+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, June 9, 2008

Elaun Keraian Anggota Kabinet Dikurangkan 10 Peratus

Bernama

PUTRAJAYA, 9 Jun (Bernama) - Elaun keraian melibatkan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri akan dipotong 10 peratus mulai 1 Julai ini, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

Mengumumkan langkah-langkah penjimatan yang akan menjimatkan RM2 bilion setahun, Perdana Menteri berkata kerajaan akan mengumumkan langkah-langkah lain dari semasa ke semasa dalam usaha mengurangkan perbelanjaan kerajaan berikutan kenaikan harga minyak.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Menangani Inflasi di sini, Abdullah berkata penjimatan RM2 bilion itu akan digunakan untuk membantu golongan berpendapatan rendah.

Abdullah berkata langkah penjimatan itu termasuk membekukan cuti berbayar bagi menteri dan timbalan menteri dan mengehadkannya kepada dalam negeri dan rantau Asean sahaja serta tidak melebihi seminggu.

Sebelum ini, kumpulan itu menikmati cuti dibayar oleh kerajaan ke mana-mana destinasi sekali setahun.

Perdana Menteri menghuraikan perkara itu selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Menangani Inflasi di pejabatnya di sini.

Pada mesyuarat itu juga, beliau mengarahkan supaya pengurangan perbelanjaan awam turut meliputi aspek mengehadkan perjalanan menteri, timbalan menteri dan pegawai awam ke luar negara.

Katanya selain itu semua jabatan kerajaan tidak dibenarkan membuat pengubahsuaian pejabat serta menangguhkan sebarang pembelian aset termasuk penganjuran majlis dan upacara keraian.

"Kerajaan turut merasai keperitan rakyat dan merasakan pucuk pimpinan hendaklah menunjukkan teladan yang baik dalam menghadapi cabaran ini," katanya.

Ketika ini, elaun keraian sebulan Perdana Menteri adalah RM18,865, Timbalan Perdana Menteri (RM15,015), Menteri Persekutuan (RM12,320) dan Timbalan Menteri (RM6,000).

Abdullah berkata langkah penjimatan perbelanjaan awam itu dibuat ekoran masalah kenaikan harga bahan api serta bahan makanan sekarang.

Harga minyak petrol mencecah USD138 setong di pasaran dunia dan memaksa kerajaan mengstrukturkan semula subsidi minyak, menjadikan harga runcit minyak petrol kini RM2.70 seliter, naik 78 sen berkuatkuasa Khamis lepas.

Untuk menambah baik liputan jaringan jaminan sosial, beliau berkata kerajaan sedang menimbangkan untuk menaikkan beberapa elaun bagi rakyat.

"Threshold pendapatan akan ditingkatkan supaya lebih ramai rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada elaun-elaun tersebut," katanya sambil menambah kata maklumat terperinci mengenai perkara itu akan diumumkan dalam masa seminggu.

Merujuk kepada arahan untuk mengehadkan perjalanan ke luar negara, Abdullah berkata ia hanya dibenarkan bagi tugas rasmi melibatkan persidangan dan mesyuarat antarabangsa yang penting sahaja atau mesyuarat di antara kerajaan.

Katanya pegawai yang hadir juga hendaklah kalangan mereka yang terlibat secara langsung dengan tugas yang dipertanggungjawabkan dan bilangan pegawai kementerian dan jabatan itu pula tidak melebihi tiga orang.

Menerusi arahan itu juga seorang menteri layak membawa hanya tiga pegawai kementerian semasa tugas rasmi ke luar negara manakala timbalan menteri layak membawa dua pegawai sahaja.

Perdana Menteri berkata penggunaan kemudahan hotel hanya dibenarkan bagi mesyuarat, persidangan, seminar dan bengkel antarabangsa.

"Semua kursus, latihan dan bengkel yang dianjurkan oleh kementerian, jabatan, agensi untuk anggotanya hendaklah dihadkan dengan diadakan menggunakan kemudahan sedia ada di kementerian, jabatan, agensi termasuk Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya," katanya.

Abdullah berkata sewa ruang pejabat baru dan tambahan, perpindahan pejabat ke bangunan lain atau membuat pengubahsuaian pejabat sedia ada juga tidak dibenarkan.

Katanya sebarang perbelanjaan bagi pembelian aset termasuk pembelian kereta, perabot, komputer dan kelengkapan pejabat lain yang belum komited, hendaklah ditangguhkan.

Selain itu pembelian bagi bahan kecil keperluan pejabat termasuk bahan percetakan dan alat tulis hendaklah dikurangkan, katanya.

Perdana Menteri berkata bagi aset kerajaan sedia ada, kerja penyelenggaraan hendaklah dilaksanakan secara optimum supaya ia dapat menjimatkan tenaga dan mengurangkan perbelanjaan dalam tempoh jangka masa.

"Majlis dan upacara keraian seperti pembukaan pejabat, persidangan, mesyuarat, penyampaian hadiah, perasmian bengkel dan kursus hendaklah dihadkan," katanya.

Sekiranya perlu diadakan, Abdullah berkata ia hendaklah dibuat pada tahap sederhana tanpa melibatkan perbelanjaan besar hingga berlaku pembaziran.

Perhiasan dan jamuan perlulah sederhana dan majlis sebolehnya dibuat menggunakan kemudahan sedia ada kerajaan, katanya.

"Tak payahlah buat kemeja khas semata-mata untuk dipakai pada hari perasmian, satu hari sahaja. Lepas itu, baju itu dah tak boleh dipakai lagi sebab ada tulis macam-macam dan disimpan untuk kenangan sahaja," katanya.

Beliau berkata pemberian cendera hati tidak digalakkan tetapi sekiranya benar-benar perlu hendaklah dihadkan kepada buku, kraf tangan tempatan atau produk makanan tempatan.

Perdana Menteri turut mengumumkan pembekuan jawatan baru dalam jabatan kerajaan bagi mengurangkan perbelanjaan awam kecuali bagi jawatan tertentu dan kritikal dalam bidang pendidikan, kesihatan dan penguatkuasaan serta jawatan yang secara langsung dapat menambah kutipan hasil negara.

Abdullah berkata penyusunan semula organisasi melibatkan kementerian, jabatan dan badan berkanun tidak dibenarkan kecuali penyusunan semula itu bertujuan untuk memperkemaskan struktur organisasi tanpa melibatkan pewujudkan jawatan baru atau untuk mengurangkan bilangan tenaga pekerja.

-- BERNAMA

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |