+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, May 31, 2008

Umno akan terus kucar-kacir sehingga Disember - Mohd Sabu

Harakahdaily

Intan Abdullah

Fri | May 30, 08 | 5:48:34 pm MYT

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Hrkh) - Umno-BN dijangka akan terus mengalami pergolakan dan perpecahan sehingga Disember ini.

Pandangan tersebut dilontarkan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu kepada Harakahdaily dekat sini ketika memberikan penjelasan berhubung kenyataan mantan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Dato' Wan Abdul Rahim yang memohon maaf kepada Suruhanjaya Pilihan Raya semalam.

"Umno akan terus begini sehingga Disember apatah lagi selepas pemilihan dan pelantikan pucuk kepimpinan akan datang," katanya.

Tambahnya, keadaan akan menjadi lebih parah sekiranya kerajaan bertukar tampuk kepimpinan kepada Pakatan Rakyat.

Bahkan katanya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka akan meneruskan siri serangan beliau menerusi satu program ucaptama yang akan berlangsung di Hotel Crystal Crown Petaling Jaya pada jam 9 pagi esok.

Mengulas mengenai kembalinya Pengerusi Gerak, Ezam Mohd Nor semula ke pangkuan Umno, Mohamad yang merupakan Pengerusi Mobilisasi Demokrasi berpendapat ia tidak akan banyak mengubah keadaan dalaman Umno yang telah sedia kucar-kacir.

"Tindakan Ezam tersebut merupakan pilihan beliau secara peribadi, cuma yang saya kurang pasti sekarang adalah sama ada prinsip perjuangan Ezam untuk membasmi rasuah dan penyelewengan dalam kerajaan boleh dilaksanakan melalui parti yang ditentangnya selama ini?" katanya.

Ujarnya, terpulanglah kepada Ezam untuk meneruskan prinsip perjuangannya itu.

"Saya fikir Ezam perlu menjelaskan tindakan dan keputusan beliau itu sendiri kepada mereka yang pernah mengikuti ceramah dan rapat umum sebelum ini yang mengharapkan ianya dibuat," ujarnya.

Sementara itu, Mohamad yang pernah mengetuai Jawatankuasa Perhimpunan 100,000 Rakyat pada 10 November lalu anjuran Bersih menyifatkan kenyataan yang dibuat Wan Abdul Rahim semalam sebagai bersifat peribadi.

"Sesiapapun yang membuat tuntutan maaf itu adalah pandangan peribadi, bahkan keputusan Mobilisasi Demokrasi dan Bersih akan meneruskan tuntutan kami sebelum ini termasuklah memorandum yang telah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong tahun lalu.

"Walaupun Pakatan Rakyat berjaya menawan lima buah negeri dalam pilihan raya umum lalu, ia tidak bermakna sistem pilihan raya kita telah pun bersih dan baik," ujarnya lagi.

ini kerana tegasnya, penyelewengan tersebut tenggelam oleh tsunami politik yang dilakukan oleh kebangkitan rakyat berdasarkan faktor luaran dan senario politik semasa ketika itu.

"Justeru, kejahatan dan penipuan oleh pihak SPR tidak dapat dihidu dan tidak kelihatan dengan ketara, namun kita mendapat maklumat calon Pakatan Rakyat tewas di beberapa tempat setelah pengiraan semula dijalankan," katanya.

Jelasnya ini menyebabkan suatu suruhanjaya perlu ditubuhkan bagi menyiasat masalah ini.

"Kami tidak pernah berganjak daripada meneruskan tuntutan sebelum ini kerana kemenangan yang diperolehi Pakatan Rakyat bukanlah bermakna sistem pilihan raya di negara ini telah pulih dan bersih.

"Ia masih kotor dan tidak telus," katanya lagi.

Bersih sebelum ini pernah mengemukakan empat tuntutan termasuk pembersihan daftar pemilih, mengkaji semula pelaksanaan undi pos, serta penggunaan dakwat kekal pada jari pengundi menerusi memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong pada 10 November lalu. - mns

Read More...

Ku Li tetap tanding meskipun Pak Lah berundur

Mstar Online

30-05-2008 11:35:55 PM

KOTA BAHARU: Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah tetap akan bertanding jawatan Presiden Umno meskipun Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memutuskan untuk berundur sebelum pemilihan parti Disember ini.

"Saya menawarkan diri (untuk bertanding jawatan Presiden) bukan hanya kerana faktor Pak Lah (Abdullah) tetapi kerana keperluan untuk menyegarkan semula Umno dan mengembalikan arah tuju memandangkan masa depan (parti) kelihatan malap. Ia juga untuk menghidupkan usaha pembangunan negara," katanya.

Beliau mengumumkan untuk bertanding jawatan itu selepas pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac lalu.

Bekas Naib Presiden Umno itu pernah mencabar Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk jawatan presiden pada 1987 tetapi tewas.

Desas-desus kedengaran bahawa beliau tidak akan mencabar Abdullah jika mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan kedudukannya kali ini.

Kata Tengku Razaleigh, kerusi presiden dan timbalan presiden lazimnya terbuka untuk rebutan apabila ada pemilihan parti.

Pemilihan parti sepatutnya diadakan tahun lalu tetapi ditangguhkan sehingga bulan Disember disebabkan pilihan raya umum ke-12.

Semasa berada di Kota Kinabalu minggu lalu, beliau telah meminta bahagian-bahagian UMNO di Sabah supaya tidak takut untuk mencalonkan beliau bertanding jawatan presiden pada pemilihan Disember ini.

Ketika ditanya sama ada sesuai bagi Abdullah meletakkan jawatan sebelum Disember, Tengku Razaleigh memberitahu, beliau perlu tunggu dan lihat kerana bahagian-bahagian hanya akan mengadakan persidangan tahunan dan pemilihan pada Oktober ini.

Mesyuarat cawangan bermuka Julai ini.

Beliau menyatakan demikian selepas merasmikan Persatuan Seni Silat Tomoi Kelantan di Kuala Besar di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kemasukan semula bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd. Nor ke dalam Umno, Tengku Razaeligh berkata, langkah itu boleh membantu menarik sokongan golongan muda yang ketika ini cenderung kepada pembangkang untuk menyertai parti terbesar bangsa Melayu itu.

Kata beliau, ini kerana Ezam mempunyai pengaruh yang besar terhadap politik negara dan mempunyai pengikut terutama golongan muda ketika bersama PKR sebelum ini.

"Saya rasa Ezam boleh membantu menarik golongan muda ke dalam Umno kerana dia seorang ahli politik yang ada pengaruh dan boleh membantu," katanya.

Ahli Parlimen Gua Musang berkata, untuk itu beliau sanggup bersama pemimpin yang lain bagi membantu menarik golongan muda menyertai Umno.

Veteran Umno itu juga berkata, Ezam boleh membawa ideai-dea baru untuk sama-sama membantu menyumbang untuk kebaikan masyarakat dan juga Umno.

"Umno boleh guna Ezam jika dia benar-benar ikhlas untuk berjuang dalam Umno," katanya.

Beliau juga berkata, selain Ezam, Umno perlu membuat sesuatu untuk mempelawa mana-mana bekas pemimpinnya untuk kembali ke dalam parti itu.

"Saya rasa apa yang Tun (Dr. Mahathir Mohamad) buat (keluar Umno) sebenarnya dia masih mempunyai jiwa Umno dan tegurannya sebelum ini bagi saya untuk kepentingan Umno dan negara juga," katanya.

Read More...

PAS parti penentu

Siasah daily


KUALA LUMPUR, 30 Mei: PAS kini menjadi parti penentu dalam kemelut perebutan pengaruh dalam politik Malaysia, kata Ustaz Ahmad Awang, Naib Presiden PAS.


Bagaimanapun, PAS mengambil pendekatan untuk terus bersama Pakatan Rakyat dan akan terus berusaha untuk memperkuatkannya, katanya kepada Siasah.

Untuk itu, katanya, satu gagasan bersama antara parti-parti Pakatan sedang dirangka dan diteliti oleh para pimpinan utama parti-parti dalam Pakatan.

"Kami di peringkat PAS sedang meneliti draf itu dan nampaknya tidak ada masalah besar untuk meluluskannya," kata beliau kepada Siasah.

Beliau mengulas usaha-usaha yang sedang dibuat untuk memancing PAS agar bersama dengan Umno sekarang.

"Memang sejak sebelum berjaya membentuk kerajaan di lima negeri Pakatan lagi, Umno siang malam berusaha untuk mendekati PAS dan mengajak bersama dengan mereka kononnya atas nama Melayu dan Islam," kata Ahmad yang juga Pesuruhjaya PAS Perak.

Katanya, setiap masalah yang timbul antara parti dalam Pakatan khasnya di Perak akan mendapat respon segera dari Umno untuk memancing PAS.

"Seolah-olah mereka menjejaki kita setiap masa. Matlamatnya satu sahaja, untuk mengajak kita bersama mereka," katanya.

Namun PAS, katanya, telah mengambil keputusan untuk menerima mandat rakyat agar bersama-sama dalam Pakatan.

Sementara itu, katanya, hubungan PAS dengan Istana Perak semakin rapat selepas kes Pengarah Jabatan Agama Islam Perak.

"Raja Muda sendiri secara terbuka memuji pendekatan MB kita dan insya Allah kes Pengarah Jaip itu akan selesai tidak lama lagi," kata beliau.

Read More...

Kini Mokhzani pula jadi sasaran...

Malaysiakini

May 31, 08 9:14am

Selepas mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad keluar Umno, manakala anaknya yang juga ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz dikecam oleh pimpinan parti itu kerana mendesak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan dan kini seorang lagi anaknya, Datuk Mokhzani diminta melepaskan jawatan sebagai pengerusi Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob Ismail berkata, ekoran tindakan Mokhzani menurut jejak langkah bapanya keluar dari Umno, maka beliau mesti melepaskan jawatan pengerusi SIC kerana ia milik anak syarikat Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) yang dikuasai kerajaan melalui Khazanah Holdings.

"Jawatannya itu adalah hak kerajaan. Bila dia (Mokhzani) keluar Umno, secara prinsipnya, beliau kena lepaskan jawatan dalam kerajaan," kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Ismail Sabri Yaakob Ismail Sabri.

mokhzani mahathirMenurut laporan Bernama, Mokhzani dilantik menjadi Pengerusi SIC pada 2003 menggantikan Tan Sri Basir Ismail, yang merupakan Pengerusi SIC yang pertama.

Dalam reaksi balas, Mokhzani, 47, yang juga bekas bendahari Pemuda Umno berkata beliau tidak akan berbuat demikian kerana tiada arahan daripada MAHB atau Kementerian Kewangan.

Mokhzani berkata Ismail Sabri sepatutnya merujuk perkara tersebut (peletakan jawatan) kepada MAHB atau Kementerian Kewangan.

"Sehingga kini, selepas (saya) keluar Umno pada awal Mei, tiada arahan bagi saya melepaskan jawatan sekarang. Oleh itu, saya tetap menjalankan tugas sebagai pengerusi SIC," katanya.

Beliau berkata jika Perdana Menteri sendiri mahu beliau berhenti, Abdullah mempunyai hak berbuat demikian melalui `surat peletakan jawatan tanpa tarikh' yang diserahkannya pada 2006.

"Menjadi amalan saya, bila saya dilantik ke jawatan sukarela sebagai Pengerusi SIC ... tanpa gaji, pada masa yang sama, saya menyerahkan surat peletakan jawatan tetapi tanpa tarikh. Apa yang perlu dilakukan ialah mengisi tarikhnya sahaja," katanya.

Pada 21 Mei lalu, Mokhzani mengikut jejak bapanya, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang keluar dari Umno kerana tidak lagi yakin terhadap kepimpinan Presiden Umno dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Ismail juga tidak menghadiri majlis pelancaran Super GT Antarabangsa Malaysia anjuran SIC semalam yang diadakan di kementerian itu kerana kebetulan mempengerusikan mesyuarat pasca-kabinet kementeriannya di bangunan sama.

Ketika ditanya pemberita mengapa beliau tidak menghadiri majlis pelancaran itu, Ismail Sabri berkata: "Secara prinsipnya, bila Mokhzani keluar dari Umno kerana tidak yakin dengan kepimpinan perdana menteri, itu bermakna beliau juga tidak yakin dengan saya sebagai menteri yang dilantik oleh perdana menteri".

"Jadi mengapa saya perlu menghadiri majlis tersebut. Bukannya saya tidak suka sukan permotoran tetapi sebagai menteri kerajaaan, tidak kenalah ... (bila Mokhzani turut hadir)," kata Ismail Sabri.

Read More...

Rasuah hancurkan tamadun - Pak Lah

Utusan Online


ABDULLAH Ahmad Badawi melihat buku Ensiklopedia Islam dan Iran sambil diperhatikan oleh pengarangnya, Ali Akbar Velayati (tengah) dan Syed Mokhtar Albukhary pada majlis pelancaran buku itu di Kuala Lumpur, semalam. – Gambar Shaifudin Mohd. Nor


KUALA LUMPUR 30 Mei - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan umat Islam supaya menghindari rasuah serta perbuatan keji lain kerana ia boleh menghancurkan sesebuah tamadun.

Perdana Menteri berkata, sebaliknya mereka harus menunjukkan contoh yang baik antaranya sentiasa bersikap dinamik iaitu dengan menjadikan ilmu pengetahuan sebagai sandaran utama.

''Islam merupakan agama suci dan menjadi panduan serta petunjuk kepada semua penganutnya. Islam juga mengajar umatnya tentang kebenaran.

''Namun begitu sebagai umat Islam kita bertanggungjawab memelihara agama ini dengan mengelakkan diri daripada melakukan perbuatan keji seperti rasuah dan dalam masa sama sentiasa mengamalkan sikap dinamik,'' katanya.

Beliau berucap pada majlis pelancaran buku yang ditulis oleh bekas Menteri Luar Iran, Dr. Ali Akbar Velayati yang bertajuk Ensiklopedia Islam dan Iran di Muzium Kesenian Islam di sini hari ini.

Selain Ali Akbar majlis itu turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah dan Pengerusi Yayasan Albukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.

Dalam ucapannya, Abdullah juga menyentuh mengenai pentingnya semua ketua negara Islam tidak mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan oleh pemerintah terdahulu.

''Tamadun Islam telah melalui beberapa siri sejarah dan ia banyak memberi pengajaran. Umat Islam perlu menjadikan setiap pengajaran ini sebagai panduan.

''Bagi ketua dunia Islam, kita seharusnya menilai sejarah ini dan kemudian memahaminya. Tujuannya untuk memastikan kita (pemerintah Islam) tidak mengulangi kesalahan yang serupa,'' katanya lagi.

Dalam pada itu beliau menghargai usaha Ali Akbar menulis sebuah buku ilmiah kerana ia mampu memberi sumbangan ke arah meningkatkan jumlah buku berteraskan Islam.

"Dalam buku ini Ali Akbar menyentuh pelbagai perkara iaitu daripada pembinaan tamadun Islam hinggalah tajuk yang berkisar mengenai kemajuan sains dalam Islam.

"Buku ini amat sesuai untuk dijadikan bahan rujukan di institusi-institusi pengajian tinggi. Saya amat hargai usaha beliau kerana berjaya menambahkan koleksi bahan rujukan Islam,'' katanya.

Ujar Abdullah, buku tersebut bukan sahaja mampu memberi manfaat kepada pengkaji Islam tetapi ia juga berfaedah kepada cendekiawan dalam bidang lain.

Read More...

Mat Ezam bukan pengkhianat

Malaysiakini

Hishamuddin Rais | May 29, 08 4:57pm

Saya cukup hairan dan marah apabila ada pihak yang menuduh Mat Ezam sebagai seorang pengkhianat - bukan kerana saya hendak membodek Mat Ezam.

Saya hanya cuba menerangkan duduk perkara. Malah saya cukup hairan kenapa akhbar tabloid Le Fou Total terperanjat gadang apabila Mat Ezam masuk menjadi anggota gerombolan United Malays National Organisation.

Sesiapa yang hairan atau terperanjat, mereka adalah ahli-ahli politik poyo - ngok tidak tahu membaca politik macam le chef de fou Zainuddin Maidin.

Saya tahu siapa Mat Ezam ini. Dua tahun saya berkongsi satu sel dengan dia. Ezam bukan Mat Ezam poyo.

Dia bukan pengkhianat garis perjuangan. Mat Ezam sampai hari kiamat pun tidak akan mengkhianati garis perjuangan yang menjadi akidah hidupnya.

Cuba ingat betul-betul dan ingatkan apa yang selalu diceramahkan oleh Mat Ezam. Bukankah Mat Ezam selalu berkata - dia akan melawan penindasan dan berjuang untuk kumpulan yang tertindas.

Dia akan tampil ke hadapan untuk membantu kumpulan minoriti yang tertindas. Malah dia pernah berceramah sampai terpancut-pancut suaranya hendak meniru-niru bunyi suara Kamarad Karl Marx dengan kata-kata – contre l’ oppresion de l'homme par l'homme.

Memasuki gerombolan United Malays National Organisation adalah garis politik Mat Ezam yang tepat. Gerombolan United Malays National Organisation sesudah pilihanraya umum ke-12 adalah gerombolan yang sedang tertindas.

Menyokong dan sama-sama sebaris berjuang dengan gerombolan minoriti yang tertindas dan sesak nafas adalah tugas dan garis politik Mat Ezam.

Tindakan ini bukan khianat namanya. Ia garis politik yang tepat. Kita semua wajib belajar daripada Mat Ezam. Kita patut bangun untuk sama-sama menyokong golongan minoriti yang tertindas.

Berjuang sebaris dengan mereka yang tertindas adalah sebahagian daripada iman. Yang sebahagian lagi iman kita, berdoa untuk dapat projek. Ini bukan cakap saya.

Saya memungut hadis sahih ini daripada Ibnu Iwana al-Kantoli daripada kitab al-Fikarabun yang sama-sama saya baca dengan Mat Ezam semasa di Kamunting.

Menyokong sesiapa yang hendak rebah adalah garis tepat yang telah diambil oleh Mat Ezam. Apakah masih ada warga yang tidak menyedari dan tidak percaya bahawa gerombolan United Malays National Organisation sedang tertindas?

Ada sesiapa yang masih kurang jelas?

Kalau masih ada mereka yang tidak faham, maka mengikut kitab al-Fikarabun, kumpulan yang tidak faham ini tergolong kepada pengikut mazhab sesat lagi menyesatkan.

Bayangkan, tidak lama lagi gerombolan United Malays National Organisation akan tegak berseorangan. MCA, MIC dan Gerakan sedang merancang hendak memasuki Pakatan Rakyat.

Mereka semua ini telah sanggup murtad untuk mengikut Tuan Syeikh baru mereka. Rakyat Sabah dan Serawak sedang berduyun-duyun lari membuat IC baru dan bercadang untuk meninggalkan Malaysia.

Syabas Mat Ezam – saudara jujur dengan garis perjuangan membantu yang lemah dan melawan yang gagah. Saudara cukup sedar bahawa Mat Dolah sekarang adalah pemimpin yang paling lemah dalam sejarah politik tanah air.

Saudaralah pembantu setianya. Topang pembawa rebahnya.

Fakta politik sedang menunjukkan bahawa dalam gerombolan United Malays National Organisation, Mat Dolah dalam proses hendak disingkirkan.

Kita semua tahu Mat Najib sedang menyusun barisan mengepung Mat Dolah.

Dalam masa yang sama Muhyiddin juga sedang berura-ura untuk menibai Mat Dolah dari belakang. Ini semua adalah bentuk-bentuk penindasan yang sedang dihadapi oleh Mat Dolah - inilah tugas suci Mat Ezam dengan rela hati datang membantu Mat Dolah yang sedang ditindas.

Di luar gerombolan ini, ada pula Mahafiraun yang tidak henti-henti menyalak dan menggigit punggung Mat Dolah. Maka di sini satu lagi peranan agung Mat Ezam. Membantu yang lemah dan menolong yang tersepit dan yang sedang disalak Mahafiraun.

Tentang Mahafiraun ini, Mat Ezam cukup cemuh. Mat Ezam pernah menerangkan kepada saya – jika jumpa Mahafiraun dan jumpa Mat Dolah, ketuk kepala Mukhriz dulu. Inilah kata-kata hikmat daripada Mat Ezam yang sampai kiamat akan saya ingati.

Saya cukup marah apabila menerima SMS yang cuba menghina Mat Ezam. SMS ini cuba menuduh Mat Ezam sama seperti Raja Katak. Tanggapan ini tidak betul. Mat Ezam tidak melompat. Mat Ezam melutut.

Dua perkara ini jauh bezanya. Melompat ke atas seperti katak. Melutut ke bawah seperti Mat Ezam. Jadi, tolong jangan samakan Mat Ezam dengan Ibrahim Ali. Mat Ezam ada kelas.

Saya juga meminta semua fitnah dan tohmah tentang Mat Ezam di hentikan serta-merta. Cerita tentang Mat Ezam datang membantu Mat Dolah memang betul. Tetapi kini telah wujud analisis politik cekai yang berunsur fitnah tersebar.

Rasa saya, konco-konco Mat Najib yang bertanggungjawab menyebarkan fitnah ini. Konco-konco Mat Najib menganggap Mat Ezam datang kerana arahan bos lamanya untuk membantu Mat Dolah. Ini fitnah. Mereka kurang arif dengan tujuan suci Mat Ezam.

Saya juga difahamkan bahawa Rafidah cukup gembira dengan kedatangan Mat Ezam. Saya dengar, kenduri talkin akan diadakan di Kuala Kangsar, kawasan parlimen Rafidah untuk menyambut Mat Ezam.

Saya difahamkan, Mat Ezam telah menelefon Rafidah. Dengan manja sekali Mat Ezam telah bersedia untuk menghadiahkan sebuah kotak harta karun yang ada pada Mat Ezam.

Saya dengar khabar kotak ini menyimpan kasut Rafidah yang patah ketika Rafidah berlari-lari sewaktu Mahathir menangis dahulu.

Satu kotak lagi akan dihadiahkan kepada Nazri Aziz. Saya dengar khabar kotak untuk Nazri ini berisi lesen-lesen teksi. Sebuah lagi kotak untuk Noh Omar yang penuh dengan surat pajak.

Lesen-lesen teksi dan surat-surat pajak ini telah dikumpulkan oleh Mat Ezam ketika dia menyamar sebagai pegawai pencegah rasuah pada suatu ketika dahulu.

Saya sedar memang ramai orang tidak mengetahui bahawa ketika Mat Ezam menyamar macam inspektor Jacques Clouseau dulu, dia telah melakukan satu yang amat tragik.

Biar saya nyatakan di sini satu rahsia yang begitu lama saya simpan.

Menurut Mat Ezam, tiga lagi kotak yang dicari-cari oleh pihak polis itu dipenuhi dengan gambar-gambar dan video rakaman Altantuya yang sedang membeli-belah dengan Dotty di Paris.

Dari mulut Mat Ezam sendiri, saya telah diberitahu bahawa video ini telah dirakamkan oleh KGB. Bagaimana pita ini sampai ke tangan Mat Ezam, saya juga kurang arif. Apa tujuan KGB memberikan pita rakaman dan gambar-gambar Altantuya di Paris, wallah hu a'lam bisawwab - hanya Lingam sahaja yang maha mengetahui.

Apakah hubungan Mat Ezam dengan KGB ini, saya sendiri pun tidak pasti. Tetapi menurut Mat Ezam, ada seorang pengendali laman web yang telah membuat salinan video ini untuk disimpan dengan selamat.

Saya cukup bengang dengan Minah sepupu Mat Najib yang ingin bertanyakan tiga soalan untuk Mat Ezam. Siapa Minah ini? Apakah locus pocus Minah ini untuk menyoal Mat Ezam? Ini mesti atas arahan sepupunya.

Saya yakin Mat Ezam pasti akan bertanya kembali kepada Minah ini nanti – wahai Minah, mana dia laporan kewangan Sukom yang sampai hari ini belum diaudit? Pasti menggigil colinya nanti apabila Mat Ezam mula menyoal. Jangan play play, ini Mat Ezam - dia bukan Kancil, dia Wira.

Saya paling menyampah melihat sikap Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang menjadikan Mat Ezam ini seperti selipar buruk. Sudah dipakai, ditinggalkan - tindakan ini betul-betul kurang hormat. Minah di Lorong Haji Taib pun kalau sudah dipakai, kita kena bayar. AMK telah murtad terhadap ketua mereka.

Sepatutnya Mat Ezam yang begitu gah dan berpengaruh pasti ada beratus-ratus ahli AMK yang akan berduyun-duyun mengikut Mat Ezam. Tetapi keadaan ini tidak berlaku.

AMK telah menghina Mat Ezam sama seperti gerombolan United Malays National Organisation menghina Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas presiden mereka yang keluar daripada gerombolan.

Mat Ezam terkontang-kanting dengan empat lima Pak Pacak ketika membuat sidang akhbar. Kenapa Mat Ezam yang Wira (bukan Kancil) dilupakan. Apa punya turrr AMK ini!

Ada satu perkara yang amat-amat memilukan hati saya apabila Mat Ezam masuk dalam gerombolan United Malays National Organisation ini.

Saya tertanya-tanya, apakah yang akan terjadi kepada kawan baik saya si Lokman Adam yang bersama-sama di Kamunting dahulu. Lokman selalu ke hulu ke hilir berceramah dan membuka cerita tentang strategi perjuangan PKR - inilah modal cari makan Lokman Adam.

Apabila Mat Ezam memasuki gerombolan United Malays National Organisation, ke mana agaknya Lokman Adam mahu cari makan kerana Mat Ezam juga akan ke hulu ke hilir dengan modal yang sama?
Mat Ezam seharusnya bersimpati dengan sahabat lamanya Lokman Adam. Saya berharap mereka akan berkongsi kembali, cari makan sama-sama agar sorro tidak miss.

Kelentong ke hulu kelentong ke hilir
Mat Ezam mencegah rasuah
Hujah dahulu hujah lendir
Kini Mat Ezam dah pandai rasuah

Read More...

Peruntukan segera RM1 juta bantu 5,000 rakyat miskin tegar - MB Perak

Harakahdaily

Ekmal Yusof

Fri | May 30, 08 | 12:26:21 pm MYT

KUALA KANGSAR, 30 Mei (Hrkh) - Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak meluluskan sumbangan sebanyak RM1 juta kepada 5,000 orang miskin tegar bagi membantu saraan hidup mereka menghadapi krisis kenaikan harga bahan bakar dan barang-barang keperluan lain.

"Pakatan Rakyat bersetuju memberikan bantuan kepada setiap keluarga daripada semua kaum yang benar-benar dikenal pasti miskin tegar oleh penghulu dan ketua kampung di tempat masing-masing iaitu 30 kilo beras, lima kilo gula, dua kilo minyak masak dan wang tunai sebanyak RM100.00,� kata Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dalam ucapan balas di majlis Taklimat Pembangunan Daerah, Bilek Gerakan Pejabat Daerah Dan Tanah disini sempena lawatan kerjanya sehari semalam.

Katanya, beliau mengaku bahawa nilai bantuan kilat sebanyak itu adalah terlalu kecil dibandingkan dengan penderitaan yang ditanggung oleh mereka.

Walau bagaimanapun buat sementara, beliau begitu berpuas hati kerana setakat itulah sahaja dapat disumbangkan kepada mereka yang memerlukan bantuan.

"Itulah yang termampu dibuat oleh Kerajaan Pakatan Rakyat buat sementara ini sebagai sumbangan kilat. Bantuan seterusnya bergantung kepada keadaan ekonomi serta kekuatan politik kerajaan ini. Jika rezki berlimpah ruah, Insya-Allah akan ditambah," ujarnya.

Sebelum itu beliau yang diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Dr Abdul Rahman Hashim dan Ahlii Exco Perak telah diberi Taklimat Pembangunan oleh Pegawai Daerah, Dato� Razali Jalal.

Seterusnya, Dato' Seri Mohammad Nizar mengimbaskan kembali kepada suatu peristewa di zaman BN memerentah Perak di mana seorang ibu tunggal miskin tegar yang menjaga seorang anak lelaki kurang upaya tegar hanya mendapat bantuan RM150.00 sekali dalam setahun iaitu dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pejabat Agama (Zakat) Daerah.

Untuk menampung pendapatanya ibu tua itu terpaksa menoreh getah orang sepanjang tahun.

Justeru, beliau berharap sunguh-sungguh serta meletakkan kepercayaan kepada pegawai-pegawai, penghulu dan ketua kampung yang baru dipilih rakyat supaya tidak mengabaikan tanggong jawab mereka membantu dan berusaha membasmikan kemiskinan tanpa pilih warna kerana mereka juga perlu makan untuk hidup. - mns

Read More...

Ahli Parlimen disyor hadiri kursus induksi

Utusan Online

KUALA LUMPUR 29 Mei - Seorang ahli Dewan Negara hari ini mencadangkan supaya Ahli Parlimen menghadiri kursus induksi berhubung tatacara dan tatasusila berikutan kelakuan mereka yang memalukan sejak bermulanya persidangan.

Senator Datuk Idris Buang berkata, kursus itu perlu merangkumi pelbagai aspek termasuk cara bercakap dan berpakaian supaya gelaran 'Yang Berhormat' bersesuaian dengan mereka.

''Ini kerana, jika kita lihat sebelum ini, tingkah laku Ahli Parlimen sangat memalukan. Anak-anak kecil kita tengok pun tidak eloklah.

''Kita berada dalam Parlimen tetapi tingkah laku kita tidak menunjukkan kualiti yang sepatutnya.

''Oleh demikian, diharapkan kementerian yang berkenaan dengan Parlimen akan menganjurkan kursus induksi supaya Ahli Parlimen akan lebih berhemah terutama ketika berbahas," katanya.

Idris berkata demikian ketika membahaskan titah ucapan diraja pada sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata, kursus itu sangat penting memandangkan Malaysia sebuah negara majmuk dan mempunyai pelbagai budaya serta bahasa.

''Tetapi tingkahlaku Ahli Parlimen yang ditunjukkan boleh menjejaskan imej negara," katanya.

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |