+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, June 9, 2008

Anwar masih yakin MP lompat parti, tubuh kerajaan baru?

Mstar Online

08-06-2008 11:44:27 PM
Oleh G. MANIMARAN

ANWAR Ibrahim bersama isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada sidang media di Kuala Lumpur tengah hari tadi.

KUALA LUMPUR: Selepas tiga bulan pilihan raya umum ke-12 berlalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini mengetuai Pakatan Rakyat, masih yakin berupaya untuk menubuhkan kerajaan baru di peringkat persekutuan sebagaimana diumumkan beliau Mac lalu?

Ketua Umum Pakatan Rakyat itu nampak 'amat yakin' apabila beberapa kali membayangi kemungkinan tersebut pada majlis Malam Karyawan II di Shah Alam, Selangor malam tadi.

Misalnya, dalam ucapannya beliau berkata, pembaharuan-pembaharuan yang dibawa oleh kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat sekarang adalah bersifat sementara waktu sebelum mencapai impian menubuhkan kerajaan di peringkat persekutuan - membawa maksud akan membawa lebih banyak pembaharuan apabila mendapat kuasa memerintah negara.

Majlis itu diadakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor. Anwar berucap sebagai tetamu kehormat.

Tengah hari tadi pada sidang media di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dekat sini, Anwar berkata, tarikh 16 September yang disasarkan untuk wakil rakyat BN melompat ke Pakatan Rakyat masih kekal.

Anwar berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin BN di Manila kelmarin dan Sabah semalam.

"Saya telah dijemput ke Manila untuk memberikan syarahan dan beberapa orang (wakil rakyat BN) telah menemui saya," kata beliau selepas mesyuarat Majlis Tertinggi PKR di sini.

Ketika ditanya mengenai bilangan Ahli Parlimen yang akan melompat parti, Anwar yang dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno 10 tahun yang lalu berkata, beliau tidak dapat mendedahkan maklumat mengenainya.

"Saya tidak boleh memberikan butiran (lanjut) mengenai mereka yang ingin melompat demi keselamatan mereka," kata beliau.

Kata beliau, perbincangan masih diadakan dengan pelbagai pihak.

Dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu, barisan pembangkang yang menyaingi BN di bawah ikatan yang longgar memperoleh 82 kerusi Parlimen berbanding 140 kerusi bagi BN.

Dua minggu selepas pengundian barisan pembangkang menubuhkan Pakatan Rakyat dan Anwar meletakkan sasaran untuk menubuhkan kerajaan persekutuan dengan menarik sekurang-kurangnya 30 Ahli Parlimen BN menjelang 16 September ini.

Desas-desus menyebut beberapa Ahli Parlimen Sabah akan menyertai Pakatan Rakyat dengan beberapa wakil rakyat mendakwa telah ditawarkan sejumlah wang sebagai ganjaran.

Pada sidang akhbar itu juga Anwar memberitahu bahawa beliau kini bersedia untuk bertanding dalam sebarang pilihan raya kecil setelah mendapat kelulusan daripada Pendaftar Persatuan bagi berbuat demikian.

"Saya telah pun menerima surat daripada Pendaftar Pertubuhan, nasihat daripada peguam saya, kami tidak memerlukan surat daripada AG (Peguam Negara), surat daripada Pendaftar Pertubuhan sudah cukup," katanya.

Anwar kembali aktif dalam politik mulai 15 April lepas, setelah berakhirnya tempoh larangan selama lima tahun baginya berbuat demikian berikutan pensabitan mahkamah terhadapnya atas kesalahan rasuah.

Anwar berkata, beliau sanggup bertanding sekiranya ada mana-mana Ahli Parlimen PKR memberikan laluan bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan tahun ini juga.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |