+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, May 4, 2008

Banyak Pengajaran Di Sebalik Isu Beras

Bernama

Oleh Melati Mohd Ariff


KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Apabila berlaku kenaikan harga beras di pasaran dunia, pastinya antara soalan yang mengasak minda kita ialah mengapa Malaysia tidak menjadi negara utama pengeksport beras dunia? Apa yang ada pada Thailand dan Vietnam yang tidak ada pada kita?

Jawapannya pelbagai, antaranya dasar yang ghairah mahu menjadikan Malaysia negara perindustrian sehingga menyebabkan sektor pertanian terabai.

Justeru apabila harga beras melonjak di pasaran dunia, fokus pucuk pimpinan kita mula beralih kepada melipatgandakan usaha meningkatkan pengeluaran padi negara.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani meletakkan sasaran meningkatkan pengeluaran padi negara, daripada 72 peratus kepada 80 hingga 90 peratus pada musim akan datang.

Langkah ini dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap beras import. Malaysia mengimport 30 peratus keperluan beras iaitu kira-kira 700,000 metrik tan setahun, sebahagian besarnya dari Thailand dan Vietnam.

SEMAKIN MAHAL

Beras adalah komoditi keselamatan strategik kerana ia barang makanan keperluan penting dan makanan asasi rakyat negara ini.

Apabila berlaku kenaikan harga beras dunia, pengguna negara ini sudah tentunya gusar kerana terpaksa berdepan satu lagi krisis.

Harga beras sejak kebelakangan ini sememangnya sudah meningkat.

"Sebelum ini satu kampit 5 kg beras yang saya beli harganya RM16.50, sekarang sudah RM18.50. Kalau 10 kg sudah jadi RM37.00, dulu RM35.00," demikian rungut suri rumah tangga yang hanya mahu dikenali sebagai Rahayu.

"Walau pun naik harga, terpaksa beli juga. Dulu saya beli beras yang murah tetapi mutunya kurang baik, jika masak pagi, petang sudah berbau," tambahnya.

Penjawat awam, Zulkifli Ibrahim pula memberitahu beras import dari Vietnam yang dibelinya di hipermarket turut melonjak tinggi. "Tiga bulan dulu saya beli kampit 10 kg dengan harga RM28.70 sekarang RM35.70," katanya.

Pengusaha kantin, Mazlina Ismail mengadu semakin susah untuk berniaga sekarang kerana harga beras dan barangan lain melambung tinggi.

"Paket beras 50kg yang biasanya dibeli dengan harga RM85, baru beli pagi RM112, petang RM115," keluhnya kepada penulis.

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA) yang turut memantau harga beras mengakui berlaku kenaikan di kawasan bandar di seluruh negara termasuk di Lembah Klang.

Manipulasi harga beras boleh dijangkakan memandangkan kerajaan tidak mempunyai kuasa mengawal harga beras import yang dijual di pasaran tempatan kerana ia di bawah kawalan negara pengeluar.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA, Muhammad Sha'ani Abdullah, pihaknya menerima rungutan kenaikan harga beras yang tidak dikawal kerajaan.

"Berdasarkan rungutan, FOMCA membuat pemantauan di seluruh negara. Memang terdapat kenaikan antara 10 hingga 20 peratus. Kenaikan ini bagi beras yang tidak dikawal kerajaan," tambahnya.

BERAS YANG DIKAWAL

Muhammad Sha'ani memberitahu, beras yang dikawal kerajaan iaitu di bawah Perintah Beras (Kawalan Gred dan Harga) 1992 ialah beras gred super tempatan yang mempunyai kandungan hancur 15 peratus.

"Harga jualannya ditetapkan antara RM1.65 hingga RM1.80 sekilogram berdasarkan zon-zon tertentu di Semenanjung Malaysia," kata Muhammad Shaani.

Persoalannya, kebanyakan beras yang dibungkus dan dijual di pasar raya dan kedai mengandungi beras hancur maksimumnya 10 peratus, yang 15 peratus sukar ditemui.

"Perkara itu memang benar, kandungan beras hancur 15 peratus ini mungkin dijual di kampung-kampung, terutamanya dibeli golongan berpendapatan rendah," Muhammad Sha'ani memberitahu Bernama.

Dalam masa yang sama beliau turut menerima aduan beberapa pemborong beras bumiputera mengenai masalah mendapatkan bekalan beras.

"Sebelum ini mereka mendapat bekalan beras daripada Bernas dan boleh menggunakan jenama sendiri. Sebahagian pemborong beras mempunyai kilang untuk membungkus beras sendiri. Ini menjimatkan kos pengeluaran mereka.

"Kini Bernas hanya membekalkan kepada anak-anak syarikatnya sahaja atau konsortium yang dianggotai pemborong-pemborong beras besar bukan anak syarikat Bernas. Konsortium ini mengenakan kuota tertentu kepada pemborong bebas," katanya.

Jelas beliau, Bernas juga membungkus beras super tempatan kandungan hancur 15 peratus dengan jenama yang sudah disediakan menyebabkan pemborong bebas tidak dapat menjual menggunakan jenama mereka sendiri.

PERLU USAHA BERHEMAT

Sewajarnya isu harga dan bekalannya perlu ditangani secara berhemat supaya Malaysia tidak terseret ke dalam kancah krisis makanan seperti yang melanda beberapa negara dunia termasuk Mesir, Haiti dan Cameroon.

Menurut laporan agensi asing dari Washington baru-baru ini, krisis makanan dunia semakin meruncing. Sekurang-kurangnya tiga negara pengeluar utama beras, iaitu Vietnam, Brazil dan India menguatkuasakan larangan eksport. Ini mengakibatkan harga komoditi itu melambung di pasaran dunia.

Harga beras di Thailand (pengeksport utama beras dunia) dilaporkan meningkat kepada kira-kira AS$1,000 (RM3,150) setan pada 24 April lepas, kenaikan kira-kira 70 peratus sepanjang tempoh empat bulan lepas.

Dalam dunia melalui krisis makanan paling serius pernah dialami sejak Perang Dunia kedua, kerajaan Malaysia mengumumkan peruntukan RM4 bilion untuk pelaksanaan Dasar Jaminan Makanan Negara.

Ia bertujuan memastikan bekalan makanan mencukupi pada bila-bila masa terutama ketika menghadapi krisis makanan dunia.

Kerajaan juga mahu negara bukan sekadar mengeluarkan beras cukup untuk kegunaan sendiri iaitu antara 65 dan 70 peratus tetapi juga memastikan keperluan beras mencukupi 100 peratus. Sarawak juga diumum sebagai jelapang padi yang baru.

FOMCA berpendapat kebergantungan kepada produk makanan yang diimport boleh memberi impak negatif kepada negara sekiranya berlaku keadaan seperti bencana atau peperangan.

"Bekalan makanan boleh terputus. Kerajaan perlu mempunyai kemahuan politik dan perancangan strategik dalam merangka Dasar Jaminan Makanan Negara agar ia menjadi perancangan jangka panjang yang benar-benar berkesan," kata Muhammad Sha'ani.

ANTARA LPN DAN BERNAS

Kesungguhan kerajaan Malaysia memastikan keperluan beras rakyat negara ini mencukupi dapat dilihat dengan penubuhan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) pada September 1971.

Tanggungjawab LPN kemudiannya digalas Padiberas Nasional Berhad (Bernas) apabila LPN diswastakan pada 1994 di bawah Dasar Penswastaan Negara.

Sewajarnya apabila harga dan bekalan beras heboh diperkatakan, fokus sudah tentunya kepada Bernas memandangkan ia mewarisi tanggungjawab LPN dalam pengurusan beras di negara ini.

Bernas juga diberi lesen tunggal untuk mengimport beras. Dalam hal ini sudah kedengaran suara mendesak kerajaan supaya tidak memperbaharui lesen tersebut yang akan tamat pada 2010.

Muhammad Sha'ani yang juga Setiausaha Agung FOMCA berkata Bernas mewarisi tanggungjawab LPN untuk memastikan bekalan beras mencukupi.

"Menjadi tanggungjawab Bernas untuk menyimpan dan menyelenggara satu bekalan padi dan beras yang cukup (Stok Simpanan Beras Negara) di samping memastikan harga beras berpatutan dan stabil," tambahnya.

Menurut beliau, sebagai pelesen tunggal mengimport beras, Bernas dilaporkan mewujudkan syarikat usahasama di negara-negara pengeksport beras.

Negara-negara yang membekalkan beras kepada Bernas ialah Thailand, Myanmar, Vietnam, India, Pakistan dan China.

"FOMCA difahamkan syarikat usahasama tersebut berperanan mengumpul data tentang kedudukan bekalan dan harga beras di negara-negara berkenaan. Syarikat usahasama itu akan membeli beras pada harga yang baik dan menyimpannya dalam gudang simpanan beras di negara tersebut.

"Apabila diperlukan, beras berkenaan akan dihantar ke Malaysia. Keadaan ini membolehkan Bernas mengawal kedudukan bekalan dan harga beras di negara-negara pengeluar beras utama," katanya.

Beliau berkata, data yang dibekalkan oleh syarikat usahasama Bernas membolehkan Bernas mengetahui lebih awal kedudukan pasaran beras dalam tempoh tertentu.

-- BERNAMA

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |