+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, July 17, 2008

Kerajaan Terpaksa Tanggung Perbelanjaan Lebih Jika Guna Kaedah Anwar

Bernama

Oleh Jumiati Rosly

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Kerajaan terpaksa menanggung perbelanjaan yang lebih jika mengaplikasikan kaedah yang dikemukakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menguruskan kenaikan harga minyak di negara ini.

Pakar-pakar ekonomi berkata perbelanjaan berlebihan itu akan membebankan lagi rakyat dan boleh menyebabkan beberapa projek pembangunan untuk kepentingan rakyat terpaksa ditangguhkan.

Dalam debat khas bertajuk "Hari ini membentuk kerajaan, esok turun harga minyak" yang diadakan bersama Anwar dan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek Selasa malam, Anwar berkata harga bahan api boleh diturunkan 50 sen seliter jika Pakatan Rakyat memerintah menerusi formula RM5 bilion digunakan bagi menampung penurunan harga minyak.

Anwar berkata wang itu boleh diperolehi menerusi penjimatan perbelanjaan kerajaan termasuk mengatasi masalah kebocoran dan ketirisan dan mengurangkan 'standby' kapasiti pengeluaran tenaga daripada 40 peratus kepada 20 peratus oleh pengeluar tenaga bebas (IPP).

Pakar ekonomi Dr Yeah Kim Leng berkata kerajaan terpaksa mengeluarkan pampasan kepada IPP kerana melanggar perjanjian jika 'standby' kapasiti pengeluaran tenaga itu diturunkan.

"Kerajaan yang akan menanggung keperitan apabila perjanjian ini dilanggar," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Ketua Pakar Ekonomi Rating Agency Malaysia Berhad (RAM) Holdings Bhd itu berkata penurunan harga itu boleh dilakukan tetapi kerajaan terpaksa mengorbankan beberapa sektor lain bagi mendapatkan wang subsidi yang lebih.

"Dari segi ekonomi ia tidak efisyen..jika kerajaan mahu membelanjakan RM5 bilion, ia terpaksa mengurangkan peruntukan di bahagian lain," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Mohd Zaini Abd Bakar pula berkata ada kemungkinan pelabur asing akan takut melabur di negara ini jika 'standby' kapasiti di negara ini sedikit.

"Saya tidak pasti dengan terma dalam kontrak di antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan IPP tetapi jika tidak ada terma yang mengatakan kontrak itu perlu diperbaharui, maka TNB boleh membuat pilihan untuk tidak memerlukan IPP kerana TNB mempunyai kapasiti yang berlebihan.

"Berkemungkinan pengurangan 'standby' kapasiti itu memberi kesan memang ada tetapi negara memerlukan kapasiti yang lebih dan tidak boleh tidak ada langsung," katanya.

Beliau juga tidak menafikan kerajaan boleh membuat pengurangan harga minyak menerusi kecekapan dalam urusan perbelanjaan negara.

"Jika kita boleh mendapat wang untuk menutup balik penurunan itu bolehlah dilakukan maknanya di sini kerajaan perlu menjimatkan perbelanjaan negara untuk menutup balik," katanya.

Pada tahun ini, kerajaan mengumumkan telah membelanjakan RM10.25 bilion bagi jumlah subsidi bahan api termasuk bayaran rebat tunai kepada pemilik kenderaan separuh tahun ini, iaitu jumlah yang lebih tinggi berbanding jumlah subsidi bahan api untuk sepanjang tahun lepas sebanyak RM8.77 bilion.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad sebelum ini berkata mengikut pecahan, jumlah subsidi petrol bagi enam bulan pertama tahun ini ialah sebanyak RM4.006 bilion, diesel RM5.056 bilion dan gas petroleum cecair (LPG) sebanyak lebih RM1.1 bilion.

-- BERNAMA

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |