+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, June 17, 2008

Syariah: 'Jangan gagalkan Pakatan'

Malaysiakini

Abdul Rahim Sabri | Jun 16, 08 4:35pm

Pemuda DAP dan PKR menggesa rakan sepergerakannya dalam PAS agar menfokuskan agenda membentuk kerajaan Pakatan Rakyat yang bersih dan adil, bukannya melaksanakan pentadbiran Islam.

Pergerakan Pemuda dua parti itu juga menggesa Pemuda PAS agar memikir kembali saranannya untuk menegakkan peraturan Islam seperti pengharaman tempat perjudian, menghadkan premis penjualan arak dan etika pakaian di pejabat.

Setiausaha Pemuda DAP, Anthony Loke Siew Fook dan naib ketua Angkatan Muda (AMK) PKR, Amiruddin Shari diminta mengulas kenyataan naib ketua Pemuda PAS, Sabtu lalu.

dapsy memo to suhakam 111105 loke siew fookAzman Shapawi Abdul Rani dilaporkan berkata Pemuda PAS kini dalam proses merangka agenda untuk melaksanakan undang-undang Islam di lima negeri Pakatan.

Loke (foto, baju putih) berharap PAS menghormati gabungan Pakatan Rakyat yang terdiri daripada tiga parti, termasuk DAP dan PKR.

"(DAP) tidak bersetuju dengan mana-mana undang-undang yang dilaksanakan dari sudut agama, terutama pelaksanaan undang-undang Islam dalam masyarakat majmuk di Malaysia," katanya kepada Malaysiakini.

"Jangan gagalkan agenda Pakatan Rakyat.

"Fokus kepada perkara pokok iaitu, menjaga kebajikan (rakyat) tanpa mengira kaum dan agama, membanteras rasuah dan memastikan pentadbiran (negeri) telus dan bersih dalam kerajaan Pakatan Rakyat," tambahnya, yang juga ahli parlimen Rasah.

"Tidak ada satu parti yang boleh mengemukakan dan melaksanakan agenda sendiri tanpa rujukan dan persetujuan kepemimpinan Pakatan Rakyat."

ezam leave pkr pc 280607 amir sariAmiruddin (foto kanan) pula berkata saranan PAS itu menjadi "hak parti tersebut" tetapi ia memerlukan perbincangan lanjut dan parti Islam tidak harus terburu-buru melaksanakannya.

"Yang penting, kita perlu tubuhkan kerajaan yang adil, bersih, telus dan tidak korup," katanya.

"Membanteras rasuah adalah perkara yang dipersetujui bersama pada peringkat awal pembentukan pakatan rakyat."

Lagipun, tambah wakil rakyat Batu Caves, PAS tidak meletakkan idea negara Islam atau undang-undang Islam dalam manifesto parti itu ketika pilihanraya Mac lalu.

Pakatan Rakyat harus bergerak dengan asas-asas yang dipersetujui bersama pada peringkat awal pembentukan gabungan tersebut, kata Amiruddin.

"Keutamaan AMK, ialah menunaikan janji yang terdapat dalam manifesto pilihanraya 2008," jelas Amiruddin.

Read More...

Air percuma: Pecat pegawai yang susahkan rakyat

Siasah daily

Sunday, June 15, 2008

KUALA LUMPUR, 16 Jun: “Pecat pegawai kerajaan yang anti rakyat dan tidak patuhi arahan kerajaan.”

Itu cadangan anggota Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali ketika mengulas cerita kong kalikong antara Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bh (Syabas) dan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

“Buat apa kita simpan pegawai sebegini. Bukan sahaja menyusahkan kerajaan tetapi menyusahkan rakyat yang mahukan air percuma,” kata Dr Lo’ Lo’.

Beliau mengulas tindakan Syabas menolak cadangan KDEH, anak syarikat kerajaan negeri Selangor untuk membolehkan rakyat Selangor menikmati air percuma mulai 1 Jun ini.

Syabas adalah pemegang konsesi pembekalan air di Selangor. KDEH pula adalah anak syarikat milik penuh kerajaan negeri Selangor yang turut mempunyai saham yang terbesar (lebih 50 peratus) dalam Syabas.

Yang dibimbangi oleh Dr Lo’ Lo’ adalah pegawai kanan yang menjaga kedua-dua syarikat yang sepatutnya dikawal oleh kerajaan negeri Selangor itu bermain kong kalikong dengan Menteri Besar.

“Jika dibiarkan, kerajaan pun susah dan yang marah lagi adalah rakyat yang sepatutnya menerima manafaat ini,” kata Lo’ Lo’.

Bagaimanapun beliau lega dengan jaminan Menteri Besar bahawa 20 meter padu air percuma tetap diberikan kepada rakyat Selangor mulai 1 Jun lalu.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, rakyat negeri Selangor akan diberikan air percuma 20 meter padu setiap rumah.

Pada 9 Jun, Syabas telah menerima surat akujanji dari KDEB untuk membolehkan pelaksanaan bekalan air percuma dimulakan 1 Jun ini dengan bil air untuk pengguna akan mula dipotong hujung bulan ini.

Namun kini, Syabas nampaknya cuba menyusahkan usaha kerajaan negeri Selangor ini.

Sebaliknya, Syabas mencadangkan agar pihaknya mengebilkan terus air percuma yang diberikan kepada rakyat negeri Selangor kepada KDEB dan mesti dibayar dalam masa 14 hari, jika tidak pemberian percuma ini akan diberhentikan.

“Syabas tak bersetuju dengan akujanji pihak KDEB yang mencadangkan pembayaran bil-bil air yang diberikan percuma kepada kepada pengguna hanya akan dibuat oleh pihak KDEB selepas cadangan penstrukturan semula sistem bekalan air di Negeri Selangor oleh pihak KDEB siap sepenuhnya pada bulan September 2008 ini,” kata Ruslan.

Ini kerana, katanya, cadangan pihak KDEB ini akan secara langsung menjejaskan aliran tunai Syabas dan boleh menjejaskan operasi Syabas.

Sebaliknya, Syabas mencadangkan bil-bil air percuma itu dibayar dalam masa 14 hari selepas Syabas menghantar bil itu kepada KDEB.

“Kegagalan KDEB memenuhi syarat pembayaran seperti yang dicadangkan ini akan menyebabkan Syabas teraksa menghentikan program pemberian air percuma ini,” kata Ruslan dalam kenyataannya.

Read More...

Anwar dapat lampu hijau cabar kesahihan pemecatannya

Agenda daily




Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari Isnin memberikan lampu hijau kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencabar kesahihan dari segi perlembagaan, pemecatannya daripada jawatan Kabinet hampir 10 tahun lalu, oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Panel tiga anggota itu yang diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, sebulat suara membenarkan Anwar merayu kepada Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, bahawa pemecatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan adalah sah pelaksanaannya dari segi undang-undang oleh Tun Dr Mahathir.

Berikutan keputusan itu, Mahkamah Persekutuan akan menentukan dua persoalan undang-undang -- sama ada pemecatan Anwar tidak mengikut perlembagaan, dan sama ada Tun Dr Mahathir boleh memecat timbalannya tanpa terlebih dahulu menasihatkan Yang di-Pertuan Agong.

Bernama melaporkan, Mahkamah akan memutuskan, pertama sama ada peruntukan Artikel 43(5) Perlembagaan Persekutuan secara khusus menghendaki Yang di-Pertuan Agong merupakan kuasa yang membatalkan pelantikan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dalam Kabinet Malaysia dengan berdasarkan prinsip bahawa hanya pihak yang berkuasa yang melantik mempunyak hak untuk membatalkan sebarang pelantikan yang dibuatnya;

Dan kedua, sama ada pemotongan nama Anwar daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan penggantian nama perayu (Anwar) dengan nama responden Tun Dr Mahathir sebagai menteri kewangan melalui perintah Menteri-menteri Kerajaan Persekutuan 1998 dapat membaiki ketidakpatuhan responden pertama terhadap peruntukan jelas dalam perkara tersebut.

Mahkamah masih belum menetapkan tarikh untuk mendengar rayuan Anwar itu dan beliau diperintah untuk memfailkan rekod rayuan dalam jangka masa 14 hari.

Bersidang bersama Malanjum ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman dan Datuk Abdul Aziz Mohamad.

Pada 23 Dis 1998, Mahkamah Tinggi menolak saman Anwar terhadap Tun Dr Mahathir dan kerajaan, untuk terus membatalkan permohonannya bagi satu perintah mengisytiharkan keputusan Tun Dr Mahathir memecatnya daripada jawatan Kabinet pada 2 Sept 1998 sebagai salah dari segi undang-undang, tidak sah dan batal. Anwar menegaskan bahawa pembatalan pelantikannya patut dilakukan Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat perdana menteri dan pembatalannya tidak boleh dikuatkuasakan oleh perdana menteri tanpa persetujuan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu.

Anwar juga gagal memansuhkan keputusan Mahkamah Tinggi itu selepas Mahkamah Rayuan pada 25 April 2007 menolak rayuannya dan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Mahkamah Rayuan mengesahkan bahawa pemecatan Anwar daripada jawatan Kabinet dilakukan mengikut undang-undang oleh Tun Dr Mahathir memandangkan kuasa untuk melantik dan memecat menteri terletak pada perdana menteri.

Anwar diwakili peguam Karpal Singh, Ram Karpal Singh, S.N.Nair dan Nicholas Netto. Beliau tidak hadir di mahkamah.

Terdahulu Karpal Singah berhujah bahawa Tun Dr Mahathir merupakan orang yang membuat keputusan untuk memecat Anwar daripada jawatan Kabinet dan menggugurkan beliau berkuat kuasa pukul 5.30 petang 2 Sept 1998 tanpa sebarang penunjuk bahawa Yang di-Pertuan Agong telah dinasihati beliau sebelum beliau (Tun Dr Mahathir) menyediakan dan menyerahkan surat pemecatan kepada Anwar.

Karpal Singh berkata Anwar, yang merupakan pemohon terhadap rayuan itu, bersetuju untuk tidak memohon mendapatkan kembali jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan kerana perkara itu adalah akademik.

Sebaliknya Anwar mahu mahkamah menganugerahkannya ganti rugi.

Peguam Kanan Persekutuan Azizah Nawawi yang mewakili Tun Dr Mahathir dan kerajaan, membantah permohonan kebenaran itu dengan berkata perkara itu telah menjadi sesuatu yang akademik. - 16/6/2008

Read More...

Royalti Kembali ke Terengganu - PAS Ragu kenyataan Abdullah

Buletin Online

PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh WanKay
Monday, 16 June 2008

The image “http://buletinonline.net/images/berita6/pcroyalti.jpg” cannot be displayed, because it contains errors.Kuala Terengganu – PAS ragu dengan kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Abdullah Ahmad Badawi kelmarin berkenaan dengan persetujuan Kerajaan Persekutuan

untuk mengembalikan semula pengurusan wang royalti minyak Petronas yang juga dikenali sebagai Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) kepada Terengganu.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Dato’ Mustafa Ali berkata, Kerajaan Pusat perlu menjelaskan pengumuman kelmarin secara mendalam mengenai maksud ‘pengurusan’ wang royalti minyak Petronas yang dikembalikan kepada kerajaan negeri, sama ada ia membawa maksud mengembalikan semula wang royalti secara muktamad dan sah ataupun menyerahkan pengurusannya sahaja.

Menurutnya, memandangkan kes wang royalti minyak masih ‘dalam’ mahkamah, ia hanya akan menjadi sah apabila adanya ‘consent judgment’ (keizinan penghakiman) yang mengarahkan pembayaran royalti tersebut dikembalikan semula dan menjadi hak Terengganu.

“Kita mahukan penyelesaian jangka panjang yang muktamad ertinya berdasarkan kepada undang-undang sehingga kes mahkamah tiada lagi,” katanya dalam sidang media di Pejabat Perhubungan Pas Negeri, semalam.

The image “http://buletinonline.net/images/berita6/pcroyalti.jpg” cannot be displayed, because it contains errors. Abdullah dalam kenyataanya kelmarin telah berkata, ‘pengurusan’ wang royalti tersebut selepas ini akan diuruskan secara terperinci oleh Kerajaan Terengganu setelah prosedur langkah berkaitan ditetapkan menerusi perbincangan bersama tidak lama lagi.

Mustafa berkata, sekiranya hanya ‘pengurusan’ dikembalikan, ia tidak mencapai maksud menyerah balik pembayaran wang royalti minyak kerana pengurusan hanya sekadar mengurus wang tersebut sahaja.

Beliau berkata , hak pengurusan tersebut mungkin boleh diambil balik oleh Kerajaan Pusat sekiranya individu yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus wang royalti itu tidak mahir dalam menguruskan wang berkenaan.

“Itu tidak sampai kepada matlamat kembalikan royalti. Kalau kembali mestilah berdasarkan kepada aspek ‘legal’ tadi, secara sah dan jangka panjang…… tidak boleh sesiapa lagi menarik balik royalti ini,” katanya.

Beliau turut menyarankan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said membuat perbincangan dengan rakyat, pemimpin pembangkang dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) sebelum mengadakan perbincangan lanjut berhubung soal royalti minyak antara Kerajaan Pusat dan negeri.

Katanya, melalui perbincangan, pihak berkenaan dapat menyampaikan input bagi pihak negeri untuk disampaikan kepada pusat dan perbincangan negeri dan pusat boleh dikatakan sebagai mewakili kerajaan dan rakyat Terengganu.

“Kami akan pergi sekiranya Menteri Besar memanggil untuk berbincang demi kepentingan rakyat negeri ini,” jelasnya sambil memberitahu bahawa perbincangan dengan pelbagai pihak di negeri ini akan dapat menyampaikan suara rakyat kepada pihak atasan.

Antara isu yang perlu perjelaskan lagi, Mustafa berkata, Kerajaan Pusat perlu menyatakan jumlah terkumpul sejak royalti minyak ditarik balik pada pertengahan tahun 2000 sehingga kini.

Katanya, perlu ada ‘due dilligent audit’ bagi mengetahui hak sebenar rakyat Terengganu dengan menyelesaikan hak lima peratus yang perlu diselesaikan dan akan membangkitkan isu lain sekiranya perbincangan telah dibuat.

Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Wan Mutalib Embong dan Setiausaha Perhubungan, Tuan Haji Yahaya Ali.

Read More...

Tony dakwa Idris bersikap 'kebudak-budakan'

Malaysiakini

Jun 17, 08 11:32am

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Datuk Tony Fernandes berkata rakan sejawatnya dalam Malaysia Airlines (MAS) bersikap "kebudak-budakan" kerana menarik balik diskaun lumayan yang dinikmatinya dalam penerbangan MAS.

tony fernandez and airasiaFernandes memberitahu Bernama malam ini diskaun seperti itu sebenarnya "amalan standard" serupa dengan yang diberikan kepadanya oleh syarikat penerbangan seperti Cathay Pacific, Virgin, Qantas dan sebagainya.

"Ia adalah budi bahasa yang dihulurkan kepada CEO syarikat penerbangan. Sama seperti dalam muzik industri, saya memberikan CD percuma kepada Warner Music atau sebaliknya," kata Fernandes, yang menceburi industri muzik sebelum beliau memulakan AirAsia enam tahun lalu, yang kini berkembang menjadi syarikat penerbangan tambang murah terbesar di Asia, demikian menurut Bernama.

idris jala and malaysia airlinePengarah Urusan dan CEO MAS Datuk Seri Idris Jala, dalam suratnya kepada Fernandes bertarikh 28 Mei, mengumumkan keputusan pengurusan syarikat penerbangan itu untuk menarik balik diskaun perjalanan Fernandes.

Idris berkata pihak pengurusan menerima banyak surat bantahan daripada banyak kakitangan MAS berhubung keistimewaan perjalanan ketua AirAsia itu ekoran "kenyataan negatif" yang dikeluarkannya mengenai MAS.

Dalam suratnya Idris berkata: "Ramai pekerja kami merasa amat tersinggung dan kecewa dengan apa yang mereka baca di akhbar. Perasaan marah di kalangan pekerja ini semakin meningkat, begitu juga dengan tekanan dari pihak kesatuan setiap hari".

malaysia airlines letter to tony fernandez 160608Beliau juga berkata ekoran banyak kritikan Fernandes terhadap MAS, pihak pengurusan tiada pilihan selain menarik balik keistimewaan perjalanan berkuatkuasa 1 Jun.

Pelopor tambang murah


Bagaimanapun Fernandes dalam reaksinya terhadap keputusan oleh seteru dalam perniagaannya itu berkata kritikannya terhadap MAS dicetuskan semata-mata oleh gesaan AirAsia supaya syarikat penerbangan negara itu "bersaing secara sihat".

"Apa yang saya katakan cuma MAS perlu memberikan kami peluang untuk bersaing secara sihat. Contohnya MAS sentiasa menentang penerbangan AirAsia ke Singapura," kata Fernandes semasa merujuk kepada isu utama bagi dua syarikat penerbangan itu, iaitu apa yang dilihat sebagai laluan paling menguntungkan di
rantau ini.

Ditanya sekiranya beliau percaya kesatuan sekerja MAS yang menekan syarikat penerbangan itu untuk menarik balik diskaun 50 peratus bagi Kelas Pertama/Perniagaan dan 75 peratus bagi kelas Ekonomi, Fernandes berkata: "Kami hanya mahu diberi layanan adil. Apa gunanya untuk perkara ini dijadikan terlalu bersifat peribadi?" katanya.

Pelopor syarikat penerbangan tambang murah yang lantang bercakap itu berkata beliau memberikan sepenuh tumpuan kepada perniagaannya dan pemegang
saham AirAsia, sambil menambah, "Orang yang tidak sukakan saya akan sentiasa mencari jalan untuk tidak menyukai saya."

Ditanya sama ada tindakan MAS menarik balik diskaun yang diberikan kepadanya untuk menaiki penerbangan syarikat kebangsaan itu mendatangkan kesan kepadanya, Fernandes berkata "Saya tidak menggunakannya sangat, jadi tidak mengapalah."

Idris ketika dihubungi bertegas bahawa kesatuan pekerja-pekerja syarikat penerbangan itu yang memulakan langkah berkenaan.

Seperti yang dinyatakan dalam suratnya kepada Fernandes, "Ia adalah tindakan yang terbaik buat masa ini berikutan sentimen keseluruhan dalam kalangan kakitangan."

Read More...

Cadangan Nik Aziz bayar gaji ikut takwim hijrah lebih baik

Harakahdaily

Adnan Ibrahim

Mon | Jun 16, 08 | 4:59:07 pm MYT

Terdapat langkah yang paling sesuai bagi meringankan beban kakitangan awam sebagaimana yang pernah dicadangkan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ia bukan sahaja meringankan bebanan rakyat malah secara tidak langsung memartabatkan takwim hijrah. Perkara ini pernah disuarakan oleh Nik Abdul Aziz mengenai kealpaan orang Islam tentang takwim tersebut.

Sebagai langkah mengatasi kealpaan dan kelalaian umat Islam daripada mengingati bulan hijrah beliau mencadangkan gaji kakitangan perkhidmatan awam hendaklah dibayar pada setiap bulan hijrah.

Jika itu dilaksanakan bermakna dalam setahun kakitangan awam memperolehi hampir 12.4 kali bayaran gaji. Ini berdasarkan bulan hijrah 11 hari lebih pendek daripada bulan masehi.

Cadangan Nik Abduil Aziz itu dilihat lebih konkrit dan praktikal untuk meringankan bebanan rakyat akibat kenaikan harga minyak berbanding pengumuman Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa bayaran gaji kakitangan awam akan dibayar dua kali sebulan.

Ansuran dua kali sebulan bukan bermakna meningkatkan pendapatan rakyat sebaliknya ia boleh meningkatkan bebanan rakyat yang berpendapatan kecil. Mungkin maksud Abdullah untuk mengawal perbelanjaan rakyat. Cadangan Abdullah itu barangkali berkesan kepada kakitangan awam yang berpendapatan tinggi.

Bagi golongan berpendapatan kecil, bagaimana bentuk penjimatan lagi yang perlu dilakukan oleh mereka. Setiap hujung bulan, bayaran sewa rumah dan ansuran kereta perlu dijelaskan. Sekiranya hanya separuh gaji yang diterima pada hujung bulan keadaan akan bertambah rumit.

Oleh yang demikian sebagaimana dakwaan Abdullah untuk meringankan bebanan rakyat akibat kenaikan harga minyak, sepatutnya beliau mengambil cadangan Nik Abdul Aziz itu yang lebih munasabah yang serentak memartabatkan takwim hijrah.

Beberapa tahun dahulu Nik Abdul Aziz pernah mencadangkan gaji kakitangan kerajaan negeri di bayar mengikut takwim hijrah bagi memartabatkan tahun tersebut di samping ia sentiasa dan mudah menjadi ingatan kepada umat Islam untuk beramal dengan bulan hijrah. Ia juga mendekatkan umat dengan peristiwa Islam serta hari kebesaran dan keagungan Islam.

Bagaimanapun cadangan tersebut senyap begitu sahaja kerana tidak bersesuaian dengan pembayaran gaji kerajaan pusat. Namun begitu Nik Abdul Aziz mungkin boleh membangkitkan semula cadangan tersebut apabila Abdullah membuat pengumuman bayaran gaji dua kali sebulan.

Pengumuman Abdullah itu tidaklah memberi erti yang besar kepada rakyat. Sebaliknya cadangan Nik Abdul Aziz ia membangkitkan nostalgia keagungan Islam serta memberi keuntungan kepada kakitangan awam.

Cadangan Nik Abdul Aziz itu juga dikatakan mendapat sokongan bukan Islam walaupun tidak dinyatakan secara terangan. Sekumpulan bukan Islam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melihat cadangan tersebut merupakan satu yung baik kepada rakyat Kelantan.

Sekiranya usaha kerajaan Kelantan berjaya ia akan menarik minat umat Islam dan bukan Islam kepada pemerintahan ulama Kelantan. Kejayaan pemerintah Kelantan merealisasikan Islam itu sebaliknya merugikan kakitangan awam di bawah kerajaan pusat dan negeri lain yang tidak diperintah oleh PAS.

Lalu mereka menghantar satu memorandum meminta kerajaan membayar gaji kakitangan awam sebanyak 13 kali setahun. Mengikut laporan NGO terbabit, tentang pelaksanaannya ia terpulang kepada satu mekanisme yang boleh dibentuk kerajaan melalui perbincangan yang lebih lanjut.

Bagaimanapun apabila kerajaan Kelantan tidak berjaya membuat perubahan pelaksaaan tersebut maka isu itu senyap begitu sahaja dan pihak NGO terbabit juga tidak lagi menuntut dengan kerajaan pusat.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman, berpendapat pembayaran gaji dua kali sebulan tersebut bukan cara efektif menyelesaikan masalah rakyat berikutan kenaikan harga minyak.

Cuepacs mencadangkan satu mekanisme lain, yang terbaik dan berkesan, bagi membantu mereka, kata beliau yang menyambut baik usaha kerajaan mahu membantu meringankan beban kewangan rakyat.

"Jika diberi ansuran dua kali sebulan, mereka yang berpendapatan RM5,000 atau RM6,000 tidak merasa kesannya tetapi mereka yang bergaji RM3,000 ke bawah yang meliputi 650,000 pekerja akan merasa bebanannya," ujarnya.

Beliau berkata demikian mengulas pengumuman Abdullah bahawa kakitangan kerajaan akan dibayar dua kali dalam sebulan mulai Ogos ini.

Beliau berkata langkah itu adalah bagi memudahkan mereka mengurus perbelanjaan dan aliran tunai isi rumah berikutan kenaikan harga bahan api.

"Separuh pertama akan dibayar pada pertengahan bulan dan separuh kedua akan dibayar pada hujung bulan.

"Potongan-potongan seperti cukai pendapatan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya akan dilakukan pada hujung bulan," katanya.

Namun begitu cadangan tersebut tidak mengembirakan kakitangan kerajaan yang berpendapatan kecil. Malah kakitangan awam bergaji rendah ditemui turut menyuarakan bebanan mereka nanti jika pelaksanaan tersebut diteruskan. - mns _

Read More...

Sunday, June 15, 2008

Kenaikan harga minyak jejas usaha basmi kemiskinan

Harakahdaily

Sun | Jun 15, 08 | 11:06:09 am MYT

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Hrkh) - Beberapa pakar ekonomi berpendapat kenaikan mendadak harga bahan bakar kebelakangan ini, boleh menjejaskan sasaran kerajaan untuk menghapuskan sepenuhnya kemiskinan tegar di negara ini menjelang 2010.

Mereka yakin kenaikan harga bahan itu sebanyak 40 peratus seperti yang diumumkan baru-baru ini berikutan kenaikan mendadak harga minyak dunia, pasti memberi kesan yang tidak menggembirakan terhadap rancangan itu.

April lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Amirsham A. Aziz berkata beliau yakin kerajaan akan berjaya mencapai sasarannya untuk menghapuskan kemiskinan, walaupun harga minyak dunia terus meningkat.

Bagaimanapun, sesetengah ahli ekonomi mempamerkan sikap kurang yakin mereka terhadap prospek itu dengan memberi alasan bahawa berdasarkan kuasa membeli yang ada sekarang, lebih banyak rakyat Malaysia sebenarnya boleh dianggap tergolong dalam kelompok "miskin".

Bernama melaporkan ahli ekonomi kanan Bank Islam Malaysia Azrul Azwar Ahmad Tajudin berkata andaian ini dibuat berdasarkan kuasa membeli dalam kalangan rakyat yang kini menurun dengan begitu ketara berikutan pelaksanaan langkah penyusunan semula subsidi bahan bakar.

"Seperti sebelum ini, kenaikan harga bahan bakar akan menyebabkan harga semua benda lain turut meningkat, daripada makanan, hinggalah kepada barang keperluan, termasuk perkhidmatan.

"Bagi golongan miskin, kenaikan harga bahan bakar baru-baru ini memberi pukulan hebat terhadap kehidupan mereka. Sejak setahun lepas, mereka terpaksa bergelut untuk hidup akibat kenaikan kos makanan. Kini, mereka menerima satu lagi pukulan apabila harga bahan bakar melonjak, sedangkan pendapatan mereka tidak bertambah," katanya.

Sambil mengkategorikan isi rumah yang berpendapatan kurang RM1,500 sebulan sebagai keluarga miskin, Azrul Azwar berkata sebelum ini, kumpulan berkenaan membelanjakan 40 hingga 50 peratus daripada pendapatan mereka untuk membeli makanan dan apabila harga bahan bakar meningkat sekarang, mereka terpaksa mengikat perut bagi memenuhui keperluan lain.

Oleh itu, kata beliau, kaedah yang digunakan sekarang bagi menentukan garis kemiskinan, perlu disemak semula kerana ia tidak mencerminkan hakikat sebenar.

"Saya rasa pendapatan yang dikategorikan sebagai garis kemiskinan sekarang tidak relevan dengan kos sara hidup yang meningkat hari demi hari. Bagi saya, ia sepatutnya jauh lebih tingi, mungkin sekitar RM1,500 sebulan," katanya.

Berdasarkan pengiraan 2005, garis kemiskinan bagi seluruh negara ialah pendapatan bulanan sebanyak RM691, manakala bagi semenanjung pula jumlahnya ialah RM661, Sabah (RM888) dan Sarawak (RM765). Pengiraan ini adalah bagi keluarga yang mempunyai lima anggota.

Bagi meringankan beban golongan ini, Azrul Azwar mencadangkan agar kerajaan memperuntukkan sebahagian daripada RM2 bilion yang diperoleh melalui langkah berjimat-cermat yang diumumnya baru-baru ini, untuk diagihkan kepada golongan terbabit.

"Bukan bantuan dalam bentuk wang. Sebaliknya kerajaan perlu mengenal pasti siapakah yang tergolong dalam kumpulan ini dan membantu mereka dalam bentuk lain," katanya.

Bagaimanapun, beliau berpendapat langkah yang diambil kerajaan pada masa ini berada di landasan yang betul ke arah meringankan beban rakyat.

Penolong Naib Presiden Jualan Institusi Alliance Investment Bank Shahrul Kamal Ramli, yang sependapat dengan Azrul Anwar bahawa semakin banyak rakyat Malaysia akan tergolong sebagai golongan miskin berikutan kenaikan harga bahan bakar, berkata rakyat negara ini sepatutnya diberi peluang berkongsi kekayaan yang dinikmati oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Sambil menyifatkan pengguna sebagai "peserta kecil" dalam sebuah konsortium besar, iaitu negara, beliau berkata seperti pemegang saham dalam syarikat senaraian awam, rakyat negara ini juga sepatutnya dibayar dividen berdasarkan keuntungan yang diraih oleh syarikat itu.

"Maksud saya ialah GLC yang kebanyakannya dimiliki secara penuh atau sebahagiannya oleh kerajaan seperti Petronas, Tenaga, patut memberi bonus tunai kepada rakyat.

"Tahukah anda bahawa di Singapura, kerajaan membayar bonus kepada rakyatnya?Tahun lepas, setiap daripada mereka menerima sekitar S$700 atau RM1,800," kata beliau.

Menjelaskan rasional cadanganya itu, Shahrul Kamal berkata walaupun kenaikan harga setiap liter petrol sebanyak 78 sen dan diesel sebanyak RM1 menjejaskan semua orang, tetapi golongan miskinlah yang paling teruk menerima akibatnya.

"Mari kita lihat begini... seorang ada RM1 dan seorang lagi RM100. Tambahan perbelanjaan sebanyak 20 sen bagi orang yang ada RM100 sudah tentu tidak seberapa kesannya, berbanding orang yang hanya ada RM1," kata beliau.

Beliau berkata wang yang diberi secara tunai sebagai ganti bagi subsidi bahan bakar, tidak memberi manfaat kepada semua orang yang memerlukan bantuan kerana hanya mereka yang memiliki kenderaan, layak menerimanya.

"Bagaimana dengan mereka yang tidak memiliki kenderaan dan bergantung sepenuhnya pada pengangkutan awam? Mereka tidak layak menerima rebet itu, sedangkan kenaikan harga bahan bakar memberi kesan yang pelbagai dan kumpulan ini juga menerima akibatnya kerana harga semua barang akan turut meningkat," kata beliau.

Shahrul Kamal juga mempertikaikan keberkesanan sesetengah langkah yang dilaksanakan kerajaan seperti kad fleet, yang pada pandangan beliau, boleh disalahgunakan.

Beliau berkata kerajaan masih boleh memberi subsidi bahan bakar yang "selesa" kepada rakyat jika kuantum keuntungan Petrons yang diperuntukkan bagi tujuan subsidi, dikira berdasarkan harga pasaran global.

"Pada masa ini, kerajaan belum menjelaskan formula yang digunakannya dalam mengira peratusan yang diberi oleh Petronas daripada keuntungannya. Mereka hanya beritahu kita jumlahnya.

"Dalam hal ini, saya mencadangkan, mungkin kerajaan boleh menimbang menggunakan satu kuantum berdasarkan harga pasaran. Contohnya, kalau harganya AS$40 setong, mungkin Petronas patut bayar 40 peratus dan jika lebih AS$80, mereka bayar 75 peratus. Saya yakin, jika ini dilakukan seperti yang sewajarnya, rakyat masih boleh menikmati harga bahan bakar yang tidak membebankan mereka," katanya.- mks._

Read More...

Kit Siang Sokong Cadangan Petronas Bentangkan Penyata Kewangan

Bernama

ALOR STAR, 15 Jun (Bernama) -- Pembentangan penyata kewangan Petronas di Parlimen merupakan langkah paling wajar bagi menjelaskan kedudukan syarikat milik negara itu kepada rakyat, kata Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Beliau berkata ini kerana langkah kerajaan menaikkan harga minyak sebanyak 41 peratus bagi petrol kepada RM2.70 seliter dan 63 peratus bagi diesel kepada RM2.58 seliter pada 5 Jun lepas adalah terlalu tinggi sedangkan Malaysia sebuah negara pengeluar minyak.

"Kenaikan harga minyak dunia sehingga mencecah harga tertinggi AS$136 setong baru-baru ini tidak memberi makna kepada rakyat yang dibebankan dengan kenaikan harga minyak dalam negara kerana Malaysia juga merupakan pengeluar minyak," katanya kepada pemberita selepas mengunjungi Menteri Besar Kedah Azizan Abdul Razak di Wisma Darul Aman di sini, Ahad.

Lim yang juga anggota Parlimen Ipoh Timur berkata demikian sebagai menyokong cadangan anggota Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin semalam supaya penyata kewangan terperinci Petronas dibentangkan di Parlimen.

Khairy berkata Petronas wajar membentangkan laporan kewangannya supaya rakyat tidak terus mempersoalkan syarikat itu termasuk sumbangan, hasil dan kos pengeluaran yang ditanggung.

Mengenai pertemuan dengan Azizan, Lim berkata antara perkara yang dibincangkan ialah berkaitan kebajikan masyarakat Cina di Kedah termasuk kekurangan kakitangan Cina dalam pentadbiran kerajaan dan isu rumah ibadat.

-- BERNAMA


Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |