Sekitar Sidang Parlimen Ke-12 Bermula 30 April 2008
Ni apa punya MP ni....guna perkataan yang tak patut digunakan....
beradab la sikit....korang tu diperhatikan oleh seluruh rakyat Malaysia beb......
Parlimen Malaysia = Tolong Duduk , Tolong Diam
Sunday, May 4, 2008
Koleksi Video - Sekitar persidangan pertama parlimen 2008
1 comments Labels: koleksi video, parlimen
Banyak Pengajaran Di Sebalik Isu Beras
Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Apabila berlaku kenaikan harga beras di pasaran dunia, pastinya antara soalan yang mengasak minda kita ialah mengapa Malaysia tidak menjadi negara utama pengeksport beras dunia? Apa yang ada pada Thailand dan Vietnam yang tidak ada pada kita?
Jawapannya pelbagai, antaranya dasar yang ghairah mahu menjadikan Malaysia negara perindustrian sehingga menyebabkan sektor pertanian terabai.
Justeru apabila harga beras melonjak di pasaran dunia, fokus pucuk pimpinan kita mula beralih kepada melipatgandakan usaha meningkatkan pengeluaran padi negara.
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani meletakkan sasaran meningkatkan pengeluaran padi negara, daripada 72 peratus kepada 80 hingga 90 peratus pada musim akan datang.
Langkah ini dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap beras import. Malaysia mengimport 30 peratus keperluan beras iaitu kira-kira 700,000 metrik tan setahun, sebahagian besarnya dari Thailand dan Vietnam.
SEMAKIN MAHAL
Beras adalah komoditi keselamatan strategik kerana ia barang makanan keperluan penting dan makanan asasi rakyat negara ini.
Apabila berlaku kenaikan harga beras dunia, pengguna negara ini sudah tentunya gusar kerana terpaksa berdepan satu lagi krisis.
Harga beras sejak kebelakangan ini sememangnya sudah meningkat.
"Sebelum ini satu kampit 5 kg beras yang saya beli harganya RM16.50, sekarang sudah RM18.50. Kalau 10 kg sudah jadi RM37.00, dulu RM35.00," demikian rungut suri rumah tangga yang hanya mahu dikenali sebagai Rahayu.
"Walau pun naik harga, terpaksa beli juga. Dulu saya beli beras yang murah tetapi mutunya kurang baik, jika masak pagi, petang sudah berbau," tambahnya.
Penjawat awam, Zulkifli Ibrahim pula memberitahu beras import dari Vietnam yang dibelinya di hipermarket turut melonjak tinggi. "Tiga bulan dulu saya beli kampit 10 kg dengan harga RM28.70 sekarang RM35.70," katanya.
Pengusaha kantin, Mazlina Ismail mengadu semakin susah untuk berniaga sekarang kerana harga beras dan barangan lain melambung tinggi.
"Paket beras 50kg yang biasanya dibeli dengan harga RM85, baru beli pagi RM112, petang RM115," keluhnya kepada penulis.
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA) yang turut memantau harga beras mengakui berlaku kenaikan di kawasan bandar di seluruh negara termasuk di Lembah Klang.
Manipulasi harga beras boleh dijangkakan memandangkan kerajaan tidak mempunyai kuasa mengawal harga beras import yang dijual di pasaran tempatan kerana ia di bawah kawalan negara pengeluar.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA, Muhammad Sha'ani Abdullah, pihaknya menerima rungutan kenaikan harga beras yang tidak dikawal kerajaan.
"Berdasarkan rungutan, FOMCA membuat pemantauan di seluruh negara. Memang terdapat kenaikan antara 10 hingga 20 peratus. Kenaikan ini bagi beras yang tidak dikawal kerajaan," tambahnya.
BERAS YANG DIKAWAL
Muhammad Sha'ani memberitahu, beras yang dikawal kerajaan iaitu di bawah Perintah Beras (Kawalan Gred dan Harga) 1992 ialah beras gred super tempatan yang mempunyai kandungan hancur 15 peratus.
"Harga jualannya ditetapkan antara RM1.65 hingga RM1.80 sekilogram berdasarkan zon-zon tertentu di Semenanjung Malaysia," kata Muhammad Shaani.
Persoalannya, kebanyakan beras yang dibungkus dan dijual di pasar raya dan kedai mengandungi beras hancur maksimumnya 10 peratus, yang 15 peratus sukar ditemui.
"Perkara itu memang benar, kandungan beras hancur 15 peratus ini mungkin dijual di kampung-kampung, terutamanya dibeli golongan berpendapatan rendah," Muhammad Sha'ani memberitahu Bernama.
Dalam masa yang sama beliau turut menerima aduan beberapa pemborong beras bumiputera mengenai masalah mendapatkan bekalan beras.
"Sebelum ini mereka mendapat bekalan beras daripada Bernas dan boleh menggunakan jenama sendiri. Sebahagian pemborong beras mempunyai kilang untuk membungkus beras sendiri. Ini menjimatkan kos pengeluaran mereka.
"Kini Bernas hanya membekalkan kepada anak-anak syarikatnya sahaja atau konsortium yang dianggotai pemborong-pemborong beras besar bukan anak syarikat Bernas. Konsortium ini mengenakan kuota tertentu kepada pemborong bebas," katanya.
Jelas beliau, Bernas juga membungkus beras super tempatan kandungan hancur 15 peratus dengan jenama yang sudah disediakan menyebabkan pemborong bebas tidak dapat menjual menggunakan jenama mereka sendiri.
PERLU USAHA BERHEMAT
Sewajarnya isu harga dan bekalannya perlu ditangani secara berhemat supaya Malaysia tidak terseret ke dalam kancah krisis makanan seperti yang melanda beberapa negara dunia termasuk Mesir, Haiti dan Cameroon.
Menurut laporan agensi asing dari Washington baru-baru ini, krisis makanan dunia semakin meruncing. Sekurang-kurangnya tiga negara pengeluar utama beras, iaitu Vietnam, Brazil dan India menguatkuasakan larangan eksport. Ini mengakibatkan harga komoditi itu melambung di pasaran dunia.
Harga beras di Thailand (pengeksport utama beras dunia) dilaporkan meningkat kepada kira-kira AS$1,000 (RM3,150) setan pada 24 April lepas, kenaikan kira-kira 70 peratus sepanjang tempoh empat bulan lepas.
Dalam dunia melalui krisis makanan paling serius pernah dialami sejak Perang Dunia kedua, kerajaan Malaysia mengumumkan peruntukan RM4 bilion untuk pelaksanaan Dasar Jaminan Makanan Negara.
Ia bertujuan memastikan bekalan makanan mencukupi pada bila-bila masa terutama ketika menghadapi krisis makanan dunia.
Kerajaan juga mahu negara bukan sekadar mengeluarkan beras cukup untuk kegunaan sendiri iaitu antara 65 dan 70 peratus tetapi juga memastikan keperluan beras mencukupi 100 peratus. Sarawak juga diumum sebagai jelapang padi yang baru.
FOMCA berpendapat kebergantungan kepada produk makanan yang diimport boleh memberi impak negatif kepada negara sekiranya berlaku keadaan seperti bencana atau peperangan.
"Bekalan makanan boleh terputus. Kerajaan perlu mempunyai kemahuan politik dan perancangan strategik dalam merangka Dasar Jaminan Makanan Negara agar ia menjadi perancangan jangka panjang yang benar-benar berkesan," kata Muhammad Sha'ani.
ANTARA LPN DAN BERNAS
Kesungguhan kerajaan Malaysia memastikan keperluan beras rakyat negara ini mencukupi dapat dilihat dengan penubuhan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) pada September 1971.
Tanggungjawab LPN kemudiannya digalas Padiberas Nasional Berhad (Bernas) apabila LPN diswastakan pada 1994 di bawah Dasar Penswastaan Negara.
Sewajarnya apabila harga dan bekalan beras heboh diperkatakan, fokus sudah tentunya kepada Bernas memandangkan ia mewarisi tanggungjawab LPN dalam pengurusan beras di negara ini.
Bernas juga diberi lesen tunggal untuk mengimport beras. Dalam hal ini sudah kedengaran suara mendesak kerajaan supaya tidak memperbaharui lesen tersebut yang akan tamat pada 2010.
Muhammad Sha'ani yang juga Setiausaha Agung FOMCA berkata Bernas mewarisi tanggungjawab LPN untuk memastikan bekalan beras mencukupi.
"Menjadi tanggungjawab Bernas untuk menyimpan dan menyelenggara satu bekalan padi dan beras yang cukup (Stok Simpanan Beras Negara) di samping memastikan harga beras berpatutan dan stabil," tambahnya.
Menurut beliau, sebagai pelesen tunggal mengimport beras, Bernas dilaporkan mewujudkan syarikat usahasama di negara-negara pengeksport beras.
Negara-negara yang membekalkan beras kepada Bernas ialah Thailand, Myanmar, Vietnam, India, Pakistan dan China.
"FOMCA difahamkan syarikat usahasama tersebut berperanan mengumpul data tentang kedudukan bekalan dan harga beras di negara-negara berkenaan. Syarikat usahasama itu akan membeli beras pada harga yang baik dan menyimpannya dalam gudang simpanan beras di negara tersebut.
"Apabila diperlukan, beras berkenaan akan dihantar ke Malaysia. Keadaan ini membolehkan Bernas mengawal kedudukan bekalan dan harga beras di negara-negara pengeluar beras utama," katanya.
Beliau berkata, data yang dibekalkan oleh syarikat usahasama Bernas membolehkan Bernas mengetahui lebih awal kedudukan pasaran beras dalam tempoh tertentu.
-- BERNAMA
0 comments Labels: barang naik, bernama
"Kami setuju permuafakatan Melayu" Umno, PAS, PKR
| KLpos | | |
0 comments Labels: klpos, melayu kita
Isu JAIP: Istana bertindak adil, bijaksana
IPOH 3 Mei - Para pemimpin politik dan orang ramai menyifatkan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah telah bertindak adil dan bijaksana bagi merungkai kemelut pertukaran serta-merta yang diarahkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin terhadap Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, baginda tidak akan membuat keputusan dengan sewenang-wenangnya mengenai perkara yang akan dititahkan.
''Saya menjunjung kasih atas titah Sultan Perak yang bertindak dengan adil lagi bijaksana bagi merungkai kemelut keangkuhan kuasa Menteri Besar Perak. Sewajarnya Menteri Besar sedar dengan prinsip keadilan yang kononnya beliau perjuangkan.
''Oleh itu, saya harap tidak ada mana-mana pihak yang cuba memanipulasi titah Tuanku melalui sebarang bentuk siaran yang boleh mencemar ketinggian martabat Sultan Perak," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dalam laporan akhbar hari ini yang menitahkan pertukaran serta-merta yang diarahkan oleh Menteri Besar Perak terhadap Pengarah JAIP ditarik balik.
Istana Perak menyifatkan perbuatan Mohammad Nizar menukar Jamry Selasa lalu telah membelakangkan kedudukan Sultan Perak sebagai ketua agama Islam dan Raja Muda Perak selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIAMP).
Zambry berkata, Mohammad Nizar sebagai seorang yang berkedudukan tinggi sewajarnya bertindak secara matang dan bukannya mengikut emosi dalam membuat keputusan.
''Apa bentuk keadilan yang diperjuangkan apabila seorang pegawai kerajaan diperlakukan sebegitu, sehingga tidak diberi ruang untuk bersuara dan mempertahankan diri.
''Menteri Besar seharusnya bertindak dengan ilmu dan bukannya emosi melampau. Tentunya anggota kerajaan amat terguris dengan peristiwa ini," ujarnya.
Ketua Pemuda UMNO Perak, Zainol Fadzi Paharudin pula menyifatkan, campur tangan Sultan Perak sebagai ketua agama Islam negeri sangat penting bagi menyelamatkan institusi agama dan meredakan kegelisahan rakyat.
Menurut beliau, Menteri Besar Perak sekarang perlu melihat rekod Barisan Nasional (BN) yang sentiasa meletakkan kepentingan rakyat dan hubungan yang baik dengan Istana berdasarkan peraturan perjawatan dan undang-undang tadbir agama negeri.
''Tidak pernah berlaku tindakan sedemikian semasa BN memerintah, jelas mereka rakus dan ingin menunjukkan kuasa serta nawaitu sebenar sehingga lupa dan sanggup membelakangi Sultan Perak.
''Ini satu pengajaran kepada mana-mana Menteri Besar supaya jangan gelojoh dalam membuat keputusan," katanya.
Dalam pada itu, seorang pengamal undang-undang, Saiful Adli Mohd. Arshad berkata, semua masalah tidak timbul sekiranya Menteri Besar menggunakan pendekatan yang betul.
''Saya tidak tahu mengapa Menteri Besar Perak membuat tindakan sebegitu, sama ada beliau tidak tahu atau tidak menghormati peraturan.
''Sepatutnya Menteri Besar memohon restu sultan untuk membuat sebarang perubahan kerana jabatan agama Islam tertakluk di bawah kuasa sultan. Walaupun, pertukaran Pengarah JAIP sudah ditarik balik, kita tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku," katanya.
0 comments Labels: MB perak, Sultan, utusan
Sultan titah tarik balik pertukaran Jamry
| Malaysiakini |
| May 2, 08 6:20pm |
| Sultan Perak Sultan Azlan Shah menitahkan menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin supaya menarik balik serta-merta arahan pertukaran pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) Datuk Jamry Sury yang dibuat Selasa lalu.
Bahawa lantikan yang berbahagia Dato' Haji Jamry Sury dilakukan hanya selepas mendapat perkenan dari Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzwan. Bahawa urusan agama Islam serta badan dan agensi yang bertanggungjawab dengan agama Islam adalah di bawah kuasa langsung Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak. Oleh itu pada tafsiran Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, YAB menteri besar mempunyai tanggungjawab untuk menghadap dan berdatang sembah, memaklumkan kepada baginda Sultan dan juga kepada baginda Raja Muda, memohon mendapat perkenan sebelum mengambil sebarang tindakan berkaitan hal-ehwal agama Islam, badan dan agensi yang bertanggungjawab dengan agama Islam, merangkumi urusan lantikan, penempatan dan pemindahan pegawai dan kakitangan yang menguruskan hal-ehwal agama Islam, apatah lagi bagi penjawat jawatan penting dan jawatan utama. Baginda Raja Muda memperingatkan bahawa hubungan yang dapat menjalinkan persefahaman ini wajiblah dihormati pada setiap masa. Sebarang perbuatan dan tindakan yang dilakukan tanpa terlebih dahulu mendapat perkenan baginda Sultan dan baginda Raja Muda adalah dianggap telah membelakangkan kedudukan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan sebagai ketua agama Islam dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak selaku yang dipertua MAIAMP. Baginda berpendirian bahawa kestabilan sesuatu pentadbiran dan kerajaan adalah berlandaskan kepada prinsip yang berpegang kepada peraturan dan prosedur yang telah ditetapkan. Baginda Sultan amat mementingkan hubungan kerja harmoni dan baik berlaku di kalangan para pentadbir dengan pemimpin politik di negeri Perak demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat. Sebelum sesuatu keputusan atau hukuman dijatuhkan, proses dan prosedur yang memperlihatkan berlakunya keadilan hendaklah dipatuhi sepenuhnya terlebih dahulu. Prinsip keadilan sejagat (natural justice) perlu dihormati, oleh itu mana-mana pihak yang dikenakan sebarang tuduhan hendaklah diberikan hak untuk membela diri dan memberikan penerangan, supaya satu pertimbangan yang saksama lagi adil dapat dilakukan. Sekiranya terdapat sebarang perlanggaran peraturan dan kesalahan terhadap pentadbiran kerajaan negeri yang ada dilakukan oleh yang berbahagia Dato' Jamry Sury, maka Kerajaan diminta mempersembahkan perkara tersebut secara rasmi kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan untuk baginda menitahkan proses undang-undang selanjutnya disusuli sebelum dijatuhkan apa-apa keputusan secara muktamad. |
0 comments Labels: malaysiakini, MB perak, Sultan
Hanya Islam yang dapat angkat martabat Melayu - Presiden PAS
| Harakahdaily Wan Nordin Wan Yaacob Sun | May 04, 08 | 12:13:22 pm MYT | |
|
"Hanya apabila orang-orang Melayu kembali dan berpegang teguh kepada Islam, maka ketika itu barulah bangsa ini dapat memperolehi keselamatan di dunia dan juga di akhirat. "Sebarang usaha samada sengaja ataupun tidak untuk meninggal atau meminggirkan Islam akan mengakibatkan bangsa ini tidak selamat di dunia, apalagi di akhirat," katanya dalam satu kenyataan rasmi parti hari ini. Masalah umat Melayu selama ini berpunca dari tindakan mereka meninggalkan kewajiban meletakkan Islam dilandas yang sebenar, katanya. Malah kedudukkan Islam sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan pun tidak dihargai, ujarnya. PAS merasakan masalah umat Melayu berpunca dari sikap Umno yang telah meneruskan pembelengguan terhadap Islam yang diamalakan oleh penjajah British. "Umno menerima kuasa dengan menambahkan lagi ikatan-ikatan yang sebenarnya telah menyekat taraf dan kedudukan Islam dan mengelirukan bangsa Melayu. "Tindakan ini telah merosakkan pemikiran orang Melayu sehingga menjadikan mereka seolah bertuhankan Umno. Malah orang Melayu sehingga beranggapan yang Umno lah segala-galanya, yang memberikan rezeki dan memajukan mereka," tegasnya. Umno lah yang sesungguhnya telah menghakis beberapa ciri-ciri tamaddun Islam yang sedia terbentuk dalam masyarakat Melayu sebelum ini, katanya. "Di antaranya ciri ilmu, dimana Umno lah yang bertanggungjawab menghapuskan penggunaan dan penagajaran tulisan Jawi di sekolah-sekolah, mengawal pengajian agama di masjid-masijd termasuklah khutbah-khutbah Jumaat, semata-mata untuk kepentingan politik mereka yang telah mengakibatkan kefahaman agama orang Meayu semakin longgar dan lemah," katanya. Bagi PAS sekiranya agenda pemuafakatan dan penyatuan umat Melayu mahu dilangsungkan, maka ianya mestilah mengambil kira dan menceduk dari model yang telah dibentuk dengan jayanya oleh junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. Ujarnya, Rasulullah s.a.w telah berjaya menyatukan kabilah-kabliah Arab di zamannya dengan Islam dan bukannya melalui nasionalisam atau semangat kebangsaan Arab. PAS percaya orang Melayu akan dapat diangkat martabat mereka kiranya mereka serius menjadikan Islam sebagai pegangan, dasar dan matlamat hidup, katanya. |
0 comments Labels: Harakahdaily, PAS, TGHA
Hapuskan undang-undang kawal media
| Malaysiakini |
| Soon Li Tsin | May 3, 08 7:11pm |
| Media di Malaysia hanya akan bebas selepas undang-undang yang mengawalnya dimansuhkan. Inilah mesej dari kempen Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) setiap tahun ketika menyambut Hari Kebebasan Akhbar Sedunia pada tanggal 3 Mei. Pameran tersebut menampilkan sebuah dinding kosong untuk diisi oleh orang ramai. Pengarah eksekutif CIJ, V Gayathry berkata dinding itu disediakan untuk membolehkan orang ramai menulis harapan mereka terhadap kebebasan media. “Lagi pun, tujuan media bebas adalah untuk kepentingan awam dan cara yang terbaik ialah untuk mengetahui apakah yang mereka harapkan dari media," katanya kepada Malaysiakini. Arahan kementerian Pameran itu juga memapar akhbar-akhbar arus perdana yang digantung di tali jemuran dengan penyepit baju. Tertulis di situ ialah inisiatif pemantauan CIJ yang mengira berapa banyak berita yang pro-Barisan Nasional sewaktu kempen pilihanraya umum ke-12 yang lalu. Di samping pameran tersebut, kelihatan para sukarelawan menjual buku dan penerbitan yang lain. Turut diadakan ialah pelbagai forum yang diatur sewaktu sambutan dua hari itu, termasuk forum mengenai etika media dan pembaharuan undang-undang maklumat. Lebih seratus orang memenuhi bilik pameran ketika forum mengenai etika media diadakan. Katanya, ketika perarakan itu sedang berjalan, pihaknya diminta oleh Kementerian Dalam Negeri supaya jangan memperbesar-besarkan berita tersebut dan hanya menyiarkan satu gambar dan 10 perenggan berita. Bagaimanapun, katanya, apabila mereka berbuat demikian ketika perhimpunan anjuran Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) yang diadakan sejurus selepas perhimpunan Bersih tersebut, akhbarnya ditegur oleh kementerian tersebut kerana tidak memperbesar-besarkan berita tersebut. Zainon berkata, ini menunjukkan bahawa kementerian tersebut sendiri tidak faham mengenai perjalanan media. Menurutnya, adalah sukar untuk mempunyai satu etika media apabila undang-undang dan pemilikan media mereka, sendiri tidak beretika. “Kami menerima arahan sewaktu pilihanraya bahawa jika pembangkang bercakap mengenai perkara yang baik, jangan dilaporkan, tetapi jika mereka bercakap mengenai perkara kontroversi, maka kita boleh melaporkannya," katanya. Menurut beliau, sebahagian besar akhbar dimiliki parti-parti yang memerintah dan arahannya ialah akhbar berkenaan perlu melaporkan yang baik-baik tentang BN. “Anda tidak boleh mengatakan kami tidak beretika kerana arahan-arahan yang diberikan kepada kami juga tidak beretika," tegasnya. Bagaimanapun, katanya, pihak media perlu menghormati hak rakyat untuk mendengar kebenaran dan ada undang-undang berhubung pemilikan media. Sambutan menggalakkan Turut hadir ialah bekas wartawan the Sun, Jacqueline Ann Surin yang melancarkan bukunya, ‘Shape of a Pocket’ yang memuatkan kolumnya di bawah namanya sama. Gayathry yang mempengerusikan forum tersebut gembira dengan sambutan para hadirin dan berharap suatu hari nanti undang-undang yang mengawal media, akhir akan dimansuhkan juga. Aktiviti dan pameran tersebut bersambung esok di empat yang sama. |
0 comments Labels: malaysiakini, media bebas
Hapus illusi pembangkang - Shabery Cheek
Utusan Online
| |
| Datuk Ahmad Shabery Cheek, Menteri Penerangan |
MUKADDIMAH
Siaran langsung sidang Parlimen merupakan ‘buah tangan’ pertama Menteri Penerangan yang baru, Datuk Ahmad Shabery Cheek.
Ternyata seperti diduga ia mencetuskan kontroversi dan perdebatan hangat apabila ahli-ahli Parlimen dikatakan mengambil kesempatan melalui siaran langsung berkenaan untuk menonjolkan diri sehingga mengubah ‘wajah’ Parlimen seperti mana kata Ahmad Shabery seperti ‘sarkas’.
Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, HASSAN MOHD NOOR dan ZULKIFLEE BAKAR, beliau yang juga Ahli Parlimen Kemaman menegaskan kerajaan tetap akan meneruskan siaran langsung berkenaan sebagai sesi percubaan.
Walaupun menganggap langkah itu mampu memberikan kebaikan kepada kerajaan tetapi dalam masa yang sama, beliau juga bimbang jika ahli Parlimen tidak berubah sikap, ia boleh menghakiskan kepercayaan rakyat kepada institusi itu.
‘‘Jangan sampai kita menjadi seperti di Korea dan Taiwan, apabila orang sudah tidak peduli lagi kepada ahli politik dan Parlimen,’’ kata beliau.
Selain sidang Parlimen, dalam pertemuan berkenaan, Ahmad Shabery juga menjelaskan mengenai dakwaan bahawa RTM hanya menjadi ejen propaganda kerajaan serta peluang pembangkang untuk muncul di radio dan televisyen. Turut disentuh pandangan beliau mengenai bloggers.
Bagi beliau, langkahnya menjalin hubungan dengan bloggers bukan bertujuan untuk mempengaruhi mereka tetapi menerangkan dasar kerajaan. Beliau juga yakin tidak kira apa pun media berkenaan, ia akhirnya akan berkait rapat dengan soal kredibiliti terhadap apa yang disiarkan.
MINGGUAN: Apa cabaran yang Datuk fikirkan apabila berpindah dari Kementerian Luar ke Kementerian Penerangan?
AHMAD SHABERY: Di Kementerian Luar, saya menganggap ia sebagai institusi pengajian kerana di situ, saya belajar banyak perkara untuk difahami bukan sahaja dari segi hubungan antarabangsa, tetapi juga ekonomi, politik, pertahanan dan diplomasi. Banyak bersifat kertas kerja, membaca dan berbincang tetapi di sini lebih dari segi pelaksanaan.
Sebagai menteri, saya harus bertanggungjawab bukan sahaja kepada kementerian tetapi melaksanakan harapan memulihkan keyakinan rakyat kepada kerajaan yang pudar berikutan keputusan pilihan raya umum lalu.
Oleh itu untuk menyakinkan kembali rakyat adalah satu tanggungjawab yang besar. Sebab itu saya berasa ia cabaran amat berat.
Datuk pernah berada di barisan pembangkang dan kini dalam kerajaan, sudah pasti Datuk dapat melihat kelemahan kerajaan dalam dua versi?
AHMAD SHABERY: Saya juga dapat melihat kelemahan pembangkang kenapa mereka terus membangkang. Hakikatnya, kerajaan tidak lemah dan saya berpendapat kerajaan yang ada sekarang masih yang terbaik, cumanya dalam pilihan raya lalu berlaku beberapa fenomena baru dalam negara kita.
Fenomena yang berlaku ini bukan sahaja di Malaysia malah di tempat lain. Saya selalu menyatakan, di negara-negara ASEAN jika berlaku pergolakan atau krisis sehingga menimbulkan kemarahan dan tidak kepercayaan rakyat di bandar-bandar besar maka ia boleh mengakibatkan sesebuah kerajaan itu runtuh.
Kalau kemarahan itu hanya berkisar di kawasan utara atau selatan, kesannya lain tetapi kalau orang bandar marah ia akan menyebabkan berlakunya kejatuhan kepada sesebuah kerajaan.
Ini menunjukkan betapa kuatnya pengaruh orang bandar kepada seluruh sistem politik negara.
Pada tahun 1999, di Malaysia begitulah situasinya, orang bandar iaitu mereka yang tinggal di Lembah Klang marah sehingga tercetus rusuhan tetapi di kawasan kampung suasana tenang.
Tetapi kemarahan yang berlaku di bandar ini mereka salur ke kampung. Apabila balik mengundi mereka merayu ibu bapa supaya tidak mengundi kerajaan.
Ini yang menukar seluruh karakter pengundi pada tahun 1999 sehingga menyebabkan BN mencatatkan keputusan yang teruk di Terengganu, Kelantan dan Kedah. Pada tahun 1999, yang menyelamatkan BN ialah pengundi Cina. Orang Melayu di bandar cukup marah.
Tetapi kali ini kemarahan rakyat melibatkan semua kaum di bandar. Dulu orang Cina tidak marah kerana bagi mereka pertukaran kerajaan hanya akan merugikan mereka. Kali ini keadaan lebih buruk apabila pengundi Melayu di bandar ‘lari’ dan dicampur pula dengan pengundi Cina. Ini senario yang berbeza tetapi orang Melayu di kampung tidak ada masalah. Di Parlimen Kemaman, saya menang hampir 13,000 undi, walaupun tsunami politik terjadi di seluruh negara.
Hakikatnya, orang kampung termasuk di kawasan Felda suka kepada kerajaan berikutan pelbagai bantuan yang diberikan.
Ketika ini pembangkang memainkan isu bahawa kerajaan BN lemah memandangkan tidak cukup majoriti dua pertiga di Parlimen, bagaimana Kementerian Penerangan hendak menangkis propaganda mereka itu?
AHMAD SHABERY: Saya bersetuju dengan pandangan bahawa dahulu orang kata kerajaan yang melakukan propaganda. Sekarang ini, pembangkang yang bersifat propaganda. Sebenarnya, dulu kita wujudkan terlalu banyak illusi bahawa pembangkang pandai. Mereka bijak, kalau bercakap ia berdasarkan kepada penyelidikan dan statistik.
Kalau tanya saya apa peranan Kementerian Penerangan dalam soal ini, saya mahu membuang illusi ini.
Sebab itu saya berpendapat, sidang Parlimen perlu disiarkan secara langsung dan sekarang orang tengok, apa illusinya? Kerajaan (menteri-menteri/timbalan menteri) datang hendak jawab, mereka tidak tanya soalan. Hari pertama pembangkang gagal, rakyat marah.
Jika keadaan ini berterusan orang tidak akan percaya kepada sistem Parlimen kerana rakyat dihidangkan dengan adegan ahli Parlimen bergaduh. Sebab itu pada mulanya, saya fikir tidak payah disiarkan secara langsung tetapi permintaan orang ramai akhirnya turut dijadikan alasan untuk Kabinet membuat keputusan ia harus diteruskan.
Kalau disiarkan secara langsung keseluruhannya, saya percaya ia akan mendatangkan kebaikan kerana ia akan membunuh illusi yang selama ini orang menganggap pembangkang ini terlalu hebat.
Apakah tindakan kerajaan mengadakan siaran langsung sidang Parlimen itu sudah dikaji sebelum ini memandangkan pembangkang akan kekal dengan sikap mereka?
AHMAD SHABERY: Kerajaan merasakan bahawa tidak ada benda yang tidak betul dilakukan, kita cukup yakin sistem negara kita bukanlah jahat sangat. Kalau tidak terbaik di dunia, kita tidaklah teruk. Sebab itulah apabila berlaku krisis dalam negara, kita dapat mengatasinya. Ini kerana kita mempunyai sistem yang baik. Pada tahun 1997, contohnya, kita ada krisis kewangan tetapi kita dapat pulih cepat kerana kita ada sistem bank yang baik.
Kita ada sistem kerajaan yang mengambil kira semua perkara dan ada kaedah-kaedah untuk membelanja duit rakyat. Sudah tentulah orang tidak tahu perkara ini. Ia termasuklah mereka melihat orang miskin masih banyak dan bertanya apa yang kerajaan buat? Mereka tidak sedar bahawa kerajaan mengatasinya melalui sumber yang terhad.
Jadi sekarang kita pergi kepada rakyat, mereka boleh bertanya. Kita mulakan dengan Parlimen, bagi kita Parlimenlah yang terbaik untuk orang bertanya. Mereka tanya kita akan jawab. Kalau jawapan soalan pertama tidak puas hati, tanya soalan kedua.
Kalau ikutkan, saya mahu sidang Parlimen disiarkan secara langsung sepenuh masa. Saya percaya kalau kita berbuat demikian, sudah pasti orang akan lebih yakin dengan kerajaan yang ada. Dengan syarat, ketika sesi soal jawab, ahli Parlimen betul-betul bertanya soalan dan pihak kerajaan menjawabnya.
Tetapi apa yang berlaku baru-baru ini, setengah jam yang pertama, bila ada kamera, mereka tidak tanya soalan sedangkan, Kabinet terpaksa mengubah masa bermesyuarat dari Rabu ke Jumaat kerana hendak datang ke Parlimen untuk menjawab.
Mereka timbulkan isu lain yang remeh-temeh. Mereka tidak berminat dengan soalan. Akhirnya, orang tidak akan peduli kepada pembangkang kerana ternyata illusi yang menyatakan mereka pandai, tahu berhujah, ada statistik dan buat kajian hanyalah bohong belaka.
Malahan ada ahli Parlimen pembangkang yang kononnya hebat bercakap tetapi tidak tanya soalan.
Walaupun saya yakin siaran langsung ini akan memberi kelebihan kepada kerajaan tetapi kebimbangan tetap ada berikutan apa yang berlaku baru-baru ini.
Contohnya, ahli-ahli Parlimen pembangkang hanya berkelakuan baik apabila mereka melihat siaran langsung sudah berakhir.
Bayangkan apa akan terjadi, jika sidang Parlimen disiarkan secara langsung sepenuhnya? Sudah pasti mereka akan bertelagah sepanjang hari. Kalau setiap hari keadaan ini berterusan, orang akan benci kepada Parlimen dan semua ahli politik. Mereka bukan sahaja tidak akan percaya kepada pembangkang tetapi juga BN.
Kesudahannya kita akan jadi seperti Taiwan dan Korea apabila orang akan berkata kehidupan mereka lebih ditentukan oleh syarikat-syarikat besar bukan ahli politik atau kerajaan.
Sebab itu mereka tidak peduli pun kerajaan mereka berubah sepanjang masa. Persoalannya apakah kita hendak membawa imej negara ke arah itu?
Dalam soal menyampaikan maklumat kepada rakyat, Datuk ada bercakap soal media arus perdana harus memulihkan kredibiliti. Boleh Datuk jelaskan maksudnya?
AHMAD SHABERY: Kenyataan saya itu tidak merujuk kepada media arus perdana sahaja. Saya mulakan dengan bloggers. Saya kata kita tidak perlu bimbang dengan bloggers, mula-mula memanglah orang percaya apa mereka kata tetapi lama-kelamaan orang akan tanya bloggers itu siapa yang tulis?
Ketika krisis pada 1998, ada orang dakwa seorang pemimpin itu disuntik kuman HIV dan berita itu disebarkan melalui risalah, bila orang tanya, mereka jawab ini daripada Internet...komputer, komputer tidak bohong. Ketika itu ada laman web Reformasi, apa sahaja yang keluar di situ dan kemudian dicetak serta diedarkan, orang akan percaya.
Tetapi lama kelamaan orang dapati dakwaan itu tidak benar. Oleh itu mereka akan bertanya balik siapa yang membuat laman itu dan akhirnya laman Reformasi berkenaan ditutup sebab orang sudah tidak percaya. Sekarang zaman blog, lama kelamaan orang akan bertanya juga siapa yang bercakap (berhubung sesuatu dakwaan), mula-mula orang percaya.
Kesudahannya ia akan menyentuh soal kredibiliti blog itu. Kredibiliti ini bukan sahaja kepada blog, tetapi juga pemimpin dan media termasuk media arus perdana.
Dulu semasa kecil, saya berhujah dengan ayah saya berhubung sesuatu isu. Apabila tanya, ayah saya akan jawab surat khabar yang ‘cakap’. Pada waktu itu, apa sahaja yang ditulis surat khabar, orang percaya.
Tetapi sekarang orang akan bertanya pula siapa yang tulis? Surat khabar apa? Siapa pengarangnya? Orang akan mula bertanya kerana mereka sudah memahami sistem surat khabar ini bukan kerana wartawannya tetapi kerana pengarang dan pemilik akhbar itu.
Kalau sesuatu akhbar itu, orang banyak persoal dan menganggap ia berat sebelah dan sebagainya lama-
kelamaan soal tidak keyakinan itu terkumpul. Ini akan menyebabkan kredibiliti akhbar tersebut akan dipersoal dan orang tidak akan mempercayainya lagi.
Tidakkah kredibiliti itu menyentuh soal keadilan dalam kita menyiarkan berita termasuk pembangkang?
AHMAD SHABERY: Ini cabaran kepada kerajaan. Saya sebagai Menteri Penerangan misalnya, ada orang UMNO berkata, (RTM) jangan siarkan berita pembangkang.
Kalau itu dilakukan akhirnya orang tidak akan tengok RTM, apa faedah yang kita dapat? Contohnya, dahulu kita black out’ berita Kelantan, kalau disiarkan pun hanya berita negatif tetapi BN tidak juga menang di Kelantan. Ini hanya menguatkan illusi kepada pemimpin-pemimpin di Kelantan.
Atas sebab itulah, saya katakan keterbukaan ini akhirnya mestilah ada kredibiliti. Ini melibatkan semua, sama ada surat khabar, pemimpin mahupun bloggers. Ini kerana kredibiliti yang akan menentukan bagaimana rakyat menilai seseorang. Kredibiliti adalah penting.
Apakah ini bermaksud, media arus perdana termasuk RTM perlu memberi ruang sama banyak antara kerajaan dan pembangkang?
AHMAD SHABERY: Ini bukannya isu hendak beri sama banyak. Contohnya, anak kecil takkanlah kita hendak memberi makanan sama banyak dengan orang dewasa? Kita beri apa yang hak atau sepatutnya. Bukannya kita kata sama banyak atau 70:30 tetapi apa yang hak akan diberikan.
Kita harus tahu bagaimana hendak menilai. Ini bukan soal pembangkang atau tidak, misalnya pemberitaan kita, kenapa mesti kita umpukan kepada bersifat politik sehingga menimbulkan tafsiran bahawa akhbar yang baik itu menyebelahi pembangkang atau kerajaan?
Bukankah dalam kehidupan kita ini banyak perkara lain, contohnya apa agenda sesebuah akhbar itu.
Utusan Malaysia apa agendanya? Kalau ia agenda untuk melihat martabat orang Melayu tinggi, kita fokus ke arah itu. Dalam pada itu dimuatkan juga kenyataan oleh pembangkang dan kerajaan. Ini bukan persoalan harus ada keadilan dalam penyiaran berita untuk pembangkang dan kerajaan. Tetapi apa agenda surat khabar berkenaan supaya orang akhirnya mengenal pasti sifat surat khabar itu.
Pembangkang sering mendakwa mereka tidak diberi peluang dalam RTM termasuk untuk memaparkan agenda atau manifesto mereka menjelang pilihan raya. Apakah di bawah pentadbiran Datuk akan ada perubahan?
AHMAD SHABERY: Apa yang harus difahami, akhirnya ia akan menjurus kepada matlamat yang saya nyatakan. Kalau kerajaan memerintah mempunyai matlamat berdasarkan mandat yang diberikan oleh rakyat, kita akan turunkan dengan manifesto kita dahulu, apa itu BN. Matlamat kita ialah untuk menerangkan sampai ke arah itu.
Jadi pembangkang janganlah marah jika kita tidak dapat menyiarkan apa mereka kata kalau ia tidak kena mengena dengan mandat yang diberikan oleh rakyat.
Tetapi kalau kebetulan sama matlamatnya, contohnya mereka juga bercakap soal Parlimen mesti dimartabatkan dan sistem raja berperlembagaan mesti diperkukuhkan, saya fikir tidak ada masalah bagi kerajaan atau pembangkang untuk sama-sama dimuatkan dalam radio atau televisyen.
Tetapi saya rasa adalah tidak bertanggungjawab, jika kita berhasrat mewujudkan negara yang aman damai namun dalam masa yang sama kita beri ruang kepada mereka yang bersifat perkauman dan mencerca agama lain.
Bagaimana pula dengan kerajaan campuran di Selangor dan Perak yang meminta peluang untuk menerangkan dasar-dasar mereka?
AHMAD SHABERY: Bagi saya itu tidak ada isu. Apa yang perlu difahami RTM adalah institusi Kerajaan Persekutuan. Tetapi kalau mereka merasakan dasar mereka sejajar dengan Kerajaan Persekutuan, apa salahnya. Ini bukannya persoalan untuk disiarkan setengah atau sejam, mungkin dua jam atau tiga jam pun boleh tetapi ia bergantung kepada nilai berita.
Dalam kes di Selangor, ia dianggap tidak adil bagi pihak mereka. Kerajaan campuran Selangor tidak sepatutnya mengugut. Kita menyewa di bangunan sekretariat kerajaan negeri dengan bayaran RM16,000 sebulan. Ada kontraknya dan ia akan berakhir hujung bulan ini. Kalau mereka bersabar, RTM boleh terus berada di situ dan kemudiannya berbincang mengenai kontrak baru.
Tetapi malangnya, mereka sudah halau kita, walaupun kontrak belum tamat. Saya hairan orang seperti Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai orang korporat tidak faham tentang kontrak. Ia seharusnya dihormati biarpun perjanjian itu dibuat oleh kerajaan negeri sebelum ini.
Jadi bagi saya, ini bukan isu, kerana pendekatan mereka itu tidak adil. Oleh itu macam mana mereka hendak mengharapkan kerajaan pusat berlaku adil kepada mereka.
Dalam soal bloggers, Menteri Penerangan dahulu tidak mahu berbaik dengan bloggers, Datuk pula sebaliknya, ini menimbulkan pertanyaan apakah dasar sesuatu kementerian itu bergantung kepada kerajaan atau siapa menterinya?
AHMAD SHABERY: Datuk Zainuddin Maidin (bekas Menteri Penerangan) bercakap mengenai blog dalam konteks pada waktu itu dan dalam konteks bloggers tertentu sahaja. Tetapi ia mungkin disalahertikan sehingga orang menganggap ia melibatkan semua bloggers.
Ini bagi saya tidak adil kerana bloggers ini rakyat. Berdasarkan statistik terkini, 14 juta penduduk Malaysia sudah ada internet dan di negara Asia separuh pemilik sudah ‘berblogging’, maknanya sesiapa juga boleh jadi bloggers. Bloggers ini macam orang di kedai kopi, kalau dia hendak bercakap, dia akan bercakap. Ada yang puji dan keji kita, tetapi kita kena dengar dan kena duduk dengan mereka.
Kalau saya tiba-tiba dengar orang kedai kopi asyik hentam saya, ini tidak bermakna semua orang kedai kopi menghentam saya. Janganlah semua orang di kedai kopi terasa. Jadi kalau Datuk Zam kata begitu, begini janganlah semua bloggers terasa.
Selain itu, saya mendekati golongan bloggers dan media lain, bukan untuk mempengaruhi mereka tetapi bagi membolehkan mereka memahami apa yang dilakukan oleh kerajaan.
Dalam soal memberi penerangan kepada rakyat dan berhadapan dengan media alternatif ini, kita sudah memutuskan untuk mengadakan semula wayang pacak. Dahulu kita berhentikan wayang pacak kerana zaman moden sudah ada radio dan tv.
Tetapi sekarang saya lihat apa yang hilang ialah ‘sentuhan’ iaitu pegawai-pegawai penerangan tidak dapat berjumpa dan mendekati rakyat. Melalui wayang pacak, ini ia akan dapat dilakukan semula.
0 comments Labels: pemimpin haprak, utusan, wawancara

