+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, June 9, 2008

Inflasi: Pakar ekonomi bimbang

Utusan

KUALA LUMPUR 8 Jun - Kadar inflasi di negara ini yang diunjurkan lima peratus bulan ini dan 4.2 peratus pada tahun ini, boleh melonjak tinggi jika kerajaan gagal memberikan tumpuan betul terhadap kenaikan harga makanan terutama barang kawalan.

Keadaan dilihat bakal memburuk sekiranya harga minyak meningkat lagi selepas menyaksikan kenaikan tertinggi dalam sehari sebanyak AS$10.75 kepada rekod baru AS$138 setong di New York pada Jumaat lalu, daripada paras rekod AS$135 setong sebelum ini selepas Israel menggugut untuk menyerang Iran sekiranya meneruskan program senjata nuklearnya.

Menurut pakar-pakar ekonomi tempatan, peningkatan kadar inflasi tidak dapat dielakkan kerana minyak yang dinaikkan harganya merupakan sumber asli terpenting dalam menggerakkan keseluruhan ekonomi Malaysia.

Kerajaan pada 4 Jun telah mengumumkan kenaikan petrol sebanyak 78 sen seliter dan diesel RM1 seliter dalam usahanya menstruktur semula pakej subsidi negara.

Mereka menambah, petrol dan diesel merupakan bahan api paling banyak digunakan untuk tujuan pengangkutan di Malaysia pada kadar 60 peratus.

Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Mohd. Fauzi Mohd. Jani berkata, negara mempunyai rekod baik dalam mengekang kadar inflasi selama 30 tahun tetapi kali ini Malaysia pasti tidak dapat lari cengkaman inflasi.

''Ini kerana, kenaikan harga minyak kali ini agak tinggi dan sudah pasti mengakibatkan pelbagai kos bertambah terutama membabitkan sektor pengangkutan yang terlibat secara langsung dalam ekonomi negara.

''Dengan kenaikan yang diumumkan ini, Malaysia diunjurkan berdepan dengan kenaikan inflasi sebanyak empat peratus tahun ini,'' kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini.

Mohd. Fauzi menambah, kawalan terhadap harga makanan perlu diutamakan kerana kenaikannya yang seiring dengan kenaikan harga minyak berupaya untuk melonjakkan kadar inflasi, tambahnya.

Beliau menjelaskan rakyat di negara ini membelanjakan 36 peratus pendapatan untuk makanan dan kenaikan harga minyak mengakibatkan peruntukan perbelanjaan itu meningkat kepada 50 peratus.

''Ini bermakna kos sara hidup semakin tinggi dan cara untuk membantu meringankan kehidupan rakyat adalah memastikan semua 21 barangan kawalan dijual pada harga dibenarkan.

Beban''Dengan cara ini, biarpun berdepan dengan peningkatan kos-kos lain ia tidak melibatkan persaingan dengan kos makanan, sekali gus boleh mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat,'' jelas beliau.

Seorang lain pakar ekonomi tempatan, Datuk Zainal Aznam Yusoff berkata, kerajaan kini perlu bekerja lebih keras untuk memastikan pertumbuhan ekonomi berjalan lancar bagi mengurangkan kadar inflasi.

Beliau yang merupakan bekas penasihat ekonomi Bank Negara Malaysia (BNM), berkata, rakyat kini bukan sahaja dibebani dengan kenaikan harga minyak yang bakal mengakibatkan peningkatan kos-kos lain tetapi juga kenaikan tarif elektrik.

Zainal Aznam berkata: ''Dalam keadaan sekarang, sekiranya ekonomi negara gagal diurus dengan berhati-hati, kadar inflasi boleh melonjak tinggi.''

''Sebenarnya, kenaikan inflasi yang diunjurkan oleh BNM sebanyak 4.2 peratus tahun ini, sudah cukup besar kerana 30 tahun lalu kadar itu berlegar antara satu hingga 2.5 peratus sahaja.

Bagaimanapun, seorang pakar ekonomi lain, Tan Sri Ramon Navartnam yakin bahawa peningkatan kadar inflasi boleh ditangani sekiranya harga makanan kawalan dipantau secara serius.

Katanya, kadar inflasi biasanya diukur berdasarkan sekumpulan barangan yang meliputi makanan yang mewakili peratusan terbesar sebanyak satu pertiga, pengangkutan, sewa kediaman, utiliti dan perkhidmatan.

''Sekiranya kawalan harga makanan dibuat secara betul, saya percaya inflasi boleh dikawal,'' tambah Ramon lagi.

Beliau juga melahirkan kebimbangan bahawa unjuran peningkatan inflasi yang tinggi akan digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menaikkan harga barangan dan kos.

Ramon mencadangkan supaya kerajaan mengasingkan kaedah pengukuran kadar inflasi di bandar dan juga luar bandar supaya gambaran yang lebih tepat dan jelas diperoleh.

''Kaedah satu ukuran untuk bandar dan luar bandar yang diguna pakai sekarang adalah kurang tepat kerana kadar inflasi di bandar selalunya adalah lebih tinggi daripada luar bandar,'' jelas beliau lagi.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |