+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, May 4, 2008

RTM kekal siaran langsung Dewan

Berita Harian

Oleh Faiza Zainudin

KUALA LUMPUR: Kabinet semalam memutuskan supaya siaran langsung sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat selama 30 minit menerusi RTM1 diteruskan, tetapi ia hanya sebagai percubaan dan tertakluk kepada semakan semula.

Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata kementerian akan menilai secara menyeluruh kebaikan dan keburukan siaran langsung yang bermula jam 10 pagi setiap hari Parlimen bersidang itu sebelum keputusan muktamad mengenainya dibuat.

Kerajaan katanya, mungkin menghentikan siaran langsung itu jika kekecohan yang berlaku di Dewan Rakyat ketika persidangan Rabu lalu berulang kerana ia boleh menghilangkan keyakinan rakyat terhadap kemuliaan institusi Parlimen serta menjejaskan imej negara.


"Kabinet memutuskan untuk meneruskan siaran langsung itu dengan memberi tempoh percubaan kepada Ahli Parlimen menjaga tingkah laku mereka tetapi ia akan dihentikan jika insiden kekecohan itu berulang.


"Kabinet beranggapan terlalu awal untuk menghentikan siaran langsung itu hanya berdasarkan kekecohan yang ditimbulkan Ahli Parlimen khususnya pembangkang pada hari pertama persidangan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Pasca Kabinet di pejabatnya, di sini, semalam.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan kekecohan yang ditimbulkan Ahli Parlimen pembangkang pada hari pertama sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat yang disiarkan secara langsung menerusi RTM1, Rabu lalu sebagai memalukan.Berikutan itu, Abdullah bersetuju dengan cadangan Kementerian Penerangan supaya mesyuarat Kabinet semalam membuat keputusan menghentikan siaran langsung itu.

Ahmad Shabery, berkata Kabinet dalam mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam, kesal dengan tindakan Ahli Parlimen khususnya daripada pembangkang menimbulkan hal remeh temeh kerana ia menyebabkan imej Parlimen tercemar.

Beliau berkata, pihaknya akan memaklumkan kewajaran keputusan Kabinet itu kepada Perdana Menteri dan meminta Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang bekerjasama memastikan persidangan Dewan Rakyat dihormati serta lancar demi kepentingan rakyat.

"Saya mahu Ketua Whip BN pastikan ahlinya berhati-hati mengeluarkan perkataan ketika berhujah dan menyeru pemimpin pembangkang mengambil langkah sama mengawal tingkah laku ahlinya sebab dalam tempoh percubaan ini, kami akan perhatikan mereka.

"Parlimen bukan persatuan atau pertandingan debat yang ada hakim menentukan siapa juara. Kalau nak jadi Parlimen kelas pertama, Ahli Parlimen juga mestilah berkelakuan seperti golongan kelas pertama, bukan ketiga," katanya.

Ahmad Shabery yang meminta maaf atas apa berlaku Rabu lalu, berkata usaha kerajaan untuk bersikap telus, diambil kesempatan oleh pembangkang untuk bertanya perkara remeh sehingga mengabaikan kepentingan rakyat.

"Ini bahaya siaran langsung... mereka mengambil kesempatan untuk menonjolkan diri dan bila kamera dihentikan, mereka semua berkelakuan baik. Oleh itu, kita nak pembangkang buktikan dengan adanya tempoh percubaan ini, mereka boleh baiki tingkah laku," katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |