+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, May 4, 2008

YB! Parlimen bukan sarkas

Utusan Online

RATA-RATA rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan semasa, sudah mengetahui tentang insiden memalukan di Parlimen pada hari pertama sesi soal jawab Rabu lalu.

Bagi rakyat yang merasakan mereka telah menunjukkan kuasa mengubah landskap politik tanah air pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, apa yang berlaku melibatkan ahli-ahli Parlimen pilihan mereka - tentunya mengecewakan.

Jika dalam sidang Dewan Rakyat yang lepas-lepas, kelazimannya purata 10 hingga 15 soalan dapat dikemukakan semasa sesi soal jawab selama sejam, tetapi sesi yang sama pada Rabu lalu menyaksikan hanya tiga soalana sempat diutarakan dalam tempoh satu setengah jam.

Dalam pada itu, hanya satu soalan sempat menyelit dalam slot setengah jam siaran langsung di saluran televisyen RTM1 - yang dipenuhi dengan episod ejek-mengejek dan bantahan tentang perkara remeh-temeh.

Kenapa? Semuanya gara-gara Peraturan Mesyuarat demi Peraturan Mesyuarat yang dibangkitkan oleh ahli Parlimen terutama pembangkang, yang umumnya tidak pun mendatangkan sebarang manfaat kepada rakyat apatah lagi pengundi dari kawasan yang diwakili mereka.

Antara perkara yang dibangkitkan oleh pembangkang ialah:

Pertama, soal kedudukan soalan Ketua Pembangkang yang tidak diletakkan lebih awal daripada nombor 3.

Kedua, soal nisbah 10 soalan pertama yang dikatakan tidak mewakili komposisi anggota Dewan apabila tujuh daripadanya dikemukakan wakil Barisan Nasional (BN) menjadikan 7:3 sedangkan pembangkang mahukan komposisi 4:6. Alasan Ketua Whip pembangkang, Azmin Ali (PKR-Gombak), bilangan penyokong pembangkang seramai 82 orang mengatasi penyokong kerajaan (BN-BBC) yang tinggal 77 orang - iaitu baki 140 Ahli Parlimen BN setelah ditolak anggota jemaah menteri.

Ketiga, soal tidak mengangkat tangan kanan semasa upacara angkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat - isu yang dipanjangkan oleh anggota veteran pembangkang Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) selama tiga hari.

Keempat, soal bilangan perkataan dalam soalan yang melebihi 40 patah yang beria-ia 'ditegaskan' oleh Ahli Parlimen DAP Bandar Kuching, Chong Chien Jen kerana didakwanya tidak dipatuhi Ahli Parlimen BN Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin, dalam soalan nombor 2 beliau kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Kita berbangga dengan kejayaan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh) mencipta sejarah sebagai Ketua Pembangkang wanita pertama di negara ini atau mungkin rantau namun itu tidak pula mewajarkan untuk menuntut keistimewaan yang bukan-bukan.

Semasa Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) menjadi Ketua Pembangkang, tidak timbul pun soal susunan soalan. Apatah lagi pertikaian tentang kenapa soalan Presiden PKR itu tidak diletak lebih awal daripada nombor 3, tidak memberi manfaat pun kepada rakyat.

Azmin mempersoalkan kenapa soalan Razali Ibrahim (BN-Muar) yang digelarnya sebagai 'Ahli Parlimen junior' diletakkan di nombor 1 mendahului soalan Wan Azizah?

Dalam hal ini, Razali yang sudah dua penggal menjadi Ahli Parlimen mempunyai jawapannya: ''Yang penting bukan siapa yang bertanya, tetapi soalan apa yang ditanya." Beliau percaya soalannya kepada Perdana Menteri tentang ''pendekatan baru kerajaan untuk menambah baik kualiti kehidupan rakyat terutamanya dalam aspek peneguhan kuasa beli pengguna, keselamatan awam dan integrasi kaum'' lebih hendak didengar jawapannya oleh rakyat dan selayaknya didahulukan.

Bukan pula soalan Wan Azizah kepada Menteri Kewangan tentang tender terbuka tidak penting, tetapi seperti kata Pandikar Amin, pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat mempunyai hak untuk menyusun soalan mengikut keutamaan yang difikirkan wajar.

Dan secara logiknya tentulah isu yang bersabit dengan kebajikan dan kualiti hidup rakyat wajar didahulukan daripada soal tender dan projek.

RingkasAturcara sidang Parlimen cukup ringkas iaitu terbahagi kepada sesi soal jawab dan perbahasan. Mesyuarat Kabinet yang kebiasaannya diadakan setiap Rabu ditukar ke hari Jumaat bagi membolehkan kesemua menteri hadir pada sidang Parlimen terutama ketika sesi pagi untuk menjawab soalan.

Malangnya, kehadiran mereka tidak dapat dimanfaatkan apabila bukan bertanya soalan yang menjadi keutamaan sebaliknya perkara-perkara titik bengik yang dititikberatkan.

Jika bilangan soalan yang disoal dan dijawab boleh dijadikan ukuran, bagi Ahli Parlimen baru BN Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir: ''Kita gagal. Rakyat beri mandat untuk kita menjalankan tugas tetapi setengah hari pertama kita gagal melaksanakannya dengan baik."

Menurut beliau, slot 30 minit siaran langsung yang sepatutnya dimanfaatkan untuk menunjukkan komitmen Ahli-ahli Parlimen sebagai mewakili suara rakyat telah dibazirkan semata-mata untuk menonjol diri.

Kita terlepas soalan tentang pemantauan laman-laman blog, langkah pembaharuan selepas tsunami politik, peningkatan jenayah juvana, pengiktirafan pakar kesihatan awam, perubahan dasar pelancongan, usaha menaikkan imej Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan insentif pertanian untuk mengurangkan import makanan.

Ketua Whip pembangkang mempersoalkan nisbah dan keseimbangan soalan antara BNBBC dengan wakil di sebelahnya namun berapa banyak soalan disenaraikan pun tidak ada gunanya jika sesi soal jawab hari pertama menjadi ukurannya.Gangguan-gangguan yang dibangkitkan termasuk soal bilangan patah perkataan menunjukkan seolah-olah mereka yang bergelar Yang Berhormat (YB) itu tidak serius melihat Parlimen sebagai institusi percambahan idea dan pemikiran.

Paling dikesalkan apabila Ahli Parlimen senior seolah-olah menggunakan peruntukan Peraturan Mesyuarat sebagai 'taruhan' untuk mendapat laluan bercakap perkara-perkara yang tidak mendesak atau penting pun kepada rakyat.

Bagi Datuk Mohd. Shafie Apdal (BN-Semporna), isu tidak mengangkat tangan kanan membabitkan seorang dua ahli Parlimen tidak wajar dijadikan satu polemik yang berpanjangan selepas satu keputusan mengesahkan status kesemua anggota Dewan Rakyat dibuat oleh Yang Dipertuanya.

''Kalau mahu saya pun boleh bangkitkan bahawa mengangkat sumpah mesti di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, bukan di belakang atau di tepi. Tetapi kita tidak mahu jadi budak-budak," katanya.

Kedudukan Karpal yang berkerusi roda ialah di barisan paling belakang, hujung tepi sebelah kiri Yang Dipertua Dewan Rakyat. Semasa upacara angkat sumpah Isnin lalu, Pengerusi DAP itu terpaksa meminta izin mengangkat tangan sebelah kiri kerana tangan kanannya tidak lagi berupaya.

Justeru beberapa ahli Parlimen BN agak kecewa apabila Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu memanjangkan isu tidak angkat tangan kanan ketika upacara angkat sumpah.

Malah Pandikar Amin cukup kecewa kerana Karpal dan Kit Siang yang diharapkannya dapat menunjukkan teladan baik kepada ramai wakil rakyat pembangkang yang rata-ratanya baru menjejakkan kaki ke Dewan mulia itu, bertindak umpama ketam mengajar anak berjalan betul.

Kedua-dua 'otai' (old timer) itu pula yang menjuarai penggunaan bahasa yang tidak sesuai di Parlimen dengan Karpal mencurah minyak memanggil Bung Moktar 'bigfoot' manakala Kit Siang menggunakan perkataan Inggeris 'ridiculous' (tidak masuk akal) tanpa meminta izin Yang Dipertua.

Hasilnya, ahli-ahli Parlimen lain 'mencontohi' mereka berdua dengan menggunakan perkataan-perkataan kurang sopan malah ada yang berbahasa Inggeris lengkap dua tiga ayat walaupun tiada 'dengan izin' tanpa rasa bersalah.

Malah sewaktu sesi perbahasan, pada satu ketika berlaku perdebatan di antara Pengerusi BNBBC yang juga Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing juga dengan Ahli Parlimen Bandar Kuching menggunakan bahasa pasar 'lu' dan 'wa'.

Peraturan Mesyuarat dikelek dan dipetik sewenang-wenangnya tetapi Kod Etika Bagi Ahli Parlimen yang menggariskan tujuan, kewajipan dan tatalaku yang perlu diikuti mereka tidak pula difahami dan dipatuhi.

Ahli-ahli Parlimen di Malaysia seharusnya mencontohi sikap ahli Parlimen di Indonesia yang sentiasa menjaga ketertiban mereka ketika bersidang biarpun ia disiarkan secara langsung oleh beberapa buah stesen televisyen. Adalah jelas sepanjang persidangan berkenaan ahli-ahli Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR) dan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) sentiasa menjaga tingkah laku mereka.

Ini dilakukan kerana memahami bahawa telatah mereka sedang ditonton oleh berjuta rakyat Indonesia yang sememangnya dikenali sentiasa kritikal dalam memberi pendapat. Oleh itu biarpun membahaskan isu-isu yang dianggap panas termasuk ketika menuntut ucapan pertanggungjawaban Presiden sepertimana berlaku pada tahun 2000, ahli-ahli Parlimen Indonesia sentiasa berhati-hati dan menjaga susila ketika berhujah.

TeguranIni kerana mereka sedar, sebarang perilaku buruk yang ditonjolkan bukan sahaja boleh menjejaskan kredibiliti mereka di kalangan rakyat malah lebih daripada itu dunia luar. Justeru tidak hairanlah apabila jika ada ahli-ahli MPR dan DPR cuba bertindak apa yang dianggap 'luar ketertiban', ada ahli di kalangan partinya sendiri pun akan membuat teguran.

Sikap itu dengan jelas menunjukkan betapa ahli-ahli MPR dan DPR Indonesia benar-benar menyanjung tinggi peranan Parlimen di negara mereka dan tidak membenarkannya dicemari dengan sikap yang boleh menimbulkan tafsiran bukan-bukan di kalangan rakyat terhadap institusi itu.

Inilah pendirian yang seharusnya dimiliki oleh ahli Parlimen Malaysia. Mereka tidak harus menganggap Parlimen sebagai gelanggang untuk menonjol diri apa tah lagi mencari publisiti murahan. Parlimen adalah institusi yang harus dijaga kehormatannya dalam apa juga situasi dan bukan sewenang-wenang mengubah suasananya seperti sarkas atau sekolah tadika.

Mungkin ada di antara mereka tidak menyangka dipilih sebagai ahli Parlimen dan hanya bernasib baik bergelar YB berikutan tsunami politik yang melanda Pilihan Raya Umum Ke-12, tetapi mereka kini adalah ahli Parlimen dan sewajarnyalah mereka menjaga peribadi dan tingkah laku yang sepadan dengan gelaran itu.

Persoalan 'tidak sengaja terpilih' sudah tidak lagi menjadi isu. Sekarang mereka adalah ahli Parlimen yang telah mengangkat sumpah dan harus mematuhi sumpah berkenaan. Lebih daripada itu, cubalah fikirkan... setiap kali bersidang, wang rakyat akan mengalir ke poket mereka, justeru biarlah titik peluh rakyat itu berbaloi dan bukan sekadar melihat adegan memualkan.

Ahli-ahli Parlimen harus mengambil kesempatan daripada sesi soal jawab mahupun perbahasan untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka bukan 'secara tidak sengaja terpilih' tetapi memang berhak dipilih membawa suara rakyat ke dalam Parlimen.

Adalah sesuatu yang malang, jika selepas rakyat mengundi seseorang ahli Parlimen itu, apabila sampai di Parlimen, bukan masalah rakyat yang diketengahkan tetapi seolah-olah ingin 'menjadi ahli panel peraduan esei' apabila perkara yang menjadi keutamaan untuk dipersoalkan ialah kenapa sesetengah soalan melebihi 40 patah perkataan.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |