+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, May 29, 2008

BMC: Penduduk buang semula benteng

Malaysiakini

May 29, 08 11:50am

Penduduk Bandar Mahkota Cheras (BMC) telah membuang semula benteng yang dibina oleh syarikat konsesi tol, Grand Saga, yang menutup jalan yang mengelak tol di Lebuhraya Cheras-Kajang, malam tadi.

Ini merupakan kali ketiga batu benteng yang dibina di jalan tersebut, dibuang oleh penduduk di situ.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang turut berada di situ pada kira-kira jam 7.30 malam, memberi lampu hijau kepada penduduk untuk mengalihkan batu benteng tersebut.

Pada penduduk selesai mengalihkan batu benteng di jalan tersebut pada jam 9.30 malam.

Pihak polis, yang sebelum ini didakwa menyebelahi syarikat konsesi itu, memantau keadaan ketika penduduk mengalihkan batu benteng yang menutup jalan tersebut.

Khalid juga memberi amaran kepada Grand Saga supaya jangan membina semua benteng menutup jalan tersebut.

Selasa lalu, kira-kira 12 penduduk cedera serius dalam satu pergaduhan yang berlaku ketika Grand Saga membina semula benteng tersebut.

Penduduk menuduh syarikat konsesi tol itu mengupah ‘samseng' yang bersenjatakan kayu untuk menghalang mereka mengalih batu benteng di situ.

Menurut Bernama, polis telah menjalan siasatan untuk mengesan ‘samseng' yang membelasah penduduk terbabit.

Sekumpulan penduduk BMC pergi ke Parlimen hari ini untuk menemui Menteri Kerja Raya, Datuk Mohd Zin Mohamed.

Read More...

Dua harga jual petrol, diesel

Berita Harian

Oleh Azman Zakaria, Abdul Halim Yusoff, Nazura Ngah dan Sazarina Shahrim


PERDANA Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan bekas Ketua Pemuda PKR Mohamad Ezam Mohd Nor ketika sidang media selepas menyerahkan borang keahlian ahli Umno di parlimen, semalam. - Gambar Rosdan Wahid

Sistem berperingkat pastikan rakyat nikmati subsidi, warga asing beli ikut pasaran

KUALA LUMPUR: Kerajaan mungkin melaksanakan sistem harga berperingkat bagi petrol dan diesel untuk kenderaan yang didaftarkan di negara ini serta negara asing, dalam usaha memastikan subsidi yang diberikan hanya dinikmati rakyat tempatan.

Melalui sistem harga berperingkat itu, semua pemilik kenderaan yang didaftarkan di luar negara perlu membeli petrol atau diesel mengikut harga pasaran dunia jika memasuki negara ini.Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata pelaksanaan langkah itu dapat membantu memastikan hanya rakyat tempatan menikmati subsidi minyak yang diberikan kerajaan, manakala kenderaan asing dikehendaki membayar harga penuh (mengikut pasaran semasa).

"Mesyuarat Kabinet pada Jumaat ini (esok) akan membincangkan cadangan supaya kenderaan asing yang mengisi minyak dan petrol dikenakan bayaran mengikut harga pasaran," katanya selepas menerima borang keahlian Umno bekas Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd Noor, di pejabatnya di bangunan Parlimen, semalam.

Isnin lalu, kerajaan memutuskan supaya semua stesen minyak yang terletak dalam lingkungan 50 kilometer (km) dari sempadan negara tidak lagi dibenarkan menjual petrol atau diesel kepada kenderaan yang didaftarkan di luar negara, mulai esok.

Larangan itu membabitkan semua stesen minyak dalam lingkungan jarak 30 hingga 50km dari sempadan Malaysia-Thailand di Perlis, Kedah, utara Perak dan Kelantan serta Malaysia-Singapura iaitu di beberapa daerah di Johor termasuk Kulai dan Johor Bahru.

Arahan bertulis mengenai larangan itu, yang dibuat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 akan dikeluarkan kepada kira-kira 200 hingga 300 pemilik stesen minyak di kawasan berkenaan, dalam masa terdekat.

Abdullah berkata, jika cadangan untuk melaksanakan sistem harga berperingkat itu dipersetujui mesyuarat Kabinet, maka kenderaan asing yang mengisi minyak di negara ini perlu membayar mengikut harga penuh.

"Tunggulah Jumaat (esok) ini (untuk pengumuman)... jika penguatkuasaannya diumumkan, semua pihak perlu ikut peraturan baru itu," katanya yang enggan mengulas lanjut.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga mungkin mempertimbangkan supaya harga jualan petrol dan diesel untuk rakyat tempatan ditentukan berdasarkan kemampuan seseorang atau mengikut kapasiti enjin kenderaan mereka.

Difahamkan, cadangan berkenaan ialah antara perkara yang dibincang oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Inflasi yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam beberapa mesyuaratnya sebelum ini.

Abdullah berkata, semua cadangan itu adalah sebahagian usaha untuk membendung pengaliran keluar subsidi minyak yang diberikan kerajaan bagi meringankan beban rakyat negara ini serta mencegah penyeludupan.

"Minyak kita murah, jadi biarlah ia digunakan oleh rakyat kita dan bukan digunakan oleh orang tertentu untuk buat keuntungan. Minyak kita pun bukan banyak sangat, ada pula orang nak bawa keluar untuk buat untung... ini tak boleh.

"Minyak itu pula dibeli oleh orang yang bukan dari negara kita, sama ada dari Singapura atau Thailand. Jadi dia kena bayar harga penuh bila beli minyak dan cara yang baik ialah jika tak jual kepada mereka," katanya.

Semalam, Najib dilaporkan sebagai berkata, kerajaan dijangka mengumumkan beberapa langkah bagi mengurangkan kesan kenaikan harga minyak terhadap rakyat dan ekonomi negara selepas mesyuarat Kabinet pada Jumaat ini.

Read More...

Misteri Perletakan Jawatan Deris Jusoh

Buletin Online


PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh Editor
Thursday, 29 May 2008

The image “http://buletinonline.net/images/pas/madsauderissedih.jpg” cannot be displayed, because it contains errors.Semua akhbar media perdana (online) berbahasa Melayu melaporkan Deris telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu.
Namun sehingga malam ini tidak ada maklumat yang paling jelas berkenaan perletakan jawatan Deris.

Sebaliknya, Akhbar berbahasa Inggeris, NST Online dan The Star Online tidak menyiarkan langsung berita Deris meletakkan jawatan. Ada sesuatu yang disembunyikan oleh UMNO, Deris dan Mad Said tentang percaturan politik Terengganu.

Utusan Online adalah yang paling awal mengeluarkan berita tentang perletakkan jawatan Deris Jusoh pada jam 4.48 petang.

Ia diikuti oleh Berita Harian Online (5.04 petang), namun sehingga tengah malam 28 Mei masih mengekalkan berita satu ‘para’ tentang perletakan jawatan Deris Jusoh.

mStar pula menambah kenyataan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Terengganu yang memetik kata Rosol bahawa beliau (Rosol) juga melepaskan jawatannya itu bagi mengikut jejak langkah Idris.


"Saya dilantik oleh Datuk Seri Idris dan saya merasakan bahawa saya perlu mengikut apa yang dilakukan oleh beliau. Semua ini adalah untuk memastikan Umno Terengganu lebih kukuh dan kuat," kata Rosol


Bernama melaporkan pada jam 5.51 petang menyatakan Deris Jusoh mengumumkan keputusannya dengan satu kenyataan ringkas melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar oleh Deris kepada agensi tersebut.

Deris berkata perkara itu telah dimaklumkan semasa beliau mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga Presiden Umno, di ibu negara, Rabu (mungkin kelmarin).

"Saya telah memberitahu Perdana Menteri bahawa saya setuju meletak jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu dan beliau (Perdana Menteri) terima, saya akan hantar surat peletakan jawatan itu esok," katanya.

Bernama juga melaporkan bahawa Deris tidak menyatakan sebab-sebab beliau bersetuju untuk melepaskan jawatan itu.

Walaubagaimana pun, maklumat berkenaan perjumpaan Deris dengan Pak Lah sebagaimana SMS yang diterima Bernama dari Deris, tidak dapat disahkan.

Sejak dari pagi sudah pasti para wartawan berkumpul di Parlimen mengikuti sidang yang sedang berlangsung, selain menunggu kemunculan Ezam yang dijadualkan bertemu Pak Lah.

Adalah mustahil tiada seorang pun yang dapat menghidu tentang pertemuan Deris dengan Pak Lah sebagaimana yang didakwa oleh Deris.

Manakala Pak Lah ketika membuat pengumuman menerima Ezam kembali masuk UMNO pada jam 4.10 petang tadi, tidak pula membuat sebarang ulasan tentang perletakan jawatan Deris sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu.

Adakah perletakan jawatan Deris hari ini adalah satu ‘drama politik’ yang telah ditulis skripnya ??
Dan mungkin ada kaitannya dengan misteri Utusan Online kelmarin ( 27 Mei) yang sengaja menyiarkan semula berita 26 April (sebulan lalu) bertajuk ‘Ahmad Said sedia dilantik Pengerusi UMNO Terengganu’ ???

Read More...

Ezam rela diperalat serang Anwar, dua lagi sertai Umno

Mstar Online

29-05-2008 09:44:43 PM
Oleh SA'ODAH ELIAS dan ZANARIAH ABD. MUTALIB

(Dikemas kini) PETALING JAYA: Mohamad Ezam Mohd. Nor hari ini menegaskan, beliau kembali ke pangkuan Umno semalam demi prinsip, tetapi rela diperalatkan untuk melawan bekas ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pembangkang.

Lima jam selepas beliau mendedahkan rahsia menyertai Umno, dua lagi ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan permohonan untuk menyertai Umno kerana mendakwa sudah hilang kepercayaan ke atas Anwar

Bekas Ketua Bahagian PKR Bahagian Permatang Pauh, Anuar Shaari, 40, dan bekas Exco Pemuda Keadilan Pusat, Khairul Anuar Ramli, 27, menyerahkan borang permohonan mereka kepada Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak di bangunan di Parlimen petang ini.

Terdahulu, Ezam ketika menjawab soalan sama ada beliau bersedia diperalatkan Umno untuk menangkis pengaruh Anwar, penasihat PKR berkata:

"Saya orang politik. Dalam politik kita sentiasa dipergunakan. Saya rela untuk dipergunakan Umno demi kebaikan,"

Sehari selepas menghantar borang menganggotai semula Umno kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, parti yang telah memecatnya pada 1998, Ezam pada sidang akhbar di sini pagi ini, secara terbuka mengkritik Anwar yang dianggapnya seorang pemimpin yang terlalu obses dengan kuasa.

Walaupun pada awal sidang akhbar Ezam menggunakan pendekatan mengkritik bekas mentornya itu secara beralas, tetapi selepas bertubi-tubi soalan diajukan mengenai pendiriannya tentang Anwar, beliau tidak lagi berselindung.

Anwar, katanya, berdosa besar kerana setelah dibebaskan dari penjara, telah mengubah prinsip perjuangan PKR daripada sebuah parti berbilang kaum yang berasaskan Melayu menjadi sebuah parti yang telah membuang terus perjuangan Melayunya itu.

Beliau juga dengan sinis mengkritik Anwar sebagai pemimpin yang mengamalkan politik menghalalkan cara sehingga sanggup memperalatkan Dasar Ekonomi Baru dalam kempen pilihan raya umum ke-12 hanya untuk menarik sokongan bukan Melayu.

Anwar, jelas Ezam telah membawa PKR keluar daripada landasan perjuangannya semata-mata untuk kepentingan peribadi beliau.

"Jika tidak percaya, tanyalah pemimpin-pemimpin peringkat negeri dan bahagian. Janganlah tanya pemimpin besar, kerana mereka sudah kenyang," ujar Ezam, bekas Ketua Angkatan Pemuda PKR, yang keluar parti itu April 2007.

Ditanya apakah punca menyebabkan beliau terus hilang kepercayaan terhadap Anwar setelah hampir 10 tahun berjuang dalam Parti Keadilan, Ezam menjawab:

"Sebabnya besar. Ia satu perselisihan yang serius. Jangan lupa, saya dan Datuk Nala (S Nalakaruppan yang turut hadir pada sidang akhbar itu) adalah dua orang yang pernah masuk penjara kerana Anwar. Semuanya kami akan dedahkan nanti."

Ezam juga menafikan spekulasi bahawa beliau ditawarkan jawatan untuk menyertai Umno.

Katanya, jika tawaran menjadi ukuran sudah lama beliau menganggotai semula Umno dan bukannya sekarang.

Sebelum ini, dedah Ezam, beliau pernah ditawarkan jawatan dan kedudukan tinggi untuk meninggalkan Keadilan (kini PKR) oleh pemimpin kerajaan, tetapi tidak berminat kerana tidak ada tanda-tanda reformasi dalam Umno.

Beliau mengulangi bahawa minatnya kepada Umno bangkit semula berikutan perubahan dasar yang cuba dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam isu rasuah dan institusi kehakiman.

Ditanya sama ada benar beliau ditawarkan jawatan pengerusi di salah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), beliau pantas menjawab: "Tidak, walaupun saya berharap ia benar."

Ezam berkata, beliau juga tidak bimbang untuk berhadapan dengan pemimpin-pemimpin Umno yang pernah beliau kritik satu masa dahulu kerana tuduhan-tuduhan rasuah serta salah guna kuasa kerana beliau berpegang pada perinsip kebenaran.

"Itu bukan satu masalah bagi saya, tetapi mungkin bagi mereka. Mereka semua kini perlu berhadapan dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang lebih bebas," tegasnya.

Walaupun kini berada dalam Umno, Ezam berkata, beliau bukan sahaja akan meneruskan agendanya menentang rasuah, malah akan juga akan menyuarakan tentangan terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dianggapnya satu akta yang kejam.

Ezam merupakan antara mereka yang pernah ditahan di bawah ISA.

Beliau juga berazam membuka mata seramai mungkin pemimpin dan penyokong PKR tentang kepincangan parti itu serta mengajak mereka beramai-ramai menyertai Umno dengan melancarkan program bergerak ke seluruh negara tidak lama lagi.

Katanya, hanya konsep perkongsian kuasa yang didukung Barisan Nasional sahaja boleh menjamin masa depan Malaysia, seperti yang terbukti lebih 50 tahun selepas merdeka.

Perkongsian kuasa antara PKR, DAP dan Pas di bawah nama Pakatan Rakyat, kata beliau bukan satu alternatif kerana walaupun baru sahaja ditubuhkan untuk membolehkan mereka memerintah di beberapa negeri, telah terdapat bibit keretakan.

"Siapa tidak tahu bahawa sejak kebelakangan ini pemimpin DAP telah pun bertindak memboikot semua mesyuarat Pakatan Rakyat. Tetapi jika ditanya pemimpin Pakatan Rakyat, sudah pasti mereka akan nafikan," katanya lagi.

Ditanya kemungkin beliau bertanding jawatan tinggi, termasuk jawatan Ketua Pemuda Umno pada pemilihan parti akhir tahun ini, Ezam tidak mengiya atau menidakkannya tetapi berkata, ia sesuatu yang akan ditentukan oleh pihak lain kerana ia bergantung pada pencalonan yang akan beliau terima.

Pada sidang media itu, Ezam juga mengumumkan kemasukan ke dalam Umno lima rakan seperjuangannya ketika dalam Pergerakan Pemuda PKR dahulu.

Dalam pada itu, Anuar dan Khairul Anuar menyerahkan borang permohonan mereka kepada Najib di bangunan di Parlimen petang ini.

Kedua-dua mereka dikatakan sudah hilang kepercayaan sepenuhnya kepada kepimpinan PKR dan ingin menyertai Umno atas dasar keikhlasan dan kesedaran serta mahu berjuang untuk agama dan bangsa.


NAJIB Tun Razak menerima borang menyertai Umno daripada Anuar Shaari dan Khairul Anuar Ramli di Kuala Lumpur petang tadi.

Menurut Anuar yang pernah menjadi ahli Umnodan juga bekas Setiausaha Sulit Menteri Kewangan (jawatan yang pada ketika itu disandang Anwar) sehingga 1998, berkata, beliau telah menemui Najib tahun lalu dan menyatakan hasratnya.

“Penyertaan semula ke dalam Umno ini adalah atas kesedaran kerana saya sudah berada dalam Umno dan PKR.

"Justeru setelah membuat perbandingan dan kesimpulan, saya harus kembali kepada akar iaitu agama dan bangsa yang diperjuangkan Umno.

“Saya telah meninggalkan PKR pada tahun lalu sebelum menjadi Ahli Lembaga Pengarah Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK)," katanya.

Menurut Anuar, beliau telah mengumumkan kenyataan keluar daripada PKR kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinanan di hadapan Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tahun lalu.

“Hari ini, saya mengumumkan penyertaan semula ke dalam Umno sebagai ahli biasa dan saya perlu bekerjasama dengan ahli-ahli lain serta menunjukkan prestasi yang baik," katanya.

Anuar turut mengakui terdapat lagi ahli PKR yang akan menyertai Umno.

Sementara itu, Khairul Anuar yang tidak pernah menjadi ahli Umno sebelum ini berkata, sikap Anwar yang tidak konsisten dalam tutur katanya menyebabkan beliau hilang kepercayaan terhadap enasihat PKR itu.

“Saya sebenarnya menyertai Umno dari sekolah lagi kerana menyangka ia satu wadah bagi rakyat.

"Kemudian, saya melihat sikap Anwar dengan Pas, cakap lain, dengan DAP cakap lain, itu yang menyebabkan saya hilang kepercayaan kepada beliau," katanya yang pernah bertanding atas tiket bebas merebut kerusi Dewan Undangan Negeri Kulim pada pilihan raya umum lalu.

Ditanya sama ada penyertaan mereka ke dalam Umno telah dirancang memandangkan Ezam mengumumkan penyertaan beliau semalam, Anuar berkata, itu hanya ebetulan dan mereka tidak pernah merancang.

“Saya suka kalau mereka mahu masuk Umno secara ikhlas. Saya tak pernah ajak ahli lain,” katanya.

Read More...

Nikmat rakyat Selangor yang tidak dikecapi dalam pemerintahan BN

Harakahdaily

Adnan Ibrahim

Thu | May 29, 08 | 3:53:24 pm MYT

Pengumuman Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim akan menyiasat penglibatan samseng yang memukul penduduk hingga berlaku tragedi berdarah, sama ada ia turut melibatkan syarikat konsesi lebuh raya Cheras-Kajang atau tidak, sangat dialu-alukan rakyat.

Kes orang awam kena pukul oleh semseng yang diupah syarikat pemaju atau konsesi memang sudah menjadi perkara biasa dalam pemerintahan BN.

Sebab itu pemerintah BN memang terkenal dengan berleluasanya mafia yang `mencari makan' dengan golongan kapitalis untuk mengugut dan memukul orang awam yang dikatakan menggangu urusan `pembela' mereka.

Malah bagi bukti penglibatan semseng dengan pemaju amat sukar kerana ia dilindungi sama ada pihak berkuasa atau pengaruh kerajaan sendiri. Walaupun perkara ini juga berkait dengan unsur rasuah atau imbuhan lumayan bertujuan tutup mulut dan putar belit kejadian sebenar.

Bagi menjaga kepentingan kapitalis ini, tidak hairanlah orang awam turut dipukul oleh pasukan keselamatan. Polis yang hadir sepatutnya bertindak menjaga keselamatan apabila ada perhimpunan sebaliknya mereka bertindak di luar etika memukul orang awam.

Dalam kes 20 anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) membelasah remaja Chang Jiun Haur dengan cota dan ditendang sehingga berdarah, memang boleh berlaku kerana dasar seumpama itu masih lagi menguasai Kerajaan Pusat.

Chang Jiun, 21 dikatakan hadir di tempat pembinaan benteng konkrit dekat Bandar Mahkota Cheras (BMC) malam tadi bersama adik perempuannya dan dua lagi rakan lelaki.

Ketika memandu keluar dari tapak benteng tersebut pada kira-kira jam 11.30 malam kelmarin, kereta beliau dikepung oleh anggota polis yang sebelum ini, menyeleraikan pergaduhan membabitkan penduduk BMC.

Alasan beliau dipukul kerana didakwa melanggar anggota FRU. Bagaimanapun, seorang pegawai polis yang membawa Chang ke Hospital Kajang berkata tidak seorangpun anggotanya dilanggar oleh kereta remaja itu.

Sementara media elektronik dan akhbar 'mainstream' secara besar-besaran serta menjadi berita utama melaporkan remaja terbabit melanggar anggota FRU dengan keretanya.

Laporan yang sering kali menyalahkan orang awam apabila berlaku tragedi sedemikian tanpa usul periksa memang kerap berlaku. Malah penduduk yang dipukul samseng juga dilaporkan secara memutar belitkan kejadian dengan menuduh penduduk bergaduh dengan pekerja.

Akhbar berbahasa Cina melaporkan lebih daripada 10 orang cedera parah dalam kejadian pergaduhan samseng dengan penduduk tersebut.

"Mereka terus menyerang penduduk terbabit. Kira-kira 10 orang dipukul dan tiga daripadanya adalah wartawan. Kamera juga turut dirampas," dakwa Pengerusi Jawatankuasa Buka Jalan BMC, Tan Boon Hwa.

Penduduk BMC, Chin Kee Chong patah tangan kanannya serta turut cedera di bahagian kepala, manakala seorang lagi penduduk, Lee Ah Seng, cedera parah di kepalanya yang memerlukan tujuh jahitan.

Akhbar Inggeris ada menyiarkan jurugambar Utusan Malaysia, Roy Azis Abdul Aziz dipukul ketika beliau cuba mengambil gambar pergaduhan tersebut.

Sebaliknya media memanipulasikan berita mengatakan wartawan dipukul penduduk dan kemera mereka dirampas.

Bagaimanapun penduduk Selangor kali ini sangat bersyukur mempunyai pemerintah yang prihatin tentang nasib dan maruah mereka yang diaibkan sedemikian rupa.

Hal seumpama ini tidak berlaku dalam pemerintah Barisan Nasional (BN) yang lebih memihak kepada pemaju bila berlaku konflik antara kedua pihak.

Nikmat hidup sebagai rakyat yang dihargai pemerintah mula terasa sejak pakatan rakyat mengambil alih pemerintahan selepas pilihan raya umum lalu. Inilah pentingnya menyokong kerajaan berjiwa rakyat.

Kebahagian seumpama ini hanya dapat dikecap semasa pemerintahan khalifah Umar apabila mengarahkan tentera memerangi Yahudi yang mempersendekan dan mentertawakan seorang muslimat yang auratnya terdedah dikalayak ramai di pasar.

Wanita tersebut merasa terhina dan maruahnya dicabar lalu mengadu kepada pemerintah Umar. Lalu Umar mengarahkan tentera tersebut bertujuan memberi peringatan dan pengajaran bahawa rakyat di bawah pemerintahan Islam akan dibela maruah dan keaiban mereka.

Ini contoh negara Islam dan perkara inilah yang perlu diteladani oleh pemerintahan pakatan rakyat.

Dalam sidang media selepas mesyuarat exco kerajaan Selangor, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pihaknya akan menyiasat hubungan kumpulan samseng yang didakwa diupah oleh syarikat konsesi lebuh raya Cheras-Kajang sehingga menimbulkan ketegangan berdarah di BMC.

"Kerajaan negeri akan memanggil (mesyuarat agung tergempar atau EGM) untuk membuat audit terhadap Grand Saga Sdn Bhd untuk mendapatkan penjelasan aliran kewangan untuk mengupah samseng tersebut," kata Abdul Khalid.

"Jika ada bukti syarikat (konsesi lebuh raya) tersebut ada berbuat demikian, kerajaan percaya pegawai-pegawai termasuk pengarah syarikat boleh dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mencedera," kata Abdul Khalid di Shah Alam, semalam.

Khalid berkata Selangor tidak boleh mengetepikan hak orang awam walaupun anak syarikat kerajaan negeri memiliki saham dalam Grand Saga. - mns

Read More...

Ezam sedia tanding Ketua Pemuda jika ada sokongan


Berita Harian


PETALING JAYA: Bekas Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd Nor berkata beliau bersedia bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno jika kedudukannya sebagai Ketua Pemuda mampu membina dan mengangkat martabat Melayu menjadi bangsa yang dihormati.

Bagaimanapun, katanya kedudukannya yang masih terlalu baru di dalam Umno tidak membenarkan beliau untuk membuat keputusan yang besar itu.Namun, Mohamad Ezam berkata beliau akan membincangkan soal itu dengan pemimpin Umno yang lain terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya.

"Saya kena bincang dulu dengan pimpinan, kena bincang dengan kawan-kawan dan kalau jawatan itu untuk kepentingan negara, ia boleh membantu kepentingan negara, kepentingan parti, membina dan mengangkat martabat Melayu menjadikan Melayu satu bangsa yang dihormati oleh bangsa-bangsa lain, saya akan pertimbangkan secara serius,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas kemungkinan kemasukan beliau ke dalam Umno ialah untuk mengisi jawatan Ketua Pemuda yang akan dikosongkan penyandangnya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. - Bernama

Read More...

Mukhriz rayu Najib pujuk Pak Lah, tidak rela Presiden Umno diaibkan

Mstar Online

29-05-2008 09:36:57 PM
Oleh G. MANIMARAN

KUALA LUMPUR: Datuk Mukhriz Mahathir, yang lantang mengkritik Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sejak pilihan raya umum ke-12, menemui Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dua minggu lalu untuk merayu agar beliau "melakukan sesuatu bagi mempercepatkan peralihan tampuk kepimpinan dengan segera."

Mukhriz mengakui telah menemui Najib untuk menyampaikan pendiriannya itu pada 15 Mei lalu, empat hari sebelum ayahnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan keluar Umno di Alor Star.

"Ada perjumpaan dengan beliau (Najib). Itulah, saya terangkan pendirian saya. Beliau kata beliau faham, saya pun merayu kepada beliau melakukan sesuatu.

"Tetapi nampaknya setakat itu sahaja. Masih belum nampak apa-apa lagi," kata beliau yang juga Exco Pemuda Umno ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Mukhriz, Ahli Parlimen Jerlun menjelaskan, beliau telah merayu kepada Najib agar berbincang dengan Abdullah untuk membincangkan peralihan kuasa dengan segera - sebelum mesyuarat cawangan dan bahagian.

Pada pertengahan bulan lalu, Abdullah yang memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Umno sejak 2003 berkata, beliau akan tetap mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti Disember ini.

Perdana Menteri turut menjelaskan, hanya selepas pemilihan itu, beliau akan berbincang dengan Najib berkaitan hal-hal peralihan kuasa.

"Mungkin beliau rasa satu tahun, dua tahun boleh lagi. Bagi saya, satu, dua tahun bermakna kita cuma ada dua atau tiga tahun untuk membuat kerja-kerja menawan balik negeri-negeri yang tewas," kata Mukhriz yang memutuskan untuk kekal dalam Umno walaupun Dr. Mahathir memutuskan untuk keluar Umno kerana kecewa dengan senario politik dalam parti.

Mukhriz juga telah menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno.

Dalam pertemuan itu, beliau yang turut ditanya mengenai tindakannya terus mendesak Abdullah melepaskan jawatan parti dan kerajaan dengan segera, Mukhriz menjelaskan, beliau tidak mahu Abdullah diaibkan dengan kemungkinan kekalahan dalam pemilihan Umno Disember ini.

"Tidak pernah berlaku dalam parti, dalam sejarah Umno ini, presiden yang menyandang jawatan itu kalah dalam pemilihan.

"Jadi, saya khuatir itu akan berlaku sekiranya Abdullah cuba untuk mempertahankan jawatannya sebagai presiden. Misalnya Tengku Razaleigh Hamzah (Ketua Umno Bahagian Gua Musang) mahupun sesiapa melawan beliau untuk jawatan presiden.

"Jika presiden yang menyandang kalah dalam pemilihan, ia merupakan keputusan yang mengaibkan," kata beliau yang seolah-olah memberikan alternatif kepada Abdullah agar mengelak daripada 'kekecewaan' seterusnya.

Sama ada beliau ingin menyelamatkan Abdullah daripada kemungkinan tersebut dengan memberi alternatif, Mukhriz menjelaskan:

"Cuba kita bayangkan, keyakinan orang terhadap Umno, sokongan terhadap Umno sekarang. Sudah kalah lima negeri dalam pilihan raya, majoriti Abdullah sendiri pun menurun.

"Jika dalam pemilihan Umno kalah lagi, sudah tentu mengaibkan individu tersebut dan ada kesannya kepada parti.

"Jadi, saya rasa kalau boleh jawatan presiden parti itu, ada peralihan kuasa sebelum kita mulakan mesyuarat cawangan (Julai ini)."

.

IKUTI SEDUTAN PERBUALAN MUKHRIZ BERSAMA WARTAWAN MSTAR ONLINE DAN AGENDA DAILY BARU-BARU INI.


Komen berhubung gesaan Badan Perhubungan Umno Kedah agar Mukhriz henti kritik kepimpinan Umno?:

Pengerusi Badan Perhubungan Negeri (Datuk Seri Mahdzir Khalid) pun dilantik oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi). Apa yang kita boleh harapkan daripada beliau (Datuk Mahdzir). Setakat ini, kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan hanya daripada mereka yang dilantik termasuk Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Kedah, yang kedudukan beliau sendiri pun, di peringkat negeri, sebagai bekas Menteri Besar yang mengakibatkan negeri (Kedah) kalah, dilantik memegang jawatan tersebut. Walhal semasa Tan Sri Sanusi Junid (Menteri Besar) dulu, walaupun tidak kalah negeri, tetapi disebabkan kalah banyak kerusi Dewan Undangan Negeri, beliau dengan rela meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.

Wajarkah Mahdzir Khalid berundur?:
Ini bukan saya yang berkata. Tetapi kalau kita dengar apa yang telah disebutkan dalam mesyuarat Badan Perhubungan Negeri dengan Jawatankuasa Pengurusan, yang dihadiri oleh Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak (Timbalan Presiden), Tan Sri Muhyiddin Yassin (Naib Presiden) dan Datuk Seri Rafidah Aziz (Ketua Wanita) dan Datuk Noraini Ahmad (Ketua Puteri), salah satu perkara yang dituntut oleh ketua-ketua bahagian Kedah ialah selepas ini biarlah Pengerusi Badan Perhubungan Negeri dilantik daripada kalangan ketua-ketua bahagian dan bukannya timbalan atau naib ketua bahagian. Saya ingat ia satu cadangan baik.

Pendirian dalam isu mengecam kepimpinan parti?:
Sudah tentu saya bukan hipokrit. Apabila saya bercakap, saya konsisten sepanjang masa. Itu yang penting. Kalau saya diberi peluang untuk memberi penjelasan kepada peringkat (Jawatankuasa) Pengurusan, apa yang saya bercakap dan kenapa saya bercakap, jadi itu yang saya akan sampaikan kepada pihak pengurusan, kalau ditanya.

Apakah kesudahan pendirian Mukhriz dalam mengecam Abdullah selepas ini?:
Kalau Abdullah tidak mengalah, contohnya, beliau tidak mahu berundur, maka Umno akan berhadapan dengan satu masalah yang besar, satu dalam pemilihan kali ini dan seterusnya yang lebih penting dalam pilihan raya akan datang. Jadi, kalau boleh kita memerlukan masa yang panjang untuk bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum akan datang. Jadi, kalau mengatakan masih ada empat tahun, empat tahun lah kita mahu untuk memulihkan parti. Jadi jangan dilewatkan lagi.

Mengenai pembaharuan diumumkan oleh Abdullah sejak pilihan raya umum ke-12?:
Bermaksud merealisasikan manifesto pembangkang? (Secara berseloroh). Saya ingat itu tidak membantu langsung manifesto kita. Manifesto BN belum lagi dikotakan. Apa yang kita janjikan dalam manifesto belum dikotakan. Saya pun rasa agak pelik apabila Yang Berhormat Senator Datuk Mohd Zaid Ibrahim (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) berkata, perkara-perkara yang dilaksanakan sekarang ini sebenarnya telah disebutkan dalam manifesto pilihan raya tahun 2004. Jadi, apa yang kita buat selama ini. Sekarang ini baru hendak dibangkitkan. Bila pembangkang membangkitkan, baru kita hendak melakukan. Jadi, mahu tidak mahu, saya terpaksa berfikir bahawa ada agenda lain.

Setakat saya melihat, setakat ini, macam itu. Kita tidak memimpin. Kalau kita mengatakan bahawa kita masih berkuasa, kononnya kan, kita pegang kuasa, tapi kita asyik menari ikut rentak pembangkang. Jadi apa gunanya kita berkuasa. Kalau sayalah, buat apa hendak mempedulikan pembangkang. Laksanakan sahaja apa yang kita hendak melaksanakan. Setakat ini, suruhanjaya kehakiman, agensi pencegahan rasuah, mungkin itu penting, tetapi bukankah patut kita mengotakan janji yang kita buat semasa pilihan raya, dalam manifesto BN. Ini pula kita membantu pembangkang merealisasikan apa yang mereka sebutkan dalam manifesto mereka. Itu yang saya rasa agak pelik.

Konsisten dengan pendirian mengecam kepimpinan?
Sudah tentu. Dan, walaupun kita tidak mendengar kenyataan daripada pihak-pihak lain seperti yang dilakukan oleh akhbar dan sebagainya, tetapi bila saya bergerak (ke seluruh negara sejak kebelakangan ini), begitu ramai sekali pemimpin akar umbi dalam Umno, yang bersependapat dengan saya dalam hal ini bahawa kita tiada masa untuk memulihkan Umno dan kita berharap peralihan kuasa yang dituntut itu akan berlaku pada kadar yang segera.

Adakah tindakan Mukhriz hanya gimik publisiti?:
Sudah tentu saya tidak mahu tinggalkan parti. Saya sendiri sudah menekankan bahawa saya akan kekal dalam parti dan pada waktu yang sama, saya berpegang pada hak saya untuk bersuara. Jadi sampai sekarang ini pun saya tidak fikir bahawa apa yang diperkatakan ini, memberi alasan kepada mana-mana pihak berkenaan untuk memecat atau mengambil tindakan disiplin terhadap saya. Setakat yang saya tahu, tidak ada peruntukan dalam perlembagaan parti, mahupun tataetika yang mengatakan bersuara hingga mengkritik presiden parti bertentangan dengan peraturan dan perlembagaan parti.

Mukhriz sanggup hadapi tindakan disiplin?:
Saya terpaksa menerima apa pun keputusan yang (jika) dibuat. Tetapi itu satu tindakan yang saya lihat tidak... kerana akan membawa mesej bukan sahaja kepada ahli-ahli Umno, tetapi seluruh rakyat Malaysia khususnya orang Melayu bahawa dalam Umno ini tiada sifat (ruang) untuk tegur-menegur. Jadi, itu saya rasa salah satu sebab ramai orang menolak Umno dalam pilihan raya (umum lalu). Dan, bila tidak boleh bercakap akhirnya orang, dalam diam-diam itu, menzahirkan rasa tidak puas hati dalam undi. Jadi, kita tidak mahu tunggu sampai itu berlaku lagi. Biarlah kita memahami dan mengawal keadaan itu daripada sekarang.

Antara peralihan kuasa dan pemilihan parti? Tiada peruntukan peralihan kuasa dalam perlembagaan Umno:
Yang pertamanya, kita memerlukan masa untuk memulihkan parti. Jangan anggap bahawa dalam masa empat tahun, dua tahun ataupun dalam satu tahun, kita boleh memulihkan parti dan menang balik dalam pilihan raya akan datang. Ini andaian yang saya ingat merbahaya. Jadi kita memerlukan masa yang panjang untuk mengembalikan keyakinan rakyat khususnya orang Melayu terhadap Umno.

Keduanya, bagi saya kita menyelesaikan masalah yang kita ada sekarang. Masalah yang kita ada sekarang ialah isu kepimpinan, maksudnya ini pun pandangan saya sendiri, sebahagian besar masalah sekarang ini adalah disebabkan oleh presiden parti sendiri. Jadi pada pandangan saya, kalau beliau mengundur dan memberi laluan kepada penggantinya, maka sebahagian besar daripada masalah kita akan sekali gus selesai. Walaupun kita kata dalam perlembagaan cuma ada pemilihan dan tiada peralihan kuasa, kita selalu ada peralihan kuasa kecuali zaman Allahyarham Tun Abdul Razak apabila beliau meninggal dunia ketika masih memegang jawatan. Yang lain, kita serah kuasa dan selepas serah kuasa, baru ada pemilihan. Itu yang selalunya kita amalkan. Saya faham bahawa dalam politik ada pemilihan. Tetapi tidak pernah berlaku dalam parti, dalam sejarah Umno ini, presiden yang menyandang jawatan itu kalah dalam pemilihan yang diadakan. Jadi saya khuatir itu akan berlaku sekiranya Abdullah cuba untuk mempertahankan jawatannya sebagai presiden. Misalnya Tengku Razaleigh Hamzah, mahupun sesiapa pun boleh melawan dia untuk jawatan presiden. Jadi jika presiden yang menyandang kalah dalam pemilihan, ia merupakan keputusan mengaibkan.

Mukhriz pula memberi alternatif kepada Abdullah?:
Cuba kita bayangkan, keyakinan orang terhadap Umno, sokongan terhadap Umno sekarang. Sudah kalah lima negeri dalam pilihan raya, majoriti Abdullah sendiri pun menurun. Jika dalam pemilihan Umno kalah lagi, sudah tentu mengaibkan individu tersebut dan ada kesannya kepada parti. Jadi, saya rasa kalau boleh jawatan presiden parti itu, ada peralihan kuasa sebelum kita memulakan mesyuarat cawangan (Julai ini). Tapi bagi jawatan lain terpulanglah kepada ahli-ahli Umno macam mana hendak lakukan.

Sekarang ini pun, preesiden parti sudah diaibkan. Dengan kehadiran Abdullah, sokongan kepada presiden parti menurun, orang tidak hormat pada Umno, dan jauh sekali hormat pada presiden. Jadi, setahu saya, ini tidak pernah berlaku walaupun saya akui ada ketikanya bila timbul masalah berhubung Datuk Seri Anwar Ibrahim (yang dipecat pada 1998) dan Tengku Razaleigh melawan ayanda saya (dalam pemilihan 1987 dan disusuli perpecahan dalam Umno), ada ketikanya presiden parti pun kehilangan sokongan, tetapi tidak sampai kalah pemilihan atau kalau dalam pilihan raya. Jadi itu yang kita perlu membezakan. Tetapi kali ini seolah-olah orang menidakkan apa yang telah berlaku dalam pilihan raya baru-baru ini, yang kerapkali kita sebut tetapi seolah-olah orang tidak ingat bahawa kita sudah hilang lima negeri campur satu. Di Parlimen tengoklah apa yang berlaku tiap-tiap hari. Ini yang kita bimbangkan.

Mukhriz yakin Abdullah akan kalah dalam pemilihan?:
Saya ingat banyak perkara boleh berlaku. Antaranya, kalau orang nampak dia bertanding juga maksudnya di peringkat kepimpinan tertinggi dalam parti, tiada sifat hendak dengar cakap ahli-ahli peringkat akar umbi. Maka oleh itu, mesyuarat cawangan pun (kemungkinan) tidak cukup kuorum, orang tidak hadir, benda-benda macam itu akan berlaku. Jadi sekali gus ia menunjukkan bahawa ahli Umno sudah menjauhi diri daripada parti. Sekarang ini pun kononnya cuma 1,000 orang yang keluar parti. Tetapi ahli-ahli Umno yang tidak secara rasmi keluar parti, sebaliknya dari hakikatnya sudah pun keluar daripada parti.

Mukhriz menghadapi dilema antara keluarga dan politik Umno?:
Saya tidak rasa ada dilema sebab saya tidak nampak apa yang ayah saya buat akan menghancurkan saya. Beliau sebenarnya sayang kepada parti sebagaimana saya pun sayang pada parti. Cuma pendekatan yang berbeza. Beliau memutuskan hendak memperjuangkan perkara ini di luar parti, saya hendak buat dalam parti, tapi matlamat sama saja. Jadi, saya mempersoalkan presiden parti, adakah beliau benar-benar sayang kepada parti sebab beliau dari segi politiknya, banyak pihak telah menemui dengan beliau, merayu supaya mengundurkan diri. Jadi dari segi politik sudah jelas sangat apa yang harus beliau lakukan. Jadi atas pertimbangan apa yang beliau masih mahu kekal dalam jawatan? Saya kira bukan politik lagi. Itu yang saya risau!

Langkah susulan Mukhriz?:
Saya telah berjumpa dengan ramai orang, ada yang mengeluarkan kenyataan tidak bersetuju dengan pendirian Pemuda Perak, tetapi tidak keluar dalam akhbar. Setakat ini, sambutan yang diberikan amat baik sekali. Tiada pihak yang mengatakan kepada saya jangan meneruskan usaha ini kecuali perjumpaan yang dianjurkan oleh Ketua Bahagian Jerlun.

Mukhriz berhasrat untuk menemui Abdullah?:
Tiada ada rancangan. Tetapi jika ada peluang, kalau hendak jumpa tiada masalah. Pendirian saya sudah jelas. Saya tidak akan berubah pendirian walaupun berpeluang untuk menemui Abdullah kelak.

Kemungkinan pertemuan antara Dr. Mahathir-Abdullah?:
Bagi Tun (Dr. Mahathir) saya kira, setakat ini, bukan mengatakan beliau sudah tutup pintu, tetapi kalau hendak jumpa untuk merayu atau hendak memujuk beliau mengubah pendirian, memang ia satu tindakan membuang masa.

Adakah kecaman Mukhriz 'keterlaluan'?:
Apa yang saya bawa ini satu pendekatan. Mungkin orang lain ada pendekatan lain. Orang lain pun fikir macam itu juga, maksudnya Abdullah kerana berundur dan memberi ruang kepada Najib. Jadi bila kita selesaikan barulah kita benar-benar boleh meyakinkan ahli-ahli kita dan orang Melayu dengan parti kita.

Regu semasa pemilihan Disember ini?:
Sehingga sekarang saya tidak ada gandingan dengan sesiapa. Yang itu terpulang kepada ahli-ahli Umno sendiri yang buat keputusan tentang siapa yang patut tanding.

Calon pilihan untuk jawatan presiden?:
Tapi kalau tanya siapa pilihan saya, saya kata Najib. Tapi saya sendiri tidak jamin yang Najib sendiri akan merestui kehendak saya atau merestui hajat saya untuk bertanding Ketua Pemuda. Itu terpulang kepada beliau.

Kalau ahli-ahli Umno memutuskan untuk memilih Tengku Razaleigh sebagai Presiden, kita akur kepada kehendak ahli-ahli Umno. Bagi saya asalkan Abdullah tidak jadi presiden lagi.

Jika Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein kekal Ketua Pemuda?:
Setahu saya beliau sudah mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan jawatan Ketua Pemuda dan akan bertanding jawatan sekurang-kurangnya setaraf dengan Ketua Pemuda. Kalau begitu maksudnya jawatan Naib Presiden. Macam saya katakan dulu, jika beliau kekal mahu mempertahankan jawatan Ketua Pemuda, saya tidak akan langgar (menentang) beliau. Saya mungkin bertanding jawatan lain. Bagaimanapun saya pun kena dengar juga pandangan ahli-ahli Umno.

Read More...

Kembali kepada perjuangan pengasas bangsa - Ezam

KLpos

Cetak E-mail
Oleh Mohamad Ezam Mohd Nor
Khamis, 29 Mei 2008


SEBAIK selesai pengajian di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) pada tahun 1991, saya menyertai UMNO dengan semangat melakukan perubahan ke arah kebaikan di samping meneruskan cita-cita besar bapa-bapa pengasas negara ini (the founding fathers).

Saya dipecat dari UMNO pada tahun 1998 kerana lantang mengkritik presiden parti pada masa itu.

Semalam, saya menyatakan hasrat secara rasmi untuk kembali menyertai UMNO di hadapan Presiden Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan niat yang sama iaitu - melakukan perubahan ke arah kebaikan, mempertahan dan meneruskan cita-cita serta pengorbanan besar bapa-bapa pengasas negara ini.

Sepanjang 10 tahun saya melalui liku perjuangan yang getir, pelajaran paling berharga bagi saya dalam tempoh tersebut adalah terbitnya keyakinan di hati bahawa kemelut masyarakat dan negara ketika ini berpunca daripada persoalan rasuah dan penyelewengan.

Ini juga sesuai dengan hadis Rasulullah SAW yang kebetulan saya membacanya tatkala di penjara, "Setiap ummat ada cabarannya dan cabaran bagi ummatku adalah harta". (riwayat muslim)

Dan berdasarkan keyakinan itu, saya mengorbankan segenap jiwa dan tenaga untuk mengajak pemimpin dan masyarakat menghadapi cabaran utama kita hari ini iaitu membanteras rasuah.

Bertolak dari kesedaran itu, saya menubuhkan Gerakan Rakyat anti Korupsi (GERAK) dengan segala kepayahan dan keterbatasan tetapi tetap dengan semangat melawan demi menjadikan rasuah musuh nombor satu negara.

Kenyataan Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sebaik memegang tampuk pemerintahan bahawa memerangi rasuah adalah agenda utamanya amat menarik minat saya dan saya ikutinya secara dekat dan mendalam.

Perubahan dasar dalam kerajaan

Sementara, pengumuman Perdana Menteri beberapa minggu lalu mengenai komitmen untuk melakukan perubahan besar terhadap Badan Pencegah Rasuah (BPR) dengan penubuhan Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia, ditambah dengan struktur yang menjamin kebebasannya bertindak merupakan kenyataan paling bermakna bagi saya dan paling penting serta signifikan dalam perjuangan melakukan perubahan (reform) di negara ini.

Setelah berjumpa Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini, saya percaya beliau komited di dalam memastikan proses perubahan itu berlaku.

Dengan semangat reformasi itulah, saya di sini, pada hari ini menyatakan dengan jelas hasrat, sokongan dan komitmen saya untuk bersama-sama Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin negara meneruskan perjuangan melakukan perubahan tersebut.

Saya ingin mengotakan janji pada diri saya sendiri selama ini, bahawa saya akan membantu siapapun Perdana Menteri yang mempunyai komitmen dan berani memberikan BPR kebebasan untuk melakukan tindakan terhadap setiap penjenayah rasuah. Kerana bagi saya inilah komitmen yang paling sukar untuk dilakukan oleh seorang perdana menteri yang sedang berkuasa.

Membina negara dengan sejumlah pengorbanan

Seperti yang saya nyatakan awal tadi, niat saya di dalam politik selain melakukan perubahan juga mempertahan dan meneruskan cita-cita bapa-bapa pengasas negara ini. Mereka yang terdiri daripada pemimpin pelbagai kaum yang berusaha membina negara ini dengan cita-cita besar dan sejumlah pengorbanan.

Mereka menggubal dasar untuk menjamin negara ini ditadbir dengan penuh hemah dan keutamaan nombor satu mereka adalah Malaysia. Hari ini semangat dan pengorbanan mereka telah dinodai oleh pemimpin-pemimpin yang meletakkan kepentingan diri menguasai kepentingan negara.

Kerakusan kepada kuasa menyebabkan mereka sanggup mencemuh dasar dan asas negara yang dibina oleh pemimpin terdahulu hanya atas tujuan untuk memancing undi dengan meniupkan sentimen perkauman.

Mereka mendakwa mereka membawa politik baru berbilang kaum tetapi hakikatnya memainkan sentimen kaum yang sempit dan politik tanpa batasan.

Pengasas negara ini dahulu yang memulakan politik berbilang kaum dengan asasnya Melayu di samping pengiktirafan wajar kepada bangsa lain dengan semangat menghormati dan bekerjasama membina Malaysia ini.

Sebab itulah budaya orang Cina mengundi calon Melayu dan India dan sebaliknya berlaku semenjak awal penubuhan negara ini lagi. Pertimbangan utama pemimpin pada ketika itu adalah kepentingan negara. Justeru mereka saling memahami dan berkorban dalam mempertahan asas negara ini.

Politik tanpa jiwa kenegaraan

Sayangnya terdapat segelintir pemimpin hari ini pertimbangan utama adalah kepentingan diri dan kelompok mereka. Mereka mempopularkan budaya politik tanpa batasan- iaitu apa sahaja boleh asal aku dan kelompok aku berkuasa. Sebab itulah hari ini kita melihat politik melampau berleluasa, politik fitnah, menjatuh dan melompatkan orang menjadi agenda paling utama.

Budaya matlamat menghalalkan cara ini, amat asing di awal penubuhan negara ini. Hari ini kita melihat lenyapnya jiwa kenegaraan (statemanship) dalam kepimpinan bangsa ini. Yang menonjol adalah pemimpin yang hebat percaturan politik untuk kepentingan individu dan kelompok sendiri sehingga sanggup menggadai persoalan asas negara yang dibina dengan semangat dan cita-cita bersama.

Saya kembali untuk bersama teman-teman saya dalam UMNO dan Barisan Nasional meneruskan perjuangan dengan keyakinan bahawa formula BN merupakan formula terbaik untuk negara ini.

Sedikit pengalaman saya di 'luar' BN mungkin dapat membantu meyakinkan orang ramai bahawa formula lain tidak mampu membina negara ini dengan berkesan dan bertahan (sustainable).

Kembali kepada formula BN

Dan formula BN yang terbukti berjaya selama lebih 50 tahun ini juga dibina dengan nilai integriti, kesederhanaan, humiliti (tawadu'), tolak ansur, hormat-menghormati dan yang paling penting semangat kenegaraan (statemanship) yang utama di kalangan pengasas-pengasas BN.

Ciri-ciri negatif keangkuhan dan kemewahan yang menghakis nilai integriti hampir tidak wujud dikalangan pengasas BN pada ketika itu.

Saya melihat dan yakin komitmen Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri serta beberapa pemimpin utama BN untuk membina kembali nilai-nilai integriti pengasas-pengasas BN yang menjadi tunjang kekuatan bangsa dan negara selama ini.

Justeru, saya menawarkan diri saya untuk bersama mereka membina kembali kekuatan nilai integriti tersebut demi rakyat dan negara yang tercinta ini.

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |