Utusan Online
KUALA LUMPUR 2 Mei - Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) mahu kerajaan menghentikan siaran langsung sidang Dewan Rakyat.
Pengerusinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, tindakan segelintir ahli Parlimen pembangkang yang menjerit-jerit pada sidang itu kelmarin sungguh tidak wajar.
Tambahnya, beliau kecewa dengan tingkah laku pembangkang kerana langsung tidak mencerminkan sebagai seorang wakil rakyat.
''Kelmarin segelintir mereka kerap bangun sambil memegang buku Peraturan Mesyuarat Parlimen selain suka menjerit-jerit. Ia hanya mengganggu persidangan sahaja.
''Kita sungguh kecewa dengan tindakan mereka ini semua. Kita merasakan lebih baik kerajaan menghentikan sahaja siaran langsung selama setengah jam itu,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Rabu lalu, Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, siaran langsung itu kemungkinan akan dikaji semula berikutan sesi soal jawab lisan pada hari pertama sidang Dewan Rakyat sering terganggu apabila beberapa ahli Parlimen sentiasa mempersoalkan peraturan mesyuarat.
King Sing berkata, beliau risau tindakan pembangkang itu akan membawa implikasi negatif di kalangan rakyat yang memandang tinggi institusi Parlimen.
''Dewan Rakyat adalah tempat membincangkan masalah rakyat bukan gelanggang untuk ahli Parlimen berkelakuan liar,'' katanya.
0 comments:
Post a Comment