+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, September 3, 2008

Politik Ugut Pak Lah Untuk Sekat Kerajaan Baru

Tranungkite

Dilulus terbit pada Wednesday, September 03 @ 19:04:47 MYT oleh SongkokPutih

Kenyataan Media Oleh Haji Mahfuz Omar

 Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memandang serius kenyataan Perdana Menteri dalam pembentangan Belanjawaan 2009 yang bertegas tidak akan melepaskan kerajaan kerana mandat telah diberikan rakyat kepada BN. PAS berpandangan kenyataan ini adalah lambang sikap tidak demokratik Abdullah Badawi yang tidak mahu mengakui bahawa beliau sudah kehilangan kepercayaan parlimen untuk terus mengetuai kerajaan.

Jadi pendekatan yang berbau ugutan cuba digunakan ke atas wakil rakyat yang berhasrat meninggalkan BN dan menyertai Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan baru.

Kenyataan Pak Lah untuk terus mempertahankan kerajaannya itu telah ditafsirkan oleh pemerhati politik bahawa beliau akan menggunakan undang-undang darurat untuk mengisytiharkan MAGERAN atau membubarkan parlimen jika BN kehilangan majoriti di Dewan Rakyat. Ini merupakan satu amalan politik yang tidak sihat dan terlalu gilakan kuasa. Apabila seseorang perdana menteri sudah tidak diyakini oleh penyokong sendiri, mereka mesti berundur, bukannya mengugut wakil rakyat supaya tidak melakukan sesuatu. Bahkan, tindakan mereka yang hendak berhijrah " melompat " parti adalah suatu yang demokratik jika ia dilakukan dengan tujuan yang baik. Mandat yang diberikan oleh rakyat adalah supaya wakil mereka membela kepentingan rakyat, dan wakil-wakil rakyat BN mendapati BN bukanlah wadah untuk membela rakyat, sebaliknya untuk kroni dan keluarga Perdana Menteri. Untuk melaksanakan mandat rakyat mereka perlu berhijrah kepada Pakatan Rakyat dan meninggalkan BN.

Pak Lah cuba juga menggambarkan bahawa beliau berupaya untuk mendaruratkan negara ini atau membubarkan parlimen, sedangkan ia adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong. Pak Lah seolah-olah cuba memberi tahu rakyat bahawa Yang di-Pertuan Agong telah bersetuju dengan caranya dan Baginda akan tunduk dengan kehendak beliau. PAS percaya bahawa Tuanku tidak akan mudah diperalatkan oleh BN dan PAS sangat berharap supaya Tuanku boleh memainkan peranan penting dalam menamatkan krisis politik ini. BN cuba menjadi Yang di-Pertuan Agong sebagai alat politik mereka dengan menyuruh Tuanku membubarkan parlimen. Perkara ini tidak akan berlaku kerana Baginda terkenal dengan kebijaksanaan dalam pentadbiran seperti yang berlaku dalam krisis politik di Terengganu selepas pilihan raya lalu.

Tidak menjadi satu kesalahan untuk bertukar parti kerana ia adalah hak setiap wakil rakyat. Tidak munasabah untuk seorang wakil rakyat berdegil dengan partinya walau tahu partinya sudah rosak. Bahkan, Umno/BN sendiri sudah beberapa kali melakukan perkara yang sama dalam menjatuhkan kerajaan. Pada 1961, Umno membeli wakil rakyat PAS untuk menjatuhkan kerajaan PAS Terengganu. Pada 1967, Umno melakukan sekali lagi di Kelantan, tetapi gagal. Kemudian pada 1994, kerajaan PBS di Sabah dijatuhkan dengan cara yang sama. Adakah apabila giliran Umno melakukannya ia adalah demokratik, apabila parti lain yang ingin menjatuhkan BN demi untuk perubahan masa depan negara, maka ia dianggap tidak demokratik. Jika demikian mengapa Umno/BN melakukannya di Kelantan pada 2004 dan Tajol Rosli melakukan di Perak menjelang 31 Ogos baru-baru ini?

Umno bertegas bahawa perbuatan memujuk wakil rakyat BN ini suatu perkara yang tidak bermoral, tetapi mereka sendiri melakukannya. Bukankah Umno juga berusaha memujuk PAS meninggalkan Pakatan Rakyat dan menyokong BN dalam isu muzakarah. Bermoralkah Umno? Umno patut menilik pada diri sendiri sebelum mengatakan tindakan orang lain sebagai tidak baik. Pakatan Rakyat memujuk wakil BN berpindah kem adalah untuk kebaikan rakyat setelah BN terbukti gagal membela kepentingan rakyat. Sedang BN membeli wakil rakyat pembangkang untuk kepentingan dan survival politik sempit mereka.

PM juga sedang melakukan ugutan dengan menakutkan wakil rakyat BN. PM ini berusaha untuk melakukan ugutan yang baru iaitu melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LDHN) dan Badan Pencegah Rasuah (BPR). Dua agensi kerajaan ini sudah diarah untuk menyiasat mana-mana wakil rakyat yang terlibat dengan rasuah atau melarikan diri daripada membayar cukai. Mereka akan didakwa jika cuba melompat daripada BN. Persoalannya, apakah apabila seseorang itu kekal dengan BN, dia mempunyai imuniti daripada undang-undang, sedang bila keluar sahaja, maka undang-undang akan berkuat kuasa ke atasnya. Inikah yang dikatakan keadilan untuk rakyat? BN bukan sahaja mengugut wakil rakyat mereka demi kelangsungan kuasa Pak Lah, tetapi turut memermain-mainkan undang-undang. Kerana itu, wakil rakyat BN yang ingin menyertai Pakatan Rakyat, mereka mesti melakukan dengan segera supaya kerajaan BN terus tumbang dan tidak lagi dapat memperalatkan jentera kerajaan untuk kepentingan politik mereka.

PAS berharap kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu dapat memainkan peranan untuk melindungi wakil-wakil rakyat BN yang ingin berhijrah ke Pakatan Rakyat bagi menjayakan pembentukan kerajaan baru bagi negara Malaysia yang lebih bertanggungjawab untuk mempertahankan kedaulatan negara dan prihatin terhadap kepentingan dan kebajikan rakyat.

YB HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
Ketua Penerangan PAS Pusat

Read More...

43 MP Barisan Nasional sertai Pakatan Rakyat?

Harakahdaily

Awang Harun
Wed | Sep 03, 08 | 10:55:31 am MYT

KUALA TERENGGANU, 3 Sept (Hrkh)- Kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi diramalkan semakin goyah menjelang 16 September 2008 ini.

Ahli-ahli Parlimen BN yang 'didakwa' akan menyertai kerajaan baru Pakatan Rakyat bukan lagi omong-omong kosong dan bakal menjadi kenyataan.

Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) Terengganu, Fariz Musa yakin Parti KeADILan Rakyat (KeADILan) dapat merealisasikan peralihan kerajaan sebagaimana yang ditetapkan.

Ini kerana, katanya dengan penyertaan semula Penasihat PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim itu ke dalam Parlimen setelah 10 tahun dinafikan lebih menyakinkan Pakatan Rakyat.

Image"Kita (KeADILan) yakin akan dapat realisasikan rancangan peralihan kerajaan kepada Pakatan Rakyat dengan kemasukkan semula Dato' Seri Anwar ke dalam Parlimen sekarang.

"Kita juga lebih yakin dengan senario itu kerana daripada sumber-sumber tidak rasmi kini sudah ada seramai 43 Ahli Parlimen yang akan menyertai Pakatan Rakyat termasuk di kalangan MP Terengganu," jelasnya ketika dihubungi (Gambar - Fariz Musa)

Menurutnya, desas-desus tanggal 16 September tersebut bukan lagi cakap-cakap kosong yang tidak berasas tetapi akan menjadi realiti.

Mengulas kejayaan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang berjaya memenangi pilihan raya kecil di Parlimen Permatang Pauh dengan majoriti besar adalah kerana kehendak rakyat yang mahukan perubahan.

Katanya, kejayaan Anwar ke Parlimen dianggap sebagai satu isyarat bahawa perubahan bakal berlaku dan PKR akan terus berkembang dalam negara ini. - mr_

Read More...

Keluarga Sharlinie 'bawa hati' ke Dungun

Berita Harian




Peristiwa kehilangan kanak-kanak lima tahun masih dirasai keluarga

KUALA LUMPUR: Bukan kerana putus asa, keluarga Sharlinie Mohd Nashar, 5, yang hilang sejak Januari lalu, kini berpindah ke kampung bapanya di Dungun, Terengganu.

Kunjungan Bernama ke rumah keluarga kanak-kanak itu di Taman Medan, Petaling Jaya, semalam, hampa apabila diberitahu jiran bahawa keluarga Sharlinie sudah berpindah ke Terengganu Ahad lalu.

Bapa Sharlinie, Mohd Nashar Mat Hussain, 29, ketika dihubungi berkata keputusan untuk berpindah bukan kerana ingin melupakan kisah pahit yang berlaku, sebaliknya untuk mencari kedamaian bagi memulakan kehidupan baru bagi keluarganya.

“Ketibaan Ramadan tahun ini terasa begitu sunyi tanpa kehadiran Sharlinie.

“Justeru kami mengambil keputusan untuk berpindah dan menyambut Ramadan dalam suasana kampung yang aman dan tenteram,” katanya.

Tekanan hidup dan kos sara diri yang tinggi di ibu kota juga antara punca beliau sekeluarga berpindah, katanya yang sedang mencari pekerjaan untuk menyara keluarganya di sana.

Beliau berkata, gelagat Sharlinie ketika bersama ke bazar Ramadan untuk mencari juadah berbuka puasa masih terbayang.

“Ibunya juga masih bersedih dan kedua-dua orang kakaknya kerap bertanya ‘bila Nini nak balik... boleh raya bersama’, dan ini benar-benar menambahkan kepedihan di hati,” katanya.

Mohd Nashar berkata, mereka sekeluarga kini menetap di rumah bapanya dan kedua-dua kakak Sharlinie, Nurul Amirah, 11 dan Sharliena, 8, akan mula bersekolah di sekolah baru di Dungun, hari ini.

“Perpindahan ini mungkin hanya sementara. Kami belum putuskan sama ada mahu menetap terus di sini atau kembali ke Kuala Lumpur,” tambahnya.

Ibu Sharlinie, Suraya Ahmad, 28, berkata sejak hari pertama anaknya hilang, keyakinan untuk menemui anak bongsunya itu tidak pernah luntur.

“Sempena Ramadan ini, kami sekeluarga amat mengharapkan kepulangan Sharlinie.” katanya.

Sharlinie hilang 9 Januari lalu di taman permainan yang jaraknya hanya 200 meter dari rumah mereka. - Bernama

Read More...

DAP tolak permohonan maaf Najib

Malaysiakini

Sep 3, 08 1:36pm

DAP memberi lima alasan mengapa permohonan maaf timbalan perdana menteri bagi pihak seorang ketua bahagian Umno di Pulau Pinang yang telah membuat kenyataan berunsur perkauman terhadap orang Cina, "tidak bersesuaian, tidak memadai dan tidak boleh diterima".

Pertama, kata tokoh utama DAP Lim Kit Siang, ketua Umno Bukit Bendera Datuk Ahmad Ismail sendiri tidak memohon maaf dan tidak pun menunjukkan kekesalannya kerana membuat kenyataan tersebut sejak sembilan hari lalu.

Sehubungan itu, Lim mempersoalkan apakah Ahmad bersikap demikian kerana penuh yakin yang beliau mendapat sokongan pemimpin dan ahli arus perdana Umno.

Oleh itu, Lim bertanya sama ada permohonan maaf Datuk Seri Najib Tun Razak boleh diterima sedangkan Ahmad sendiri masih berdegil dan tidak kesal dengan perbuatannya mengeluarkan kenyataan yang berunsur perkauman.

"Walaupun jika Ahmad memohon maaf, akan timbul persoalannya sama ada ia memadai, memandangkan dalam kes Wee Meng Chee dalam isu lagu rap Negaraku, kabinet telah menolak permohonan maafnya sebagai tidak mencukupi," kata ahli parlimen Ipoh Timur itu dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, banyak laporan polis telah dibuat terhadap Ahmad di bawah Akta Hasutan.

Oleh itu, Lim mempersoalkan sama ada permohonan maaf Najib itu bermaksud sebagai satu mesej kepada pihak polis dan Peguam Negara supaya jangan mengambil tindakan terhadap Ahmad.

Menurutnya, Najib seharusnya memohon maaf bagi pihak dirinya dan bukannya bagi pihak Ahmad, kerana gagal mengambil tindakan segera terhadap ketua bahagian Umno itu, yang didakwa membuat kenyataan itu sewaktu kempen pilihanraya kecil Permatang Pauh 24 Ogos lalu, yang turut dihadiri Najib.

Media perdana

Lim berkata, perdana menteri juga harus memohon maaf dengan alasan cuba melindungi dan melepaskan Ahmad yang telah membuat kenyataan tersebut.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini pernah menyatakan ketua Umno itu tidak bermaksud seperti yang dikatakannya dan beliau akan "memberitahu Ahmad supaya jangan mengulanginya".

Akhir sekali, kata Lim, keikhlasan permohonan Najib juga dipersoalkan kerana berita mengenainya didakwa tidak disiarkan oleh akhbar-akhbar arus perdana Melayu yang dimilik dan dikuasai oleh Umno, terutamanya Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Menurut Lim lagi, semakan di laman web umum Bernama menunjukkan berita permohonan maaf oleh Najib itu dilaporkan dalam versi bahasa Inggeris, tetapi tidak dalam versi Bahasa Malaysia.

Dengan manipulasi media seumpama itu, dakwa Lim, setakat manalah seseorang itu hendak mempercayai Najib apabila beliau berkata kenyataan Ahmad itu tidak mencerminkan pendirian dan sikap Umno atau kepimpinan Umno.

Katanya, jika Najib benar-benar ikhlas dan serius berhubung kenyataannya mengenai pendirian Umno dan kepimpinan parti itu memisahkan diri mereka dengan kenyataan Ahmad, maka mengapa kenyataannya hanya dibenar dilaporkan dalam media arus perdana bukan Melayu, tetapi tidak dalam media arus perdana Melayu.

Bagaimanapun, semakan Malaysiakini di Kuala Lumpur mendapati berita tersebut turut disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Laman web Utusan Online juga menyiarkan berita tersebut. Edisi langganan Bahasa Malaysia Bernama memuatkan berita permohonan maaf Najib walaupun tidak menerbitkan di laman web umumnya.

Ketika dihubungi untuk memaklumkan perkara itu, Lim berkata, beliau membaca akhbar-akhbar tersebut di Pulau Pinang dan mendapati berita tersebut tidak disiarkan.

Bagaimanapun semakan Malaysiakini mendapat kedua-dua akhbar berkenaan, yang dijual di negeri itu, memuatkan berita tersebut.

Read More...

Label Cina pendatang: Umno mohon maaf kepada bukan Melayu

Mstar Online

02-09-2008 11:45:44 PM
Oleh ZANARIAH ABD. MUTALIB

KUALA LUMPUR: Umno hari ini memohon maaf secara terbuka kepada semua kaum bukan Melayu yang tersinggung dengan kenyataan berunsur perkauman yang dikeluarkan oleh Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, kenyataan Ahmad itu tidak mewakili Umno dan kerajaan secara keseluruhan sebaliknya adalah kenyataan peribadi.

"Kita tidak menganggap warganegara Malaysia keturunan Cina, India dan lain-lain sebagai 'menumpang'.

"Mereka adalah warganegara Malaysia yang mempunyai hak sepenuhnya dan kita tetap akan menjaga kepentingan dan maruah mereka," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Chery Eastar MPV di sini hari ini.

Sambil menyifatkan kenyataan Ahmad itu sebagai sesuatu yang amat dikesali, Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berharap kaum bukan Melayu di negara ini tidak tersinggung dengan kenyataan itu kerana ia tidak menggambarkan sikap dan kepimpinan Umno secara keseluruhan.

"Umno meminta maaf walaupun ia bukan kenyataan kita tapi ia dibuat oleh salah seorang Ketua Bahagian kita dan kita amat kesal," katanya.

Najib berkata, Umno akan membincangkan tindakan yang wajar dikenakan ke atas Ahmad berhubung kenyataannya itu dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) akan datang.

Semasa satu ceramah di Permatang Pauh pada 25 Ogos lepas, Ahmad didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa kaum Cina hanyalah penduduk sementara di negara ini dan oleh itu adalah mustahil untuk mendapat hak yang sama di negara ini.

Kelmarin, Gerakan, parti komponen Barisan Nasional (BN) mendesak tindakan diambil ke atas Ahmad berhubung kenyataannya yang bersifat hasutan terhadap masyarakat Cina.

Setiausaha Agung Gerakan Datuk seri Chia Kwang Chye berkata, ramai rakyat Malaysia kecewa dengan kenyataan Perdana Menteri dan Presiden UMNO Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi apabila mengulas mengenai kenyataan Ahmad.


  • Gerakan gesa Ketua Umno Bukit Bendera dikenakan tindakan
  • Umno Kelantan mahu Gerakan henti desak ambil tindakan terhadap pemimpin Umno Pulau Pinang
  • Isu Ketua Umno Bukit Bendera: MCA sokong Gerakan guna Akta Hasutan

  • Read More...

    Bantuan perkapita SAR dikembalikan oleh Pakatan Rakyat

    SU MB Perak

    Kerajaan Pakatan Rakyat akan mengembalikan semula bantuan per kapita berjumlah RM1.3juta kepada 18 buah sekolah Agama Rakyat di Negeri Perak bagi tahun 2008 ini.Bantuan tersebut akan diagih-agihkan dalam bulan Ramadhan , sedikit masa lagi.

    Bantuan kepada sekolah agama rakyat telah dinafikan oleh kerajaan BN/Umno yang memeerintah Perak dulu sejak pentadbiran Mahathir lagi;tetapi kini dibawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat, bantuan tersebut telah diberikan semula.

    Terdapat 9 buah Sekolah Menengah Agama Rakyat dan 9 buah lagi Sekolan Agama Rendah yang menjadikan jumlah keseluruhannya 18 buah.

    Terbukti bahawa kerajaan Pakatan Rakyat sangat prihatin dan mengambil berat untuk menyelesaikan masalah yang telah dicipta oleh kerajaan BN/Umno dulu.

    Tetapi mengapa tiba-tiba baru kini Umno mahu menunjukan rasa prihatinnya terhadap Sekolah Agama Rakyat yang mana sebelum ini merekalah yang menjadi dajal, menindas Sekolah Agama Rakyat dengan menafikan pemberian per kapita tersebut?

    Laporan Bernama telah menyebut tentang desakan Pergerakan Pemuda Umno, Zainol Fadzi supaya Menteri Besar Perak Dato Seri Mohammad Nizar Jamaluddin turut memberikan lot tanah kepada Sekolah Agama Rakyat milik persendiran dan Sekolah Agama Pondok dalam usaha memaju dan memartabatkan agama Islam di Perak.

    Kerajaan negeri menyedari bahawa pemberian RM30,000 setahun kepada 9 buah sekolah Cina itu( bukan setiap satu sekolah sebagaimana laporan tersebut) adalah tidak memadai.Oleh itu sebagai langkah jangka panjang, kerajaan negeri memutuskan untuk memberikan tanah kepada sekolah tersebut bagi membolehkan mereka menubuhkan sebuah syarikat untuk mengusahakan tanah berkenaan.

    Mengikut sumber yang boleh dipercayai, tanah tersebut akan diusahan dengan tanaman Kelapa Sawit dimana dalam jangka masa 5 tahun,akan memulakan pengeluaran hasil, maka bantuan RM30,000 setahun itu akan diberhentikan.

    Perlu diketahui, bahawa pemberian 400 hektar tanah kepada sembilan buah sekolah menengah persendirian Cina di Perak itu adalah atas tempoh pajakan selama 30 tahun.

    Projek seumpana ini telah lama dilaksanakan oleh Kerajaan Kelantan ; dimana kerajaan Kelantan telah memperuntukan 3,000 hektar tanah untuk sekolah-sekolah Cina disana.

    Sememangnya,Kerajaan Pakatan Rakyat mahu bersikap adil kepada semua sekolah-sekolah di Negeri Perak ini; bukan macam Umno / BN yang sehingga kini gambar MB Pakatan Rakyat di lima buah negeri tidak dibolehkan digantung dibilik-bilik darjah sekolah-sekolah.

    Kerajaan Negeri Perak juga sedang mengenal pasti tanah untuk Sekolah-Sekolah Agama Rakyat bagi tujuan yang sama dan akan di umumkan sedikit masa lagi.

    Read More...

    Kerajaan Negeri Perak kembalikan bantuan RM1.3 Juta kepada SAR

    Harakahdaily

    Al-Husseyn dan Johari Jaafar

    Wed | Sep 03, 08 | 11:03:45 am MYT

    IPOH, 3 Sep (Hrkh) - Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak akan mengembalikan semula bantuan berjumlah RM1.3juta kepada 18 buah sekolah Agama Rakyat di Negeri Perak bagi tahun 2008 ini.

    "Bantuan kepada sekolah agama rakyat telah dinafikan oleh kerajaan BN/Umno yang memerintah Perak dahulu sejak pentadbiran Tun Mahathir lagi tetapi kini dibawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat, bantuan tersebut telah diberikan semula.

    "Bantuan tersebut akan diagih-agihkan dalam bulan Ramadan, sedikit masa lagi," kata Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Perak, Ustaz Misbahul Munir bin Masduki

    Terdapat 9 buah Sekolah Menengah Agama Rakyat dan 9 buah lagi Sekolan Agama Rendah yang menjadikan jumlah keseluruhannya 18 buah.

    Menurut beliau, Kerajaan Pakatan Rakyat sangat prihatin dan mengambil berat untuk menyelesaikan masalah yang telah dicipta oleh kerajaan BN/Umno sebelum ini.

    "Merekalah yang menyekat bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat dahulu hingga menimbulkan masalah dan kerumitan kepada sekolah dan juga para guru yang bertugas di Sekolah-Sekolah Rakyat," jelas Misbah.

    Beliau melahirkan rasa kesal apabila Umno mahu menunjukan rasa prihatinnya terhadap Sekolah Agama Rakyat yang mana sebelum ini merekalah yang menjadi `penghalang' dan menindas Sekolah Agama Rakyat dengan menafikan pemberian per kapita tersebut.

    Laporan Bernama melaporkan tentang desakan Pergerakan Pemuda Umno, Zainol Fadzi supaya Menteri Besar Perak Dato Seri Mohammad Nizar Jamaluddin turut memberikan lot tanah kepada Sekolah Agama Rakyat milik persendiran dan Sekolah Agama Pondok dalam usaha memaju dan memartabatkan agama Islam di Perak.

    Misbah memberitahu Kerajaan negeri menyedari bahawa pemberian RM30,000 setahun kepada 9 buah sekolah Cina itu(bukan setiap satu sekolah sebagaimana laporan tersebut) adalah tidak memadai.

    Oleh itu sebagai langkah jangka panjang, kerajaan negeri memutuskan untuk memberikan tanah kepada sekolah tersebut bagi membolehkan mereka menubuhkan sebuah syarikat untuk mengusahakan tanah berkenaan," katanya.

    Mengikut sumber yang boleh dipercayai, tanah tersebut akan diusahakan dengan tanaman Kelapa sawit dimana dalam jangka masa lima tahun akan memulakan pengeluaran hasil, maka bantuan RM30,000 setahun itu akan diberhentikan.

    Misbah juga turut menjelaskan bahawa pemberian 400 hektar tanah kepada sembilan buah sekolah menengah persendirian Cina di Perak itu adalah atas tempoh pajakan selama 30 tahun.

    "Projek seumpana ini telah lama dilaksanakan oleh Kerajaan Kelantan dimana kerajaan Kelantan telah memperuntukan 3,000 hektar tanah untuk sekolah-sekolah Cina di sana," katanya

    "Kerajaan Pakatan Rakyat mahu bersikap adil kepada semua sekolah-sekolah di Negeri Perak ini, bukan macam Umno/BN yang sehingga kini gambar Menteri Besar dari Pakatan Rakyat di lima buah negeri pun tidak dibolehkan digantung dibilik-bilik darjah sekolah-sekolah kerajaan Pusat," ujarnya.

    Menurut Misbah lagi, Kerajaan Pakatan Rakyat juga sedang mengenal pasti tanah untuk Sekolah-Sekolah Agama Rakyat bagi tujuan yang sama dan akan di umumkan sedikit masa lagi. - mr_

    Read More...

    9 sekolah agama uzur mohon tanah

    Utusan Online

    KUALA LUMPUR 2 Sept. – Pertubuhan Pendokong Sekolah-sekolah Agama Rakyat Negeri Perak (PPSR) meminta kerajaan negeri turut menganugerahkan tanah kepada Sekolah Menengah Agama (SMA) seperti yang diberikan kepada sembilan buah sekolah persendirian Cina bagi membolehkan SMA itu meneruskan peranannya.

    Setiausaha PPSR, Khairul Anwar El-Syazalli Musa berkata, keadaan sembilan buah sekolah menengah agama itu kini begitu uzur dan tidak lagi boleh bertahan jika tiada bantuan diberikan.

    Katanya, keseluruhan sekolah agama di Perak daripada segi fizikalnya begitu daif kerana tiada bantuan sewajarnya diberikan oleh kerajaan negeri.

    Beliau berkata, kesemua sekolah berkenaan hanya memperoleh bantuan daripada Baitulmal Perak dengan peruntukan purata RM12 setahun setiap pelajar.

    “Daripada 38 sekolah agama di negeri ini, enam daripadanya telah ditutup dan 23 buah sekolah terpaksa diambil alih oleh kerajaan Pusat dan yang kekal cuma sembilan buah, itu pun dalam keadaan uzur.

    ‘‘Kami memerlukan bantuan daripada kerajaan negeri kerana jika bantuan lambat diberi, mungkin ada sekolah agama itu akan ditutup kerana tidak mampu membiayainya lagi.

    “Apa yang menyedihkan lagi, kebanyakan guru sekolah agama ini berada di bawah paras kemiskinan sehingga ada yang terpaksa bekerja sambilan seperti menjadi pemandu dan pengawal keselamatan untuk mencukupkan pendapatan,” katanya kepada Utusan Malaysia di Ipoh, hari ini.

    Beliau diminta mengulas langkah kerajaan Perak menganugerahkan 400 hektar tanah kepada sekolah persendirian Cina di Perak supaya ia dapat mengusahakan tanah berkenaan dan menggunakan keuntungan yang diperoleh untuk membiayai kos pentadbirannya.

    Menteri Besar Perak, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin dipetik sebagai berkata, peruntukan RM30,000 setahun kepada setiap sekolah berkenaan pada masa ini tidak memadai.

    Langkah ini disifatkan sebagai sesuatu yang luar biasa dan sepatutnya turut diberikan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan sekolah-sekolah Tamil yang rata-ratanya masih berkeadaan daif.

    Khairul Anwar berkata, bantuan perlu diberikan kepada sembilan buah SMA itu kerana ia mempunyai lebih 5,000 pelajar.

    Selain itu, katanya, terdapat 650 buah Sekolah Rendah Agama dengan 100,000 murid di negeri ini yang juga dalam keadaan tidak sempurna.

    ‘‘Kami menganggap faktor fizikal bukan penghalang untuk cemerlang dalam pendidikan, tetapi apa yang diutamakan sekarang ialah memastikan tenaga pengajarnya memperoleh pendapatan lebih selesa.

    ‘‘Pada masa ini, jika wang tidak cukup untuk membayar gaji guru, kami terpaksa isytihar di masjid untuk meminta derma daripada orang ramai,” jelasnya.

    Sementara itu, Presiden Majlis Permufakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Nasional, Prof. Madya Dr. Mohd. Ali Hassan berkata, langkah kerajaan negeri Perak itu membelakangi agenda pendidikan kerajaan Pusat yang memberi keutamaan pendidikan kepada semua kaum.

    Menurut beliau, sepatutnya perancangan kerajaan Perak sentiasa selari dengan kerajaan Pusat dalam isu pelajaran.

    ‘‘Kita minta mereka kaji dan teliti semula keputusan itu. Utamakan pendidikan awam daripada melihat keutamaan pendidikan kepada kaum tertentu sahaja,” katanya ketika dihubungi.

    Tambah Mohd. Ali, jika kerajaan Perak meneruskan cadangan itu, ia akan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat.

    ‘‘Ia boleh memecah-belahkan perpaduan antara kaum. Jangan sampai ada kaum yang tidak puas hati dengan kelebihan yang diperolehi oleh kaum lain,” tegasnya.

    Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamed pula berkata, tindakan itu menjurus kepada motif politik yang jelas tidak mengutamakan keadilan kepada kaum lain.

    ‘‘Mengapa tidak beri kepada Sekolah Agama Rakyat dan sekolah-sekolah Tamil yang keadaannya sama dengan sekolah Cina? Mereka tidak adil kerana mementingkan satu kaum sahaja.

    ‘‘Timbang balik keputusan itu. Ia sebenarnya membuka jurang yang lebih luas antara kaum untuk sama-sama hidup dalam keadaan bersatu padu,” ujarnya.

    Dalam pada itu, Yayasan Pelajar Islam Malaysia (YPIM) turut meminta kerajaan negeri Perak menimbang semula keputusan itu kerana keutamaan seharusnya diberikan kepada institusi pendidikan Islam termasuk sekolah agama rakyat.

    ‘‘Banyak SAR belum mendapat kemudahan yang baik seperti sekolah-sekolah biasa. Seharusnya keutamaan diberi kepada SAR,” kata Presidennya, Khalek Awang.

    Read More...

    Carian dalam Tau Takpe

    masukkan je apa-apa yg nak dicari

    Tau takpe

    Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

    - OrangKita (OK) -

    Video mesti tengok!!!

    | Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |