+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, May 4, 2008

Harga beras naik berbeza di pasar raya, kedai runcit sekitar KL

Mstar Online

03-05-2008 06:14:58 PM

KUALA LUMPUR: Harga semua jenis beras di beberapa pasar raya dan kedai runcit di sekitar ibu negara meningkat sejak dua minggu lepas dengan harga yang berbeza.

Kebanyakan peniaga yang ditemui mendakwa terpaksa menaikkan harga beras berikutan kenaikan harga di peringkat pengilang dan pemborong dengan alasan kenaikan harga beras di pasaran dunia.

Tinjauan mendapati harga beras gred Super Special tempatan 10 kilogram di beberapa pasar raya dijual antara RM24.58 dan RM28, dan dihadkan pembelian dua kampit untuk setiap pengguna, manakala di kedai runcit ia dijual antara RM26 dan RM29.

Bagi beras Siam Wangi 10 kilogram, ia dijual antara RM26 dan RM29 di pasar raya, manakala dijual sehingga RM36 di kebanyakan kedai runcit.

Tinjauan itu juga mendapati bekalan beras gred Super Special tempatan lima peratus hancur dan beras Siam Wangi ada di pasaran tetapi beras gred Super tempatan 15 peratus hancur yang harganya dikawal kerajaan pada paras antara RM1.65 dan RM1.75 sekilogram sukar ditemui.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Jamarulkhan Kader berkata beras gred Super Special tempatan 50 kilogram yang berharga RM80 sebelum ini meningkat sehingga RM120 seguni sejak dua minggu lepas.

Katanya kebanyakan restoran menggunakan beras itu yang lebih berkualiti selain penggunaan beras beriani Basmathi dan beras Siam.

"Semua harga beras naik. Bekalan beras setakat ini mencukupi. Cuma kini sukar untuk menemui beras 15 peratus hancur di pasaran. Tetapi sejak dulu kebanyakan restoran tidak menggunakan beras itu," katanya kepada.

Ditanya faktor kenaikan harga beras, Jamarulkhan berkata jika ada kenaikan harga di peringkat pengilang dan pemborong, peruncit juga terpaksa menaikkan harga berkenaan.

Beliau yang bimbang dengan keadaan itu menyarankan syarikat-syarikat lain diberi kebenaran mengimport beras selain Bernas yang menjadi pengimport beras tunggal negara.

Setiausaha Agung Persatuan Pengusaha Pasar Mini dan Kedai Runcit Muslim Malaysia, Kamal Musthaffa juga mendakwa setakat ini bekalan beras mencukupi, tetapi berlaku kenaikan harga antara 20 dan 30 peratus termasuk beras gred Super Special tempatan pelbagai jenama yang kini berharga antara RM26 dan RM28.

Pemborong beras di Keramat yang ingin dikenali sebagai Ahmad, 45, mendakwa dalam minggu ini harga beras naik beberapa kali di peringkat pengilang menyebabkan beliau terpaksa menaikkan harga beras di kedainya.

"Saya naikkan kira-kira RM6 bagi gred Super Special tempatan dan beras Siam Wangi. Dua minggu lepas beras Super Special tempatan untuk 10 kilogram berharga RM22.90 dan kini RM28.90. Beras Siam Wangi dulu RM29.90, sekarang RM35.90," katanya.

Ahmad yang sudah 20 tahun menjadi pemborong beras tidak mengehadkan pembelian beras kepada pengguna malah menawarkan diskaun untuk pembelian beras melebihi tiga kampit dengan setiap kampit seberat 10kg.

Ditanya sama ada akan berlaku lagi kenaikan harga beras di kedainya, beliau berkata segalanya bergantung kepada pengilang.

Sementara itu, peniaga kedai runcit di Setiawangsa, Nordin Mohamed, 25, berkata kebanyakan pengguna merungut dengan kenaikan harga beras, menyebabkan beliau tidak mengambil bekalan beras yang banyak.

"Harga beras Super Special tempatan untuk 10 kilogram berharga RM28.50 dan beras Siam Wangi RM36.Saya cuma ambil untung RM2.50 sahaja daripada pemborong," katanya. BERNAMA

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |