+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, June 9, 2008

Kaji semula projek mega

Utusan Online

BUTTERWORTH, 8 Jun - Kerajaan berusaha mencari pelbagai mekanisme untuk menangani kesan kenaikan harga minyak di pasaran dunia dan tidak akan bergantung kepada kaedah penstrukturan semula harga bahan api itu semata-mata.

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata memandangkan harga pasaran minyak sedunia dijangka terus meningkat, kerajaan perlu mencari beberapa kaedah lain untuk memastikan beban yang ditanggung kerajaan dan rakyat tidak begitu ketara.

Katanya kerajaan telah membelanjakan RM33 bilion untuk subsidi petrol dan setakat ini tiada tanda-tanda harga itu akan turun.

"Penstrukturan semula harga minyak baru-baru ini membolehkan kerajaan menjimatkan RM4 bilion daripada subsidi yang diberikan kepada bahan api tetapi apabila harga naik lagi kepada AS$138.54 setong (RM450.25) pada Jumaat lalu, penjimatan itu sudah tiada lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Khidmat Anggota Parlimen Tasek Gelugor di Taman Merbau Indah, Sungai Dua di sini.

Katanya dengan peningkatan harga pada setiap hari, jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan boleh mencecah sehingga RM40 bilion dan ini merupakan satu jumlah yang amat besar dan sama dengan nilai yang diperuntukkan bagi pembangunan negara untuk tempoh setahun.

Nor Mohamed berkata faktor risiko geopolitik berikutan ancaman Israel terhadap Iran akan menyebabkan harga minyak dunia meningkat dengan mendadak.

Oleh itu, katanya, kerajaan perlu melihat kepada beberapa mekanisme lain untuk mengurangkan kesan itu dan memastikan rakyat negara ini mendapat faedah daripadanya.

Beliau mengakui bahawa kebanyakan subsidi yang diberi kerajaan tidak dinikmati sepenuhnya oleh rakyat, sebaliknya menguntungkan rakyat Thailand, Singapura dan Indonesia serta segelintir rakyat Malaysia yang menjadi penyeludup bahan itu.

"Sebab itu kerajaan memberi rebat sebanyak RM625 untuk rakyat negara ini yang mempunyai kenderaan 2000cc ke bawah, van pickup dan jip di bawah 2,500cc serta RM150 untuk motosikal di bawah 250cc," katanya.

Beliau berkata kaedah pembayaran rebat menerusi pejabat pos juga akan diperhalusi dan cuba disegerakan untuk meringankan beban rakyat.

Antara mekanisme yang boleh dilaksanakan ialah menjimatkan kos penganjuran majlis oleh jabatan dan agensi kerajaan, memperluaskan jaringan keselamatan sosial untuk masyarakat, meningkatkan infrastruktur pengangkutan awam, membantu golongan miskin dan ibu tunggal serta mengkaji semula pelaksanaan projek mega.

Nor Mohamed turut meminta supaya isu kenaikan harga minyak tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak, sebaliknya bekerjasama dengan kerajaan untuk menangani saat getir seperti yang pernah dilakukan pada masa lepas.

"Ini bukan kali pertama kita menghadapi cabaran dan kita berjaya mengatasinya serta mampu memacu kemajuan negara. Kali ini, rakyat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pembangkang harus membantu dan memberikan cadangan yang konstruktif kepada kerajaan," katanya.

- Bernama

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |