Malaysiakini |
May 2, 08 6:20pm |
Sultan Perak Sultan Azlan Shah menitahkan menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin supaya menarik balik serta-merta arahan pertukaran pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) Datuk Jamry Sury yang dibuat Selasa lalu. Kerajaan negeri diminta mempersembahkan secara rasmi kepada Sultan sekiranya terdapat sebarang pelanggaran peraturan dan kesalahan oleh Jamry terhadap pentadbiran kerajaan negeri untuk baginda menitahkan proses undang-undang selanjutnya. Bahawa lantikan yang berbahagia Dato' Haji Jamry Sury dilakukan hanya selepas mendapat perkenan dari Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzwan. Bahawa urusan agama Islam serta badan dan agensi yang bertanggungjawab dengan agama Islam adalah di bawah kuasa langsung Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak. Oleh itu pada tafsiran Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, YAB menteri besar mempunyai tanggungjawab untuk menghadap dan berdatang sembah, memaklumkan kepada baginda Sultan dan juga kepada baginda Raja Muda, memohon mendapat perkenan sebelum mengambil sebarang tindakan berkaitan hal-ehwal agama Islam, badan dan agensi yang bertanggungjawab dengan agama Islam, merangkumi urusan lantikan, penempatan dan pemindahan pegawai dan kakitangan yang menguruskan hal-ehwal agama Islam, apatah lagi bagi penjawat jawatan penting dan jawatan utama. Baginda Raja Muda memperingatkan bahawa hubungan yang dapat menjalinkan persefahaman ini wajiblah dihormati pada setiap masa. Sebarang perbuatan dan tindakan yang dilakukan tanpa terlebih dahulu mendapat perkenan baginda Sultan dan baginda Raja Muda adalah dianggap telah membelakangkan kedudukan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan sebagai ketua agama Islam dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak selaku yang dipertua MAIAMP. Baginda berpendirian bahawa kestabilan sesuatu pentadbiran dan kerajaan adalah berlandaskan kepada prinsip yang berpegang kepada peraturan dan prosedur yang telah ditetapkan. Baginda Sultan amat mementingkan hubungan kerja harmoni dan baik berlaku di kalangan para pentadbir dengan pemimpin politik di negeri Perak demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat. Sebelum sesuatu keputusan atau hukuman dijatuhkan, proses dan prosedur yang memperlihatkan berlakunya keadilan hendaklah dipatuhi sepenuhnya terlebih dahulu. Prinsip keadilan sejagat (natural justice) perlu dihormati, oleh itu mana-mana pihak yang dikenakan sebarang tuduhan hendaklah diberikan hak untuk membela diri dan memberikan penerangan, supaya satu pertimbangan yang saksama lagi adil dapat dilakukan. Sekiranya terdapat sebarang perlanggaran peraturan dan kesalahan terhadap pentadbiran kerajaan negeri yang ada dilakukan oleh yang berbahagia Dato' Jamry Sury, maka Kerajaan diminta mempersembahkan perkara tersebut secara rasmi kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan untuk baginda menitahkan proses undang-undang selanjutnya disusuli sebelum dijatuhkan apa-apa keputusan secara muktamad. |
Sunday, May 4, 2008
Sultan titah tarik balik pertukaran Jamry
Posted by
Sang Pemantau
at
3:05 PM
Labels: malaysiakini, MB perak, Sultan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment