarikat swasta, sepatutnya milik kerajaan negeri, kepada akaun PKR negeri dan rasa tidak puas hati 17 bahagian berhubung pelantikan ahli-ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT).

Wang derma sempena sambutan 100 hari kerajaan negeri Pakatan Rakyat dilaporkan dipertikaikan oleh pemimpin-pemimpin PAS, khususnya exco hal-ehwal agama Datuk Dr Hassan Mohamed Ali yang mengetuai jawatankuasa sambutan tersebut.

Selain isu keanggotaan PBT, ketua-ketua bahagian itu juga membangkitkan isu kebajikan dan pembelaan terhadap aktivis-aktivis Gerakan Reformasi yang didakwa diabaikan oleh PKR Selangor.

Mesyuarat badan perhubungan itu, yang dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dijadual akan turut dihadiri bekas pegawainya Mohd Yahya Mat Sahri.

Yahya, yang digantung tugasnya sebagai pegawai tugas-tugas khas Abdul Khalid susulan siasatan dakwaan salah guna kuasa, meletakkan dua jawatan pentingnya, termasuk setiausaha badan perhubungan PKR negeri.

Beliau memaklumkan kehadirannya di mesyuarat malam ini selepas bertemu Anwar semalam untuk membincangkan masalah penggantungan jawatannya dan juga rasa tidak puas hati 17 bahagian parti itu.

Anwar, di blognya itu, cepat-cepat mendakwa desas-desus kemelut dalaman itu angkara "permainan media Umno-BN."

"Isu yang digembar-gemburkan dalam media Umno-BN tidak menggugat seperti yang dipaparkan. Penyelesaian baik dicapai," katanya.

"Alhamdulillah, saya dapat segera menghubungi Tan Sri Khalid sebaik kembali dari Madinah.

"Kemudian saya turut ngobrol (berbual) panjang dengan Yahya Sahri (semalam) sambil menikmati mee mamak tanpa teh tarik."

Sementara itu, Angkatan Muda PKR Selangor enggan mengulas lanjut isu pemindahan wang kerajaan negeri ke dalam akaun parti tersebut.

petrol hike 30 cents 280206 khairul anuar ahmad zainudin"Perlu ada siasatan dijalankan, saya tidak oleh berbuat apa-apa kenyataan dalam masa siasatan tersebut," kata ketuanya Khairul Anuar Ahmad Zainuddin (foto) kepada Malaysiakini.

Mengulas dakwaan kerajaan negeri membelakangkan ahli PKR dalam pentadbirannya, beliau yang turut hadir di mesyuarat malam ini berkata perkembangan itu "bagus" untuk partinya.

"PKR tidak pernah ada pengalaman memegang kuasa. Kes yang berlaku bagus (kepada kerajaan negeri) kerana ia adalah proses pembelajaran sama ada yang mempunyai kuasa, jawatan ataupun tidak," katanya.

Katanya lagi, kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat masih dalam proses membuat penyesuaian, maka tidak hairan timbul perkara- perkara yang tidak diingini.

Mengulas dakwaan Yahya bahawa beliau mempunyai 70 hingga 80 peratus pengaruh di peringkat bahagian dan ketegangan Yahya dengan Abdul Khalid sebagai simbol keretakan PKR negeri, Khairul Anuar berkata:

"Masalah dalaman parti, media bukan tempat berbincang untuk menyelesaikan masalah parti. Parti ada salurannya."

Dalam perkembangan berkaitan, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) mencadangkan majlis hisbah (ombudsman) dibentuk bagi memastikan kerajaan negeri ditadbir secara bersih dan telus.

Pengerusinya Mohd Nazree Mohd Yunus juga berkata kerajaan Pakatan harus mencerminkan sikap berbeza dengan pentadbiran BN sebelumnya yang didakwa tidak menjalankan tadbir urus yang baik dan tidak telus.

Mengulas siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap Yahya, beliau berkata:

"Kedudukan sebagai pegawai kanan bukan lesen untuk dikecualikan daripada tindakan dan hukuman sekiranya didapati bersalah."

Gerak juga menggesa BPR menjalankan siasatan terhadap pemindahan wang kerajaan ke dalam akaun PKR.

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |