+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, May 30, 2008

'Jangan tuduh membuta tuli' - Azalina

Utusan Online

SHAH ALAM 29 Mei - Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said menempelak kerajaan negeri yang diterajui pakatan pembangkang kerana terus bersikap provokatif dengan membuat tuduhan membuta tuli mendakwa Kerajaan Pusat mengamalkan diskriminasi dalam membangunkan sektor pelancongan.

Menurutnya, tuduhan sedemikian yang dibuat kerana mahu menjadi popular, adalah tidak benar sama sekali sekali gus tidak adil kepada pegawai Majlis Tindakan Pelancongan Negeri (MTPN).

Tambah menghairankan beliau, Exco berkaitan pelancongan dari Selangor, Pulau Pinang dan Kedah terbabit dalam pertemuan dengannya memaklumkan semua dalam keadaan baik dan berjalan seperti biasa, tetapi kemudiannya mengeluarkan kenyataan yang bertentangan sama sekali ketika sidang Dewan Undangan Negeri.

Sebaliknya, tegas beliau, Kementerian Pelancongan hanya mengawal peruntukan kewangan yang disalurkan setiap tahun menerusi ketua setiausaha kementerian dan bukan lagi pegawai kewangan negeri.

"Kalau mahukan kerjasama, mereka juga perlu menunjukkan kelakuan untuk bekerjasama. Jangan membangkitkan kemarahan Kerajaan Pusat.

"Bagi saya, tuduhan melulu tanpa bukti sahih, tidak adil kepada pegawai MTPN.

"Kita tidak menutup pejabat, tidak menarik keluar pegawai dan tidak memberhentikan mana-mana pegawai," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri sesi dialog bersama pengusaha berkaitan industri pelancongan di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Datuk Dr. Ong Hong Peng dan Pengerusi MTPN Selangor, Datuk Subahan Kamal.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, industri pelancongan menjadi keutamaan bagi kementerian tanpa mengira ia ditadbir parti pembangkang atau kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Adalah tidak munasabah kalau kementerian tidak mahu menggalakkan kehadiran pelancong ke negeri yang dikuasai pembangkang kerana kalau Kerajaan Pusat berbuat sedemikian, negara akan rugi," jelasnya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai sekatan menjual minyak kepada rakyat asing di sempadan negara, Azalina yakin penguatkuasaan larangan itu tidak akan memberi kesan kepada industri pelancongan negara.

Menurutnya, kerajaan bertindak betul apabila memberi fokus kepada isu subsidi minyak yang tidak sepatutnya dinikmati rakyat asing.

"Saya yakin apabila pelancong ke Malaysia, mereka lebih cenderung untuk menikmati bukan saja makanan tetapi juga menyaksikan keindahan bukit-bukau, pantai dan pulau. Masyarakat Singapura yang ada ramai saudara di negara ini pastinya tidak mengambil kira sekatan membeli minyak," katanya.

Terdahulu, beliau turut melawat Batu Caves di Gombak sebelum ke Pulau Ketam di Pelabuhan Klang bagi meninjau prospek pelancongan di kedua-dua kawasan itu.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |